Berita Faizal

AFP2006 penyertaan 122 filem ditolak

Friday, January 26, 2007

Oleh: Abd. Aziz Itar
Source: Utusan Malaysia


KETUA Pengarah Penyiaran, Abdul Rahman Hamid (depan lima dari kanan) bersama
Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah (depan lima dari kiri), para artis dan finalis AFP2006
selepas sidang akhbar di Angkasapuri, Kuala Lumpur kelmarin - Gambar ASWAD YAHYA.


ANUGERAH Filem Pendek 2006 (AFP2006) yang julung kalinya dianjurkan oleh RTM dan Filem Negara Malaysia (FNM) menyaksikan penyertaan sebanyak 227 buah filem pendek.

Ketua Pengarah FNM, Raja Rozaimie Raja Dalnish berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 105 filem terpilih bertanding, manakala 122 filem pula disingkirkan kerana tidak memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh panel juri.

“Antara kriteria itu ialah daripada segi jangka masa dan isi kandungan yang telah diputuskan oleh RTM dan FNM,” kata Rozaimie pada sidang akhbar di Angkasapuri, Kuala Lumpur kelmarin.

AFP2006 yang diterbitkan oleh Mohd. Yusni Mohamed Ali dan diacarakan Nurul Ab. Wahab dan Awal Ashari itu akan disiarkan secara langsung menerusi RTM1 pukul 8.30 malam ini.

Hadiah wang tunai keseluruhannya berjumlah RM300,000 disediakan bagi kategori Filem Terbaik, Skrip Terbaik, Pengarah Terbaik, Filem Pendek Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penataan Cahaya Terbaik, Penyunting Terbaik, Peralatan Bunyi Terbaik dan Skor Muzik Terbaik.

Anugerah yang akan dijadikan sebagai acara tahunan itu mempertaruhkan kategori Filem Jenaka Pendek, Dokumentari, Animasi, Eksperimental, Khidmat Awam dan Iklan.

Sementara itu artis yang akan mengadakan persembahan pada AFP2006 antaranya Jaclyn Victor, Pretty Ugly, Nikki, Zahid, Farah (AF2), The Times, Azharina Azhar, Izwan Pilus, Adam (AF2), Kelvin Lau dan Faizal (AF4).

0 comments

Photobucket - Video and Image Hosting

Bintang AF sebak lihat mangsa banjir

Thursday, January 25, 2007

Oleh Ramlah Zainal
Source: Harian Metro

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Pepatah itu tepat bagi menggambarkan penderitaan mangsa banjir di semua daerah di Johor termasuk Yong Peng, baru-baru ini.

Justeru, pihak Power Root bersama empat duta terbarunya, bintang yang dicungkil menerusi program realiti popular Akademi Fantasia iaitu Adam (AF2), Felix (AF3), Faizal dan Zila (AF4) terpanggil untuk melawat ke salah satu pusat pemindahan banjir di Yong Peng itu.


Selain menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir, semua duta Power Root juga menghiburkan mangsa yang ditempatkan di dewan orang ramai berkenaan dengan lagu popular masing-masing.

Antara barangan Power Root yang disumbangkan kepada mangsa banjir ialah kopi Ali Cafe’, Ali Tea, Oilgo Cafe dan Per’I Cafe.

Secara keseluruhan, Power Root menyumbangkan sebanyak 1,600 beg yang mengandungi produk keluaran mereka kepada keluarga mangsa banjir berkenaan.

Lebih bermakna, mangsa banjir juga berpeluang menyanyi dan menari bersama artis kesayangan masing-masing, sekali gus melupakan seketika kepayahan yang ditanggung akibat banjir yang melanda kampung mereka.

Bagi Adam, peluang untuk melawat mangsa banjir di Yong Peng adalah saat yang sudah lama dinantikannya, sejak banjir melanda di Johor.

“Pertama kali menjejakkan kaki di Yong Peng, hati saya sebak menyaksikan musibah yang melanda penduduk di sini.

“Saya sedar kami tidak dapat menggantikan semua harta benda mereka yang musnah, tapi sekurang-kurangnya kehadiran kami di sini dapat berkongsi kesedihan dan sedikit sebanyak mengurangkan beban yang ditanggung mereka.

“Selain beramah mesra dan bertanya khabar penduduk di sana, saya sempat menghiburkan mereka dengan dua lagu baru yang bakal dimuatkan dalam album kedua saya, Joget Lambak dan Gila Bayang.

“Lebih bermakna, penduduk juga berpeluang menyanyi dan menari bersama kami sempena kunjungan amal berkenaan,” katanya.

Hadir sama bagi menyemarakkan lawatan amal itu ialah Ahli Parlimen Ayer Hitam, Dr Wee Ka Siong.

Dalam pada itu, Pengurus besar Power Root Marketing Sdn Bhd, Loh Chai Seng berkata, pihaknya membawakan khas, empat artis popular itu dari Kuala lumpur ke Yong Peng bagi menceriakan mangsa banjir di Yong Peng.

“Bila kami mampu menceriakan mangsa yang mengalami penderitaan yang cukup hebat seperti musibah banjir seperti ini, ia sesuatu yang tidak ternilai buat kami,” katanya.

0 comments

Photobucket - Video and Image Hosting

ABPBH 2006: Finalis artis baru lelaki tolak klon

Oleh: Nurulhisham Abdul Latif

Source: Berita Harian
ABPBH SPECIAL

Perbandingan peminat jadi cabaran kepada selebriti pertingkat mutu


ARTIS klon atau percubaan meniru gaya atau suara artis lain bukanlah suatu perkara baru dalam arena seni dunia. Bagi sesetengah pihak, menciplak suara artis terkenal mungkin menjadi jalan pintas untuk meraih populariti dengan kadar segera. Begitupun, bukankah yang asli itu lebih kekal daripada yang ciplak?

Pada siri road tour Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 di Seremban, Pasir Gudang dan Melaka yang baru berlalu, topik berkenaan turut menjadi perbincangan beberapa artis popular, termasuk lima anak muda yang dicalonkan dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular, Fazli Zainal; Izwan Pilus; Faizal AF; Akbar; dan Felix.

Topik itu timbul apabila beberapa akhbar pada hujung minggu menyiarkan gambar dan cerita mengenai calon uji bakat Akademi Fantasi 5, yang dikatakan menyerupai juara AF3, Asmawi Ani atau Mawi, yang kini mencipta nama sebagai artis paling popular di Malaysia.

Masing-masing tidak bersetuju sekiranya artis mengambil pendekatan yang mudah begitu dalam mencari kejayaan. Bahkan, mereka turut berasakan, artis klon tidak mempunyai kekuatan untuk muncul dengan imej tersendiri. Artis klon juga tidak akan kekal lama berbanding mereka yang memperjuangkan keaslian dan kelainan dalam karier.

Pada ketika sama, lima penyanyi sedang meningkat naik ini mengakui betapa mereka sendiri pernah melalui detik kurang menyenangkan apabila dikaitkan dengan beberapa artis yang terlebih dulu mengecap populariti dalam arena seni.

“Oleh kerana album saya diterbitkan oleh Yasin, maka ramai juga kalangan peminat yang menyamakan saya dengan penyanyi terbabit. Untuk pengetahuan semua, saya dan Yasin jauh berbeza. Genre muzik kami juga tidak sama. Yasin lebih kepada irama sejagat (world music) sedangkan saya pula lebih kepada muzik Barat. Malah, jika ditanya, saya sebenarnya lebih terpengaruh dengan muzik Boyz II Men dan Justin Timberlake,” katanya.

Felix turut tidak terlepas daripada disamakan dengan beberapa artis lama seperti Iwan dan seorang penyanyi lelaki Indonesia sebaik saja dia melagukan irama dangdut dalam konsert mingguan AF3 yang lalu.

“Begitupun saya bernasib baik apabila perbandingan sebegitu hanya kekal seketika saja. Peminat sendiri dapat melihat perbezaan antara kami. Bahkan, menerusi album sulung baru berada di pasaran, peminat dapat mendengar muzik saya yang lebih berbeza, iaitu menjurus kepada rock,” ujar naib juara AF3 ini.

