Berita Faizal

"Ganu Kite" Faizal

Sunday, June 18, 2006

Oleh: Abie Abdullah
Source: Harian Metro

Faizal sukar buang loghat.

DIALEK Terengganu masih pekat. Mohammad Faizal Ramly mengakui sukar untuk `mengikis lidahnya’ membuang sebutan yang menjadi bahasa ibundanya sejak hampir 22 tahun lalu. Pernah dicuba, tetapi ia tetap menebal.

Sudah sebati, katanya. Biarpun begitu, sepanjang berbual dengan bintang dalam pembikinan ini, slanga itu bukan masalah baginya. Malah, dia berbangga dengan kebolehan dimilikinya. “Itulah anak Terengganu sejati,” katanya diiringi ketawa.

Ayahnya, Ramly Yaakob, 56, berasal dari Simpang Tok Ku, Bukit Besar, Kuala Terengganu, manakala ibunya, Zanidah Awang, 45, anak kelahiran Marang. Kenyataan ini cukup menjelaskan anak sulung daripada tiga beradik itu anak jati Terengganu.

Ada benarnya apa dikatakan Faizal. Setiap negeri ada dialek tersendiri yang melambangkan asal-usul kita. Baik Terengganu, Kelantan atau Sabah (misalnya), kepekatan bahasa menjadi identiti kebanggaan warga kelahirannya.

Mungkin ada benarnya apa dikatakan sesetengah peminat Akademi Fantasia (AF) 4, loghat itulah yang menambat hati mereka untuk menyokong Faizal. Lagak pemuda pingitan ‘Ganu Kite’ itu mengingatkan kita kepada penampilan awal Asmawi Ani (Mawi) di dalam program realiti popular ini, tahun lalu.

“Saya bukan nak jadi Mawi bang! Saya memang minat Mawi sebab dia ada ciri-ciri penghibur,” kata Faizal tatkala Metro Ahad cuba menyamakannya dengan penyanyi lagu Kian itu.

Faizal seorang yang ceria. Belumpun satu jam bertemu, dia menonjolkan sifat ramahnya. Tidak pula dia menjadikan kepekatan dialek itu sebagai halangan untuk berkomunikasi baik dengan rakan baru AF4 mahupun pihak media.

Mungkin anda juga maklum apabila menonton Diari Akademi AF4 setiap hari. Biarpun tidak terlintas untuk menjadi Mawi, tetapi hasratnya juga ingin mengecapi impian sebagaimana kejayaan yang diraih juara AF3 itu.

Terlalu awal untuk menjelaskan kedudukan Faizal sepanjang tempoh di AF4. Bagaimanapun keputusan peratusan undi yang meletakkan dia di tangga pertama dan kedua bagaikan satu isyarat untuk dia kekal lebih lama di sana.

Biarpun tidak seselesa posisi Mawi ketika di AF3 yang kukuh di tangga pertama, setakat ini Faizal menampilkan persembahan konsisten. Malah juri juga, terutama Bob Lokman, minggu lalu menganggap Faizal antara yang bakal juara.

Anak muda yang suka memancing ini jujur bercerita kisah hidupnya sebelum memasuki AF4. Banyak kerja yang dilakukannya, semuanya untuk mencuba dan menimba pengalaman.

Dia pernah bergelar buruh kasar yang sanggup berpanas membina jalan raya, bermain dengan tar hitam. Ada ketikanya bersama rakan bertukang menyiapkan rumah dan kalau ada masa Faizal berjualan di pasar malam sekitar Marang.

Tidak cukup dengan itu, dia membantu ibu saudaranya di kedai emas dan kadangkala menolong ayahnya menjalankan perniagaan. Apa sebenarnya yang Faizal mahu?

“Entahlah, saya suka buat kerja ‘macang-macang’. Di keda mah (kedai emas) pun saya keje (kerja). Kalau puah (jemu) buat kerja tu, buat kerja lain pula. Cari ‘pengalamang’, bang!” katanya dalam slanga Pantai Timur itu.