Kata Akbar dan Felix, perbandingan yang cuba dilakukan peminat sebenarnya membuatkan mereka lebih berusaha dalam mempertingkatkan keupayaan, seterusnya menyerlahkan lagi identiti sendiri dalam industri muzik.

Pandangan itu juga disokong Izwan dan Fazli. Kata mereka, mungkin pada peringkat permulaan, peminat menyamakan diri seseorang artis baru dengan artis lain yang terlebih dulu membabitkan diri dalam muzik berikutan pendekatan yang hampir sama dibawa oleh kedua-duanya. Begitupun, lambat laun peminat akan dapat menghidu juga perbezaan antara mereka.

Jika Izwan pernah dikatakan meniru Rem dek teknik nyanyian menderam menerusi single terdahulu, Erti Kasih. Judul lagu mereka juga adalah sama. Rakannya, Fazli pula dituduh menciplak gaya Anuar Zain.

“Itulah masalah, apabila kita menggunakan teknik serupa, kita dikatakan menciplak pula. Sedangkan, nyanyian itu mempunyai tekniknya dan kita pula menurut kata komposer atau penerbit lagu terbabit. Contohnya Hazami, dia seorang penyanyi dan penerbit, jadi teknik nyanyiannya mungkin akan dapat dikesan pada artis yang menggunakan khidmat penerbitannya. Itu perkara biasa. Tetapi, setiap penyanyi ada nada suara tersendiri. Jadi, perkara itulah yang membezakan kami,” tegas Izwan yang kini menjadi sebutan lewat lagu Indah Lelapku.

Fazli pula tidak mahu menjadikan soal peminat menyamakan seseorang artis dengan yang lain sebagai halangan untuk terus melangkah jauh dalam dunia seni. Katanya, dia bukan meniru mana-mana individu terkenal dalam berpakaian, sebaliknya mengikut perkembangan fesyen semasa.

“Kenapa pula hendak dikatakan si polan A meniru si polan B, sedangkan gaya yang serupa turut dikenakan artis dari luar? Mengapa tidak dituduh saya meniru gaya Marc Anthony atau Josh Groban? Saya hanya memakai pakaian yang sesuai dengan imej dan suasana persembahan. Jika peminat melihat kulit album saya, ia lebih kepada pop rock bagi menyesuaikannya dengan lagu Mentera Saktiku yang lebih rancak rentaknya. Album saya pun sebenarnya berkonsepkan pop, bukan pop R&B, “ kata Fazli.

Juara AF4, Faizal turut tidak terlepas daripada disamakan dengan seniornya. Sewaktu AF4 sedang rancak berlangsung, dia dikatakan cuba meniru personaliti Mawi. Namun, selepas beberapa ketika, semua itu tinggal kenangan kerana Faizal nyata berbeza. Apatah lagi suara mereka langsung tidak sama.

Yang pasti, episod kurang manis disamakan dengan artis lain, sudah pasti berlalu dalam kamus perjalanan seni lima calon akhir ABPBH 2006.

Untuk itu, jangan lupa saksikan acara kemuncak ABPBH 2006 pada 4 Februari ini, berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands. Siaran langsungnya pula boleh diikuti menerusi TV3 dan radio Era, mulai jam 8.30 malam.

0 comments

Photobucket - Video and Image Hosting

ABPBH 2006: Selebriti riuh di Melaka

Wednesday, January 24, 2007

Oleh:Zainuri Misfar
Source: Berita Harian
ABPBH SPECIAL

Lebih 5,000 peminat penuhi Dataran Pahlawan untuk temui finalis, artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006

MELIHAT sambutan mereka yang datang, ternyata matlamat penganjur Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 untuk mendekatkan serta memesrakan anugerah ini kepada orang ramai tercapai.


MERIAH: Sebahagian artis mengambil peluang bergambar di atas
beca berhias yang menjadi 'keunikan' bagi Melaka.

Ternyata, menerusi acara seperti ini, orang ramai bukan saja boleh mengenali beberapa artis atau personaliti kesayangan mereka tetapi juga semakin arif dan peka dengan anugerah tahunan anjuran Berita Harian ini yang kini sudah memasuki tahun ke-20.

Semua ini dapat dilihat dengan kehadiran hampir 5,000 pengunjung memenuhi ruang legar serta tingkat satu kompleks membeli belah Megamall Melaka, Dataran Pahlawan, Melaka, Ahad lalu.

BERSAHAJA: Aksi Awie
bersama peminat
di atas pentas.


Melaka adalah destinasi kelima siri jelajah ABPBH2006 selepas Kuala Terengganu, Pulau Pinang, Seremban dan Pasir Gudang, Johor dengan setiap kunjungan mendapat sambutan amat memberangsangkan. Semasa di Johor, rombongan artis turut melawat dan menyampaikan mangsa banjir di Batu Pahat, manakala semasa promosi di utara Semenanjung, mereka turut singgah di Gurun, Kedah.

Di Dataran Pahlawan, peminat sudah mula memenuhi ruang legar kompleks membeli terbaru di bandar Melaka itu, seawal jam 12 tengah hari walaupun mereka mengetahui artis dan personaliti yang ditunggu bakal muncul kira-kira jam 3 petang.

Ramai yang turut mengambil kesempatan melihat dan membeli pelbagai barangan cenderamata eksklusif edisi terhad ABPBH 2006 seperti baju T, payung, topi, tuala dan buku nota. Ternyata seperti yang dijanjikan, sorakan mula bergema apabila pengurus pentas mengumumkan kemunculan penyampai radio Era, Nana dan Zizi muncul yang kemudian disusuli pula pengacara TV sensasi, Aznil Nawawi.

Aznil ternyata bijak mengawal keadaan apabila meminta mereka di barisan depan duduk bagi membolehkan lebih ramai yang beada di belakang boleh menyaksikan setiap persembahan di pentas. Ini kerana dalam tempoh tiga jam, orang ramai dihidangkan persembahan daripada Akbar yang menyanyikan lagu Siapa Di Hatiku dan Alhamdulillah, diikuti penampilan Farahwahida untuk menyampaikan lagu Tanpamu dan Kenangan Terindah.

Fazli Zainal pula muncul dengan mendendangkan single terbarunya, Mentari Sakti selain lagu popularnya, Harapan. Manakala Leez yang dicungkil bakatnya dari Akademi Fantasia 4 (AF4) kelihatan masih malu-malu semasa menyampaikan lagu Sungguh Ku Jatuh Cinta dan Merah Itu Cinta.

Sementara itu, penyanyi anak tempatan, Izwan Pilus yang dilahirkan di Jasin, Melaka menghiburkan peminatnya dengan menyampaikan lagu Kembali sayang dan Indah Lelapku, dan Faizal AF4 pula tampil mendendangkan lagu Lihatlah dan Hujan.

Ina Naim pula semakin yakin berada di pentas apabila menyanyikan lagu Lukisan Hati dan Duhai Hati. Bahkan bakat baru dalam dunia nyanyian ini juga semakin berani turun ke pentas untuk mendekati dan bersalaman dengan penonton. Aznil juga tidak ketinggalan menghiburkan peminatnya dengan menyanyikan lagu Profesor Klon, dipetik daripada filem Cicak-Man.

Selain nyanyian acara di pentas Dataran Pahlawan ini diwarnai dengan gelak ketawa dan acara menghiburkan daripada pelakon, penyanyi dan personaliti lain. Ini termasuklah gelagat penuh selamba daripada Yassin Yahya sehingga menyebabkan Aznil dan Zizi ‘keras perut’ dengan telatahnya.

Kemunculan ‘pasangan sejoli’, Linda Onn dan Fahrin Ahmad menggamatkan lagi suasana acara promosi ABPBH2006. Namun, kedua-duanya tetap ‘sporting’ semasa di atas pentas sekalipun diusik beberapa kali oleh Aznil. Penampilan Awie dengan gaya ala-koboi masih dapat mencuri tumpuan peminatnya sekalipun penyanyi ini tidak mendendangkan lagunya.

Selain bermesra dengan personaliti terbabit, mereka yang bernasib baik berpeluang untuk bergambar dalam kereta Naza Kia, selain barangan cenderahati daripada Habib Jewel dan Edward Forrer yang semuanya menjadi antara penaja utama ABPBH 2006.

Terdahulu, sebelum di bawa ke Dataran Pahlawan, delegasi yang menyertai jelajah ABPBH2006 dibawa menaiki beca mengelilingi beberapa tempat menarik di sekitar Banda Hilir yang banyak meninggalkan kesan sejarah.

0 comments

Photobucket - Video and Image Hosting

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul

Sunday, January 21, 2007

Oleh Suzan Ahmad

Source: Bintang Popular


CATATAN hari ketiga kembara Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006 (ABPBH06) ke selatan tanah air meninggalkan kesan mendalam di lubuk hati penganjur apatah lagi barisan finalis.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sebaik saja kaki melangkah masuk ke pusat pemindahan banjir di Dewan Putera, Ayer Hitam, Johor, terlihatlah wajah sayu, gelisah kaum ibu dan bapa serta puluhan kanak-kanak, bayi baru lahir serta warga emas. Agaknya apa yang paling ditunggu-tunggu mereka adalah satu-satunya pengumuman daripada pihak berwajib - "Anda dibenarkan pulang sekarang."

Syukurlah, orang kita memang cekap dalam hal menyediakan bantuan kemanusiaan seperti keselamatan, keperluan asas dan makanan. Untuk sama berkongsi rasa, rombongan promosi ABPBH06 menghulurkan bantuan berupa 200 kampit beras kepada mereka yang terbabit. Menyedari hakikat bilangan kanak-kanak yang ramai, sempat pula artis dan penganjur mengumpul derma kilat sebaik sahaja habis persembahan di Kompleks Pasir Gudang. Dapatlah mereka membeli gula-gula untuk menceriakan sedikit hati mereka.

Ternyata kunjungan Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Yassin Senario, Faizal AF4, Amylea, Felix , Farawahida, Nikki, Fazli Zainal, Akbar, Izwan Pilus, Khairil (Krill) dan Kieran (Era) cukup bermakna. Mereka tidak hanya mendekati masyarakat di pentas persembahan iaitu di Terminal 1, Seremban dan Kompleks Pasir Gudang, sebaliknya sanggup meredah air bah untuk merasai sendiri keperitan yang melanda Johor.

Sesekali, senyuman terukir pada rata-rata wajah yang gelisah. Terhibur seketika hati mereka dengan kunjungan artis popular, biarpun tidak berlawak atau menyanyi. Lebih bermakna, Ahli Dewan Undangan Negeri Semarang, Datuk Samsolbari Jamali yang memberi taklimat awal kepada rombongan turut menghebahkan khabar gembira selepas itu bahawa penghuni sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang itu. Syukurlah.

Samsolbari berkata, di Ayer Hitam saja, lebih 11,000 mangsa terpaksa dipindahkan selepas gelombang kedua melanda kawasan yang sama dalam tempoh sebulan. Mereka ditempatkan di 32 pusat pemindahan.

Selepas mendekati mangsa banjir di pusat berkenaan, rombongan artis dibawa terus ke Kampung Londang Darat, Ayer Hitam untuk melihat keadaan sebenar. Orang pertama yang menyinsing seluar mengharung air siapa lagi kalau bukan Yassin. Dia memang mesra dengan kanak-kanak. Yassin juga sempat solat asar di masjid kampung berkenaan yang kata penduduk, tidak terjejas langsung dek banjir. Demikianlah tanda kebesaran Tuhan.

Gara-gara kunjungan mengejut itu, tiba-tiba saja kampung yang sunyi itu terus bertukar menjadi riuh. Artis sendiri mula macam lepas geram dan tanpa menghiraukan baju akan basah kuyup, mereka turut bermain pelampung dan menaiki sampan bersama kanak-kanak. Nyaris sampan tidak terbalik dek terlebih muatan!

Sudah resam masyarakat keturunan Jawa di Johor, dalam keadaan susah atau darurat macam manapun, tetamu akan tetap dilayan dan dimuliakan. Kalau dihitung sudah dua kali kampung mereka banjir. Sedang finalis dan penganjur berseronok melayan kanak-kanak, orang kampung yang teruja dengan kunjungan mereka sempat menyediakan jamuan ringan apa yang ada. Hai, besar hati sungguh!

Bayangkan lepas penat bermain air, dijamu pula dengan keledek goreng panas serta bubur pulut hitam. Aduh! manisnya keledek goreng Kampung Londang Darat. Penulis masih terkenang sampai sekarang.

Bak kata Auntie Stella, (ibu Ning Baizura) yang juga pengurus Nikki, keledek goreng ini dibuat dengan penuh kasih sayang sebab itu sedapnya lain macam - memang masuk akal, Sampaikan eksekutif promosi ABPBH06, Mohd Pauzi Abd Samad sanggup bungkus sebagai bekalan pulang ke Kuala Lumpur.

Tambah menyenangkan apabila kakitangan ekspres Transnasional sudi membelanja kami minum air botol Long Chan yang sememangnya mampu melegakan tekak yang kering.

Macam-macam cerita

  • Secara perbandingan, peminat dan pengunjung di Terminal 1, Seremban lebih pemalu berbanding peminat di Kuala Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah. Namun yang pasti mereka tidak berganjak sehinggalah persembahan selesai.

  • Sebaik tamat persembahan di Seremban, Sheila Rusly terus bergegas pulang ke Kuala Lumpur kerana ada tugas menanti. Tapi keesokannya, dia sudah terpacak di Restoran D' Corner Taman Molek, Johor Bahru untuk makan tengah hari. Begitulah tingginya komitmen Sheila yang juga pengacara persembahan.

  • Koc Transnasional yang sepatutnya membawa rombongan artis ke Kompleks Pasir Gudang dari Hotel Selesa tiba-tiba rosak. Jadi bas gantian terpaksa dikejarkan. Namun separuh jalan, semua berpindah semula ke koc Transnasional apabila kerosakan itu berjaya diperbaiki.

  • Seperti di Kuala Terengganu, rombongan road show ABPBH06 diiringi polis trafik apabila hendak bergerak ke Kompleks Pasir Gudang. Amboi, kalah VVIP...

  • Sambutan orang Johor memang luar biasa. Bukan saja Kompleks Pasir Gudang penuh sesak dengan lebih 8,000 pengunjung tetapi mereka juga sporting. Memang tak susah Sheila Rusly dan Aznil Nawawi mencari mangsa kerana mereka sendiri berebut hendak naik pentas.

  • Keberanian penonton untuk mendekati artis memang mengejutkan. Bayangkan hendak ke bilik air pun susah sampaikan pengawal terpaksa mengepung. Antaranya yang paling popular ialah Yassin Senario. Malah bukan saja artis, wartawan dan editor pun terpaksa diiring ke bilik air kerana disangkakan artis!

  • Fazli Zainal memang boleh jadi duta Air Cap Badak. Berbotol-botol dibelinya kerana suka menyejukkan badan. Begitulah gelagat penyanyi lagu Harapan itu di setiap lokasi road tour ABPBH06.

  • Babak yang dipanggil red carpet memang paling seronok. Ketika persembahan di Seremban dan pasir Gudang, Ogy bersama Aznil dan Sheila bergandingan dengan peminat menunjukkan gaya berjalan di red carpet dalam cara paling kreatif. Memang penonton terhibur.

  • Gara-gara ligat bermesra dengan peminat, tumit kasut Ogy akhirnya patah! Lalu terpaksalah Ogy beli sepasang kasut baru di Kompleks Pasir Gudang.

  • Bintang Popular kagum dengan komitmen semua pengawal keselamatan Kompleks Pasir Gudang yang memang cekap bekerja bagi memastikan perjalanan acara dalam keadaan lancar dan selamat.