Ini tidak dinafikan ibunya. Ketika dihubungi Metro Ahad, Zanidah mengakui anak sulungnya rajin bekerja. Dalam masa sama, katanya, Faizal suka menyanyi.

“Dua tiga tahun kebelakangan ini, dia semakin rancak menyanyi. Namun di rumah saja, kami sekeluarga tidak kisahpun, asalkan dia minat. Dia periang dan ringan tulang membantu di rumah,” kata Zanidah.

Faizal yang akan menyampaikan lagu Blues Terengganu Kita tengah hari ini berkata, dia tidak dapat mengikuti 100 peratus AF3 tahun lalu kerana sibuk dengan kerja yang dilakukannya. Namun ada masanya dia mengikuti perkembangan Mawi.

“Sebelum ini saya tengok AF, tetapi bukan selalu kerana sibuk cari duit untuk belanja. Namun pada saya, AF adalah persada yang menyediakan pelajaran yang bagus, mengajar kita menjadi penghibur dan yang penting mendidik kita menjadi manusia seni yang berdisiplin. Semuanya dijaga,” katanya.

Ketika pertemuan sebelum Konsert Prelude baru-baru ini, Faizal memberitahu, dia berserah kepada Tuhan yang menentukan rezeki dan jalan hidupnya. Tidak dinafikan, minatnya terhadap nyanyian sangat mendalam.

Ketika itu ayahnya tidak berapa menyokong usahanya menyanyi hinggalah dia menjuarai pertandingan karaoke anjuran Anis Suraya Beauty Salon. Malah, bakatnya dikesan oleh bahagian kebudayaan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu yang mengajaknya menyertai badan itu.

“Ketika itu saya tidak pernah terlintas untuk menyertai AF, sebab siapalah saya. Namun keinginan menjadi penyanyi tetap menebal. Bukan saja minat, tetapi saya jujur dengan diri saya yang menyukai bidang ini.

“Saya tahu cabaran kehidupan penyanyi. Besar dugaannya tetapi berbekalkan keikhlasan, saya yakin boleh berdepan dengannya. Saya anggap gosip perkara biasa, kalau kita tidak menjadi penyanyi atau artis sekalipun, orang tetap bercakap pasal kita,” katanya.

Zanidah pula memberi sokongan penuh terhadap usaha anaknya. Dia membiarkan minat Faizal dikembangkan di AF4 kerana percaya guru yang dilantik bukan calang-calang orang.

“Eloklah sebab dia minat menyanyi. Sebelum ke uji bakat dulu, dia ada beritahu saya yang dia ke ujian itu. Alhamdulillah, dia ada di dalam sana.

“Terima kasih kepada pengundi yang meletakkan Faizal di tangga teratas,” katanya yang menjadi pengundi setia Faizal.

Menurut Zanidah, keluarganya menggunakan talian tetap sebagai medium undian. Sejak Konsert Prelude lagi, mereka berhabisan ribuan ringgit bagi memastikan posisi Faizal selamat. Siapa lagi akan menyokong kalau bukan keluarga sendiri.

Malah, tempias populariti Faizal mula terkena keluarganya. Zanidah tidak menafikan hal itu, ke mana dia pergi, pasti ada yang bertanyakan hal Faizal.

Ibu yang peramah ini tahu akan kemampuan anaknya. Kehidupan artis sememangnya menjadi perhatian dan banyak akan berkata mengenainya. Lebih-lebih lagi mereka di dalam AF yang ditonton saban hari sepanjang 10 minggu ini.

“Biasalah orang bercakap. Ada yang betul, ada yang tidak. Apa orang kata? Gosip, mosip? Adat manusialah suka bercakap. Kalau tempayan bolehlah kita cari penutupnya, ini mulut manusia. Tak mengapalah!” katanya ketika dihubungi di rumahnya di Sungai Karak, Marang.

Photobucket - Video and Image Hosting