  • Awalnya, ramai menyangka finalis kategori Artis Baru Lelaki Popular, Akbar sombong kerana dia tidak ramah. Rupanya Akhbar masih mengalami jet-lag kerana baru sampai dari United Kingdom (UK). Apabila makin lama bersama, barulah keluar segala loyar buruknya!

  • Sepanjang jalan pergi dan balik, lagu yang paling kerap didengar adalah Harapan nyanyian Fazli Zainal menerusi Era. Setiap kali mendengarnya, reaksi Fazli hanya senyum sampai ke telinga. Hmm, sukanya dia!

  • Menariknya, Akbar minat betul dengan lagu Harapan sampai sanggup belajar melodinya walau perlu berpandukan lirik pada in-lay album itu. Kadang-kadang apabila salah key, Fazli sendiri yang membetulkannya.

  • Wartawan Harian Metro, Norhadiani Baharom, mengakui terasa sesuatu menggigit kakinya ketika sedang mengharung banjir di Kampung Londang Darat. Namun gigitan tidak pula memudaratkannya cuma ada kesan lebam.
  • 0 comments

    Photobucket - Video and Image Hosting

    Produk Edward Forrer pelengkap gaya terkini

    Oleh: Zubir Mohd. Yunus
    Source: Bintang Popular

    Finalis ABPBH sempat berkunjung ke butik cawangan Mutiara Damansara

    HAMPARAN karpet merah di Arena of Stars, Genting Highlands, pada 4 Februari ini pastinya menjadi medan finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006 (ABPBH06) berjalan penuh gaya apabila kesemuanya berpeluang mengenakan kasut berjenama Edward Forrer yang menjadi penaja bersama acara paling berprestij itu.

    Setiap finalis ABPBH06 bakal menerima sepasang kasut tajaan Edward Forrer apabila jumlah tajaannya bernilai RM150,000 termasuk hadiah kepada pembaca bertuah.


    Produk Edward Forrer direka di Sydney, Australia manakala pembuatannya dilaksanakan di Bandung, Indonesia. Sepanjang 12 tahun menjalankan operasinya, Edward Forrer berhasil mereka cipta kasut yang bergaya, selesa dan bersama harga yang mampu milik.

    Rangkaian kedai Edward Forrer menjual kasut untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak. Ia juga mempunyai koleksi beg tangan wanita. Manakala Lira Calzoleria dan Apparel Sdn Bhd adalah pemegang francise eksklusif jenama Edward Forrer di Malaysia.

    Sejajar slogan `Bergaya, Selesa & Mampu Milik', keunikan produk Edward Forrer adalah barangannya yang eksklusif. Setiap rekaan barangan yang dikeluarkan dan dijual di pasaran, tidak akan diulang cipta semula.

    Sehubungan itu, baru-baru ini finalis, penyampai trofi dan pengacara malam ABPBH06 meluangkan masa berkunjung ke salah satu rangkaian kedai Edward Forrer di Mutiara Damansara. Artis yang terbabit ialah Faizal Akademi Fantasia 4 (AF4), Akbar, Arash Mohamad, Ina Naim, Raja Azura dan Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy).

    Raja Azura atau Kak Engku yang tercalon dalam dua kategori, Pengacara TV Wanita Popular dan Artis Komedi Wanita Popular, sekali gus bertindak sebagai pengacara ABPBH06, mengakui teruja dengan pelbagai rekaan kasut Edward Forrer. Dia sempat membeli beberapa pasang kasut berkenaan termasuk untuk anak-anaknya.

    Manakala Faizal AF4 dan Ina Naim sempat dilihat begitu mesra di satu sudut membelek beberapa koleksi terbaru beg tangan wanita. Kedua-duanya yang tercalon menerusi kategori Artis Baru Lelaki dan Wanita Popular, mengakui barangan Edward Forrer dijual dengan harga yang amat berpatutan.

    Suasana kedai sentiasa riuh dengan celoteh Ogy yang tercalon menerusi kategori P
    Justify Fullengacara TV Wanita Popular. Ogy juga akan membuat kemunculan istimewa pada malam kemuncak ABPBH06.

    "Selesanya kaki saya apabila memakai kasut Edward Forrer ini," kata Ogy.

    Sementara itu, Arash Mohamad (Pelakon TV Lelaki Popular) dan Akbar (Artis Baru Lelaki Popular) sejak awal lagi sudah terpaku melihat deretan kasut kulit yang menarik. Tentunya sudah terbayang dalam kepala mereka, tuksedo yang bakal dipakai pada malam kemuncak nanti akan lebih anggun kalau dipadankan dengan kasut Edward Forrer.

    0 comments

    Photobucket - Video and Image Hosting

    Finalis ABPBH 2006 lawat pusat pemindahan banjir

    Thursday, January 18, 2007

    Oleh: Unknown
    Sourc: Berita Harian


    RINGANKAN BEBANAN: Hanizam menyampaikan sumbangan untuk mangsa
    banjir kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Semarang, Datuk Samsol
    Bari Jamali di pejabat Umno Bahagian Ayer Hitam, semalam.

    BATU PAHAT: Walaupun sibuk dengan siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006 (ABPBH 2006), 18 finalis sempat meluangkan masa melawat mangsa banjir di Johor.


    Rombongan artis itu yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Induk ABPBH 2006, Hanizam Abdullah, melawat kira-kira 200 mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Dewan Putera, Ayer Hitam, semalam.


    Antara artis yang menyertai rombongan itu ialah Fadzli Zainal; Izwan Pilus; Akbar; Nikki; Amylea; Farrahwahida; Yassin Senario; Fauziah Ahmad Daud; Faizal AF4 serta dua penyampai Era, Khairil Rashid dan Kieran.

    Hanizam yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian, berkata rombongan finalis ABPBH 2006 itu dibawa melihat sendiri banjir yang melanda Johor dan bagi menunjukkan rasa simpati terhadap penderitaan mangsa.

    "Kami melakukan jelajah promosi ABPBH 2006 ketika ini dan kebetulan Johor dilanda banjir. Sebagai tanda simpati dan sokongan terhadap mangsa, kami membawa sebahagian finalis ABPBH untuk menemui segelintir mangsa selain melihat sendiri beberapa kawasan yang dilanda bencana ini," katanya.

    Hanizam berkata, pada kunjungan sulung ke kawasan dilanda banjir itu, mereka menyerahkan lebih 200 kampit beras sumbangan Berita Harian untuk diagihkan kepada mangsa.

    0 comments

    Photobucket - Video and Image Hosting

    ABPBH 2006: Artis redah banjir

    Wednesday, January 17, 2007

    Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
    Source: Berita Harian

    Finalis dan penganjur ABPBH 2006 melawat pusat pemindahan dan sampaikan 200 kampit beras

    DALAM kemeriahan yang dirasa ketika mengikuti siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 di Johor, barisan finalis tidak lupa kepada peminat mereka yang berada dalam kesusahan apabila terbabit dalam bencana banjir besar di negeri itu.

    Lalu, pada hari ketiga perjalanan, sebaik saja selesai mengadakan road tour di Terminal 1, Seremban, dan Kompleks Pasir Gudang, Johor Bahru, artis terkenal Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Yassin, Faizal AF, Amylea, Felix, Farawahida, Nikki, Fazli Zainal, Akbar, Izwan Pilus, Khairil dan Keiran melawat bangsa banjir di pusat pemindahan di Dewan Putera, Ayer Hitam dan Kampung Parit Londang Darat.

    Rombongan promosi ABPBH ‘06 juga sempat menghulurkan bantuan berupa 200 kampit beras kepada mangsa, serta bungkusan gula-gula untuk kanak-kanak. Sebelum itu mereka diberikan taklimat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Semarang, Datuk Samsolbari Jamali.

    Selain melihat sendiri keadaan mangsa banjir yang terpaksa meninggalkan rumah ditenggelami air, finalis turut beramah mesra dan bertanya khabar bersama penghuni pusat pemindahan berkenaan. Mereka menghabiskan kira-kira dua jam di dua pusat pemindahan terbabit.

    Bagi mangsa banjir pula, kehadiran artis dan selebriti popular itu cukup bermakna. Tatkala mereka berada dalam kerisauan mengenangkan harta benda yang musnah, mangsa banjir mengaku cukup gembira menerima lawatan barisan finalis berkenaan. Paling tidak, hilang seketika kesedihan dan kerisauan kami, kata seorang pak cik yang bergenang matanya.

    Selain warga tua dan dewasa, turut berada di pusat pemindahan berkenaan ialah puluhan kanak-kanak serta beberapa bayi yang baru berusia beberapa minggu. Di Ayer Hitam saja, lebih 11,000 mangsa dipindahkan setelah banjir melanda buat kali kedua dalam masa sebulan. Mereka ditempatkan di 32 pusat pemindahan.

    Bagi artis sendiri, pengalaman berkunjung ke pusat pemindahan dan melihat kawasan yang dilanda musibah itu, menyedarkan mereka betapa penderitaan mangsa seharusnya dikongsi bersama-sama seluruh rakyat Malaysia.

    Turut bersama ialah Pengerusi Jawatan Kuasa Induk ABPBH 2006 yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah.




    REDAH AIR:
    Tiga kanak-kanak begitu teruja
    dengan kehadiran Faizal.

    Justeru, finalis kategori Artis Baru Popular, Fazli, yang berasal dari Kampung Majidi Johor Bahru, berasakan perlunya artis negeri terbabit bergabung tenaga mengadakan siri persembahan supaya mereka dapat memungut dana membantu mangsa.

    “Sebagai artis, saya berasa berasakan kita semua perlu beramal untuk membantu golongan yang berada dalam kesusahan itu. Amal pula, bukan hanya pada bulan Ramadan saja. Membantu mangsa banjir itu sendiri satu amal yang cukup besar buat kita,” kata artis yang popular dengan lagu Harapan itu.

    Nikki yang kelihatan khusyuk mendengar cerita daripada mangsa banjir pula sebelum itu mengaku, dia juga pernah mengalami keadaan serupa ketika masih menetap di rumah lamanya di Lido, Penampang.

    Katanya, sebagai kanak-kanak, dia seronok setiap kali tiba musim banjir, namun bagi ibu bapa dan golongan dewasa, keadaan itu tentunya membawa kesusahan.

    “Nikki masih ingat, apabila hujan turun dengan lebat saja, kami adik-beradik yang masih kecil mulalah menutup lubang di lantai dan dinding dengan plastisin. Maknanya, kami kenalah selalu bersedia. Syukurlah, kini keluarga Nikki sudah berpindah ke kawasan lebih baik di Kota Kinabalu,” kata penyanyi Caramu ini.

    Ogy yang tidak putus-putus dikerumuni penghuni pusat pemindahan juga teringatkan bencana banjir besar yang melanda kawasan kediaman dirinya sekeluarga ketika dia berusia lapan tahun, di Singapura.

    “Memang banyak kali juga banjir datang melanda kawasan rumah kami. Tetapi, pengalaman paling diingati tentulah ketika ia melanda pada malam raya. Waktu itu, arwah ibu sedang merebus ketupat. Datang saja banjir, semuanya rosak apabila air naik dengan begitu cepat. Tidak dapatlah kami beraya pada masa itu,” kata finalis kategori Pengacara TV Wanita Popular ini.

    Justeru, dia amat memahami penderitaan mangsa bencana itu, ketika mahupun selepas banjir melanda. Dia sendiri masih terbayang-bayang bagaimana susah kedua-dua ibu bapanya cuba membersihkan kembali kediaman selepas air surut.

    Ogy dan rakan seperjuangan tentunya pulang ke ibu kota dengan seribu kenangan dan keinsafan setelah berkunjung ke dua pusat pemindahan terbabit. Bagi penghuni pusat itu pula, kehadiran artis pujaan mereka sedikit sebanyak melapangkan resah di dada dan mengubat rasa kecewa setelah dua kali ditimpa bencana

    0 comments

    Photobucket - Video and Image Hosting

    Hubungan Mawi- Faizal "panas" - Faizal bakal ganti Mawi

    Tuesday, January 16, 2007

    Oleh: Rudy Imran Shamsudin (imran@hmetro.com.my)
    Source: Harian Metro

    SEBELUM ini "perang dingin" di antara juara Akademi Fantasia musim ketiga dan keempat, Asmawi Ani atau Mawi dan Faizal Ramli, hangat diperkatakan. Ia timbul sebaik saja Faizal muncul juara dan menerima pelbagai tawaran sementara Mawi terus bergelut dengan pelbagai kontroversi yang tidak pernah berkesudahan.

    Pemerhati industri hiburan melihat Faizal bakal mengambil alih tempat Mawi sebagai penyanyi lelaki popular jika kontroversi yang dikaitkan kepada pemenang tujuh kategori di Anugerah Era pada Ogos lalu itu tidak dihentikan.

    Kenyataan itu didakwa menimbulkan rasa kurang senang di kalangan peminat Mawi mahupun penyanyi yang berasal dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu sendiri sehingga tercetusnya perang dingin.

    Dalam berhadapan situasi ini, Faizal selaku ‘adik’ dikatakan banyak mengalah dan membiarkan apa juga yang dilakukan kepada diri dan kerjayanya.

    Mawi sewaktu ditemui di jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006 (ABPBH06) yang diadakan di Pulau Pinang baru-baru ini, bagaimana pun menafikan dakwaan itu.

    Katanya, dia tidak pernah memburuk-burukkan Faizal kerana tiada sebab untuknya berbuat demikian.

    “Perkara ini sudah dibangkitkan sejak dulu lagi sebaik saja Faizal muncul juara Akademi Fantasia musim lalu. Saya sendiri tidak tahu mengapa ada orang cuba membanding-bandingkan di antara saya dengan Faizal.

    “Penjelasan mengenai perkara ini sudah pun saya buat sebelum ini, jadi kenapa ia ditimbulkan kembali? Mungkin kerana ramai orang membandingkan kami membuatkan ada pihak membuat tanggapan bahawa saya cuba memburuk-burukkan Faizal.

    “Sebaik saja Faizal muncul juara dan bernaung di bawah syarikat rakaman sama, saya selalu memberi sokongan kepadanya. Hubungan kami baik seperti adik-beradik. Rasanya semua orang tahu perkara itu. Bukankah masing-masing punya peminat sendiri?” katanya.

    Sepanjang promosi ABPBH06 berlangsung di utara, isu perang dingin antara dua juara AF ini turut dijadikan modal untuk mengusik. Apatah lagi Faizal yang turut sama mengikuti rombongan dalam bas sering menjadi bahan usikan rakan-rakan.

    Kata mereka, bagaimana penyanyi itu mahu berkongsi pentas dengan Mawi dalam keadaan perang dingin sedang meletus.

    Lebih daripada itu, ada yang menyindir kemungkinan Faizal tidak mungkin akan dapat naik pentas menyanyi menghiburkan peminat di utara kerana ‘abang Mawi’ sudah mengeluarkan arahannya.

    Sekiranya difikirkan perkara ini tidak mungkin akan diperkatakan sekiranya ia tidak benar.

    Bagaimana pula rakan-rakan artis lain lebih mengetahui isu perang dingin dikaitkan antara mereka berdua.

    Faizal berkata, dia tidak terlalu mengambil kisah terhadap apa juga perkara yang diperkatakan orang membabitkan hubungannya dengan Mawi.

    “Rakan artis lain mungkin sekadar bergurau dengan saya. Mereka berbuat demikian kerana tahu akan gosip membabitkan hubungan dingin saya dengan Mawi yang sebenarnya tidak berlaku menerusi majalah mahupun akhbar.

    “Seperti kata Mawi sendiri perkara ini sudah pun dijelaskan sebelum ini dan ia tidak seharusnya ditimbulkan lagi.

    “Saya sendiri percaya kepada ketentuan Tuhan dan rezeki datang daripadanya. Kalau sudah tertulis rezeki saya ia tidak akan ke mana. Cakaplah apa pun ia tidak akan menjadi kudis.

    “Sekarang ini, pada saya nyanyian lebih penting dan harus diberikan perhatian. Saya tidak mahu isu ‘perang dingin’ ini akan mengganggu tumpuan saya terhadap kerjaya.

    “Mawi mempunyai peminatnya sendiri begitu juga dengan saya. Ada juga peminat kami menyokong kerjaya seni kedua-duanya,” katanya.

    Faizal turut menambah andai benar hubungannya dengan Mawi panas dan jika dingin tidak mungkin dia akan bersama-sama dengan Mawi berpadu suara mendendangkan Lagu Cinta Lagu Jiwa sewaktu menghiburkan peminat di pusat membeli-belah Queenbay, di Pulau Pinang dalam siri jelajah itu.

    0 comments

    Photobucket - Video and Image Hosting

    Promosi gamat

    Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
    Source: Berita Harian
    ABPBH SPECIAL

    Meskipun banjir, peminat tetap meraikan finalis ABPBH 2006 di Pasir Gudang


    CERIA: Hanizam (berdiri empat dari kiri) dan Yasheedah bersama-sama
    finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 di Johor Bahru.

    MERIAH! Memang gamat acara siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 yang diadakan di Terminal 1, Seremban dan Kompleks Pasir Gudang, Johor Bahru, masing-masing pada 13 dan 14 Januari lalu.

    Jika jumlah peminat yang menyerbu Terminal 1 mencecah 5,000 orang, Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang pula tidak kurang hebatnya apabila kira-kira 8,000 orang membanjiri setiap ruang di kompleks berkenaan. Pendek kata, setiap kali acara road tour ABPBH kali ini diadakan, begitu ramai peminat yang tidak melepaskan peluang melihat dari dekat artis kesayangan mereka.

    Nyata sekali, keadaan banjir di beberapa kawasan di Johor dan hujan renyai yang turun tidak henti-henti, bukannya halangan untuk peminat datang menyokong finalis pilihan mereka.

    Road tour di Seremban pula mencatat sejarah tersendiri untuk tahun ini apabila lebih daripada 20 selebriti terkenal tanah air menyertainya, seterusnya menjadikan acara siri jelajah itu paling ramai dijayakan finalis dan selebriti sepanjang siri promosi ini diadakan.

    Finalis yang turut serta pada acara berkenaan ialah Aznil Nawawi, Sheila Rusly, Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor (Jac), Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Yassin, Fazli Zainal, Amylea, Felix, Akbar, Izwan Pilus, Kieran, Khairil Rashid, Ina Naim, Faizal AF4, Nikki, Farawahida, Nana dan Linda. Manakala Reza dan Zizi dari radio rasmi ABPBH kali ini, Era, tidak ketinggalan memeriahkan acara.

    Semua finalis kemudiannya menyambung perjalanan ke Johor Bahru selepas empat jam menghiburkan peminat di Seremban. Bagaimanapun anggota rombongan berkurangan empat finalis apabila Dayang, Jac, Nana dan Linda hanya menyertai agenda di Terminal 1.

    Pada kedua-dua lokasi terbabit, peminat jelas terhibur dengan persembahan artis pujaan mereka. Lebih daripada itu, mereka turut berpeluang menaiki kenderaan Naza Kia bersama selebriti kesayangan, di samping membawa pulang pelbagai hadiah istimewa sumbangan Habib Jewels dan Berita Harian sendiri.

    Malah, tidak kurang yang mengambil kesempatan melawat gerai Habib Jewels, Edward Forrer Malaysia dan pameran kereta Naza Kia sepanjang acara dijalankan. Gerai cenderamata barangan eksklusif ABPBH kali ke-20 ini juga tidak putus-putus diserbu orang ramai. Maklumlah, barangan yang dijual memang cantik dan menarik belaka.

    Turut bersama pada sesi jelajah itu ialah Pengerusi Jawatan Kuasa Induk ABPBH 2006 yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah dan Ketua Unit Perhubungan Awam Habib Jewels Sdn Bhd, Yasheedah Yashaiya.

    Medan perdengar single terbaru

    SELAIN menjadi medan memperdengarkan lagu popular masing-masing, pentas siri jelajah ABPBH '06 juga menjadi gelanggang buat beberapa penyanyi memperkenalkan lagu baru mereka kepada peminat. Begitupun, lagu terkenal seperti Harapan, Tanpamu, Cepat-Cepat, Seandainya Masih Ada Cinta, Ku Berserah, Caramu, Lihatlah dan Fantasi Cinta tetap kedengaran di dua lokasi terbabit.

    Amylea, umpamanya menyanyikan lagu baru berentak rancak ciptaan Hazami yang kini mula disiarkan di radio, Andai Kerna Pasti buat hiburan peminatnya. Begitu juga Fazli Zainal yang memperdengarkan single kedua, Mentera Saktiku.

    Felix juga tidak lupa menyanyikan dua lagu baru, Jiwa Kita Cinta Kita dan Padam Dan Nyala. Nampaknya Felix tidak lagi "meleleh", tetapi tampil dengan gaya lebih rock.

    Peminat juga kini mula mengecam wajah penyanyi yang melagukan irama segar, Indah Lelapku, Izwan Pilus, manakala Akbar pula semakin dikenali menerusi lagi Siapakah Di Hatimu. Jac juga tidak lupa menyanyikan singe terbaru, Ceritera Cinta manakala Ina Naim menggamit perasaan peminat menerusi single Rebah.

    Dalam kata lain, acara empat jam di kedua-dua tempat itu padat dengan himpunan lagu popular dan terkini untuk halwa telinga orang ramai. Konsert kumpulan dari Indonesia pun boleh kalah tau!

    0 comments

    Photobucket - Video and Image Hosting

    Acara penuh ceria, gelak ketawa

    Oleh: Unknown
    Source: Berita Harian
    ABPBH SPECIAL


    MERIAH:Barisan artis di Terminal One,Seremban


    TIDAK dinafikan, bukan kerja mudah untuk menarik perhatian penonton bagi sesebuah acara yang berlangsung sehingga empat jam lamanya. Namun, peminat di Seremban dan Johor Bahru memang mengagumkan apabila mereka setia menanti sehingga ke penghujung rancangan.

    Penganjur amat berterima kasih buat mereka yang setia memberikan sokongan, biarpun sesetengahnya terpaksa mendukung anak kecil sepanjang acara. Kerana minat, mereka tidak mengeluh, tetapi turut ketawa riang bersama ribuan peminat yang datang.

    Kemeriahan dan keceriaan pada dua petang itu juga banyak dihadirkan pengacara sensasi negara, Aznil Nawawi dan Sheila Rusly. Jelas sekali, dua bintang berbakat besar ini banyak menghidupkan suasana. Peminat bertuah tidak habis-habis dikenakan mereka, sebelum pulang dengan senyuman meleret apabila dapat bergambar dan menaiki kereta bersama artis kesayangan mereka.

    Kehangatan lebih lagi dirasa apabila pengacara dan pelakon itu disertai Ogy menyertai dalam acara catwalk! Acara itu memang mengundang sejuta gelak ketawa. Siapa yang tidak senak perut apabila melihat Aznil, Sheila dan Ogy mengajar cara berjalan di karpet merah kepada peminat mereka? Kemunculan Yassin pula bagai menggamatkan lagi suasana. Tabik untuk mereka semua.

    Kepada peminat yang ingin mengetahui bagaimana mereka melakukannya, jangan lupa menyaksikan babak lebih hebat pada acara road tour di Mahkota Parade, Melaka, 21 Januari ini pula.

    INFO: ABPBH 2006

  • Lokasi siri ketiga promosi ABPBH '06: Terminal 1, Seremban dan Kompleks Pasir Gudang, Johor Bahru.

  • Tarikh: 13-14 Januari 2007

  • Waktu: 3 petang hingga 7 malam.

  • Hotel Penginapan: Hotel Selesa, Johor Bahru

  • Makan Tengah Hari di Johor Bahru: Restoran D'Corner (Terima kasih Norwati Che Kar)

  • Artis terbabit: Aznil Nawawi, Sheila Rusly, Ogy Ahmad Daud, Khairil Rashid, Zizi, Linda Onn, Nana, Reza, Kieran, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Akbar, Felix, Izwan Pilus, Fazli Zainal, Faizal AF4, Amylea, Farawahida, Nikki, Yassin, Ina Naim.

  • Acara kemundak ABPBH '06: 4 Februari 2007 di Arena of Stars Genting Highlands.
  • 0 comments

    Photobucket - Video and Image Hosting

    Mangsa banjir teruja kehadiran artis AF

    Monday, January 15, 2007

    Oleh:

    Source: Utusan Malaysia

    BATU PAHAT 14 Jan. – Mangsa-mangsa banjir di Parlimen Ayer Hitam dekat sini teruja apabila mereka dikunjungi oleh artis-artis Akademi Fantasia (AF) iaitu Felix, Faizal, Adam dan Zila yang merupakan kumpulan artis pertama mengunjungi mangsa banjir di daerah ini.

    Kunjungan artis-artis berkenaan secara tidak langsung melupakan seketika derita mangsa banjir di sana terutama remaja dan kanak-kanak yang berebut-rebut ingin bergambar dan meminta tanda tangan daripada artis-artis berkenaan.

    Kunjungan Felix, Faizal, Adam dan Zila adalah sebagai duta minuman bertenaga Power Root dan menyampaikan sumbangan barangan Power Root kepada mangsa banjir yang masih berada di Dewan Orang Ramai Yong Peng juga sekitar Parlimen Ayer Hitam.

    Menurut Zila AF4, dia berasa sedih dan terharu apabila melihat mangsa-mangsa banjir terutama warga emas dan anak kecil terpaksa tidur hanya beralaskan tikar plastik sahaja.

    Tambahnya, dia tidak pernah melihat keadaan begini sebelum ini dan berasa syukur kerana tidak ditimpa musibah banjir tetapi merupakan satu pengajaran bermakna kepadanya.

    ‘‘Kalau kita rasa kita susah, sebenarnya ada orang yang lebih susah lagi...itu yang dapat Zila rasakan bila berada di sini,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.

    Faizal AF4 yang bakal melancarkan album sulungnya bulan ini juga berasa amat prihatin dengan nasib mangsa-mangsa banjir berkenaan dan dia dapat merasakan penderitaan mereka apabila pernah melihat kejadian banjir berhampiran kampungnya di Terengganu dahulu.

    Katanya, walaupun dia sekeluarga yang menetap di Marang, Terengganu tidak pernah dilanda masalah banjir tetapi dia dapat melihat kampung berdekatan dinaiki air dan ia memang menyentuh hatinya.

    Felix AF3 pula ketika ditemui turut merasakan keperitan mangsa-mangsa banjir apabila dia pernah membantu mangsa-mangsa banjir di Kampung Ribut Greg, Keningau Sabah yang bersebelahan dengan kampungnya tidak lama dahulu.

    Melihat keadaan itu, Felix berharap agar ada artis-artis atau badan-badan korporat turut sama menghulurkan bantuan dan memberikan sokongan moral kepada mereka yang terlibat.

    Sementara itu, Adam AF2 bercita-cita ingin membuat kerja-kerja amal selepas melihat kepayahan dan penderitaan mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Yong Peng agar bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

    ‘‘Saya terpanggil untuk membuat kerja-kerja amal pada masa akan datang dan berharap dapat sokongan semua artis di Malaysia sebagai memberi sokongan moral dan kebajikan yang berterusan kepada sesiapa yang memerlukan,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.

    0 comments

    Photobucket - Video and Image Hosting

    5,000 serbu finalis ABPBH

    Sunday, January 14, 2007

    Oleh Mohd Amin Jalil
    Source: Berita Harian, 14 January 2006


    LATEST NEWS: ABPBH SPECIAL

    SEREMBAN: Program penjelajahan finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 di Terminal One, di sini semalam mendapat sambutan hebat apabila lebih 5,000 peminat membanjiri kompleks beli-belah itu.


    Peminat teruja apabila berpeluang mendekati artis kesayangan dari dekat termasuk menyaksikan persembahan bermula dari jam 2 hingga 7 petang apabila mereka tidak berganjak dari kawasan pentas.

    Antara artis yang mengadakan persembahan ialah Faizal AF4, Khairil Rashid, Kieran, Amylea, Azli Zainal, Nikki, Nana, Dayang Nurfaizah dan Jacklyn Victor.

    Selain persembahan artis, peminat pelbagai peringkat usia turut berpeluang bergambar bersama artis pilihan mereka di ruang khas yang disediakan penganjur, manakala orang ramai juga boleh membeli pelbagai cenderamata ekslusif anugerah itu.

    Malah, ada wakil daripada syarikat rakaman dan kelab peminat artis mengadakan promosi masing-masing dengan mengedarkan pelbagai cenderamata seperti kalendar, kalendar poket, selain borang penyertaan untuk menyertai kelab berkenaan.

    Antara artis yang melakukannya ialah Faizal AF4 menerusi Kelab Peminat AF Faizal ‘Senyum Sokmo’ FFC yang menawarkan yuran keahlian RM20.

    Program penjelajahan finalis ABPBH mendapat kerjasama penaja seperti Naza Motor, Habib Jewels, Transnasional, Royal Brunei, Edward Forrer, The Mines, JVC, Kia Motors selain TV3 sebagai stesen televisyen rasmi dan Radio ERA sebagai stesen radio rasmi.

    Program penjelajahan berikutnya ialah Kompleks Pasir Gudang Johor, hari ini bermula jam 2 hingga 7 petang. Anugerah itu akan berlangsung di Genting Highlands, 4 Februari ini.

    0 comments

    Photobucket - Video and Image Hosting

    18 selebriti berkumpul di Seremban, Johor

    Oleh: Nurulhisham Abdul Latiff
    Source: Berita Harian, 14 Januari 2006
    LATEST NEWS: ABPBH SPECIAL

    Penganjur, penaja hargai komitmen peminat, finalis dalam menjayakan siri penjelajahan ABPBH '06

    TERMINAL 1, Seremban dan Kompleks Pasir Gudang, Johor Bahru menjadi dua destinasi seterusnya siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ‘06 apabila sekumpulan artis yang terdiri daripada penyanyi, pelakon, pengacara TV dan penyampai radio menghala ke selatan tanah air pada esok dan Ahad ini.

    Seramai 18 selebriti terkenal yang terdiri daripada 16 finalis ABPBH ‘06 serta dua penyampai dari Era (radio rasmi anugerah), Zizi dan Reza, akan muncul di Terminal 1 pada jam 3 petang, 13 Januari, manakala keesokannya, 14 Januari, pada waktu yang sama mereka akan bertandang di Kompleks Pasir Gudang pula.

    Selain dua penyampai popular itu, barisan finalis yang mengikuti rombongan jelajah ke selatan ialah Sheila Rusly, Dayang Nurfaizah, Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Aznil Nawawi, Faizal AF, Felix, Nana, Akbar, Ina Naim, Izwan Pilus, Khairil Rashid, Kieran, Yassin, Fazli Zainal, Nikki dan Amylea.

    Pengurus Pemasaran dan Promosi Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi), Mas Ayie Mas Omar, berkata dijangkakan lebih 5,000 pembaca Berita Harian (BH) dan peminat akan mengerumuni setiap lokasi berkenaan apabila artis terkenal itu membuat kemunculan pada acara hujung minggu ini, yang dijangka berlangsung selama empat jam.

    “Saya bagi pihak BH dan Akademi sebagai penganjur bersama cukup berasa bangga dengan sambutan yang diberikan oleh orang ramai setakat dua siri jelajah yang lalu (di Terengganu dan Pulau Pinang). Justeru, kami menjangkakan lebih ramai peminat akan membanjiri dua destinasi berikutnya apabila siri jelajah ini berada di selatan.

    “Komitmen yang diberikan oleh artis yang terbabit juga amat baik. Lebih membanggakan, jumlah finalis mahu pun selebriti yang menyertai rombongan ke setiap destinasi adalah jauh lebih ramai berbanding tahun lalu atau sebelumnya. Sudah tentu, perkembangan memberangsangkan ini menjadi hadiah terbaik buat peminat, terutama pembaca BH sempena sambutan ulang tahun ke-20 ABPBH,” katanya.

    Kata Ayie, sepanjang siri jelajah kali ini, dia sendiri dapat melihat pelbagai reaksi peminat apabila mereka dapat bersalaman, bergambar, serta mendekati artis pujaan.

    “Ada antara mereka yang tidak dapat berkata apa-apa apabila terpilih menaiki kenderaan Naza Kia bersama artis kesayangan. Maklumlah, selama ini, mereka hanya mengenali artis itu menerusi akhbar, majalah mahu pun televisyen. Kali ini, ABPBH membawa artis popular terbabit berada betul-betul di hadapan mereka,” kata Ayie lagi.

    Menaiki kereta bersama finalis hanyalah satu daripada acara yang disediakan sepanjang road tour. Banyak lagi pengisian menarik yang mampu dialami peminat sepanjang acara berlangsung, termasuk persembahan nyanyian, sesi ramah mesra bersama artis serta jualan barangan eksklusif ABPBH.

    “Kepada peminat yang berkunjung ke kedua-dua lokasi ini, seharusnya mereka tidak lupa mendapatkan barangan eksklusif edisi terhad yang dijual kerana ia adalah edisi terhad sempena ulang tahun ke-20 ABPBH. Mereka tidak akan mendapatkan barangan serupa pada tahun-tahun akan datang,” jelas Ayie yang cukup gembira dengan sambutan hangat diberikan kepada jualan berkenaan.

    Kata Ayie lagi, berlainan dengan persembahan yang dilakukan di beberapa lokasi siri jelajah ABPBH ‘06 sebelum ini, peminat di Pasir Gudang dan Seremban hampir pasti dikejutkan dengan sebuah lagi acara yang membabitkan beberapa finalis. “Datang saja ke lokasi yang disebutkan, dan anda pasti terhibur dengannya,” janji Ayie.

    Kedatangan orang ramai juga, kata Ayie, pasti tidak sia-sia apabila penaja ABPBH ‘06, Habib Jewels Sdn Bhd dan Edward Forrer Malaysia menyediakan pelbagai hadiah menarik untuk peminat bertuah, selain berpeluang menaiki kenderaan tajaan Naza Kia Sdn Bhd.

    0 comments

    Photobucket - Video and Image Hosting

    Ruang mesra bersama artis

    Oleh Farihad Shalla Mahmud
    Source: Berita Harian, December 2006

    LATEST NEWS: ABPBH SPECIAL

    Acara promosi ABPBH 2006 medan finalis berkongsi cerita

    IBARAT serampang dua mata. Itulah gambaran yang dapat diberikan mengenai siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006 (ABPBH ‘06) yang bertandang ke utara Semenanjung tanah air, pada Sabtu dan Ahad lalu.

    Terbukti acara yang mengeratkan peminat dan artis itu juga sebenarnya mampu merapatkan hubungan semua finalis dan memberi peluang mereka bertanya khabar dan bermesra secara lebih dekat, malah mereka juga dapat mengenali lebih dekat penganjur dan pihak penaja.

    Walaupun cuma sempat sehari berkampung di Hotel Berjaya Georgetown, kediaman rasmi rombongan ABPBH 06 di Pulau Pinang, itu bukanlah halangan untuk mereka mengukuhkan tali silaturrahim. Barangkali itulah kelebihannya apabila mengadakan promosi di luar Kuala Lumpur kerana bukan mudah untuk berkumpul sesama mereka apatah lagi masing-masing sering dihambat waktu dan tuntutan tugas sebagai anak seni yang tidak pernah berkesudahan.

    Buktinya, ada juga rakan artis yang mengambil kesempatan mengambil gambar serta bertukar-tukar cerita dan pandangan sesama mereka mengenai kerjaya senii sewaktu menanti giliran membuat persembahan di pentas. Malah, ada yang menjadikan siri promosi itu sebagai tempat meluahkan perasaan dan berkongsi cerita sensasi dan peribadi.

    Kemesraan yang terjalin itu tidak terhenti setakat itu saja malah berlanjutan sehingga majlis ‘post party’ yang dianjurkan pihak hotel sebaik saja semua finalis selesai mengadakan persembahan di Queensbay Mall, petang Ahad lalu.

    Walaupun keletihan, perasaan itu seakan hilang apabila melihat masing-masing terhibur dengan persembahan spontan rakan artis, penganjur dan penaja yang cukup sporting menyanyi dan serta menari pada sebelah malamnya.

    Gelaran artis paling havoc pastinya menjadi milik pengacara keletah, Raja Azura atau lebih popular dengan panggilan Kak Engku apabila dia menyanyi dan menari sakan dengan pelbagai rentak lagu termasuk irama dangdut sambil diiringi kumpulan muzik residen hotel terbabit, Acropolis.

    Paling melucukan, gandingannya dengan juara Akademi Fantasia 4, Faizal menerusi lagu Hanya Memuji menjadikan tetamu yang ada pada malam itu tidak kering gusi menyaksikannya. Begitulah kata pepatah, tak kenal maka tak cinta, walaupun berkesempatan bersama selama dua hari, itu sudah cukup membuahkan kemesraan semua ahli rombongan terbabit.

    Yang penting, biarlah hubungan kekeluargaan itu berkekalan sampai bila-bila dan itulah matlamat sebenar penganjuran majlis anugerah cukup berprestij ini yang bakal berlangsung pada malam 4 Februari ini di Genting Highlands.

    0 comments

    Photobucket - Video and Image Hosting

    Meriah sakan

    Oleh Farihad Shalla Mahmud
    Source: Berita Harian, December 2006


    LATEST NEWS: ABPBH SPECIAL



    Promosi jelajah ABPBH 2006 di Kedah, Pulau Pinang catat kenangan

    TIDAK dapat dinafikan setiap kali bintang, finalis dan krew siri promosi jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006 (ABPBH 06) bertandang ke lokasi terpilih, sambutan yang diterima jarang sekali mengecewakan.

    TUNJUK BAKAT: Yassin
    menunjukkan keboleha bermain
    gitar buat peminatnya.

    Jika dua minggu lalu, warga Terengganu senyum sokmo menyambut kedatangan rombongan ini, Ahad lalu sambutan yang sama diterima mereka.

    Penduduk utara semenanjung juga cukup sporting dan gembira menerima kunjungan rombongan terbabit menjadikan suasana begitu meriah dan penuh kemesraan. Betapa dapat dilihat hubungan baik peminat dan artis yang menjadikan ABPBH 2006 sebagai medan perantara untuk masing-masing beroleh kenangan terindah.

    Siri jelajah promosi ABPBH 2006 berlangsung di Queensbay Mall, Bayan Baru pada petang kelmarin, manakala Sabtu lalu di Kompleks Plaza Jerai, Gurun.

    Biarpun cuaca di bumi Pulau Pinang ‘kurang baik’ baik” apabila dilanda hujan sepanjang hari, namun itu bukanlah penghalang apabila lebih 5,000 penonton membanjiri kompleks membeli belah Queensbay Mall yang begitu bermurah hati menjadikan kompleks setinggi lima tingkat itu sebagai lokasi promosi.

    Kepenatan berjalan jauh dari Kuala Lumpur serta mengadakan persembahan di Kompleks Plaza Jerai, Gurun, hari sebelumnya bagaikan tidak terasa sebaik saja melihat kesetiaan warga Pulau Mutiara menanti kedatangan artis pujaan mereka yang sebelum ini hanya mampu disaksikan dari jauh atau menerusi kaca televisyen saja. Di Gurun juga, sekitar 5,000 penonton berpusu-pusu untuk menyertai majlis beramah mesra dengan finalis ABPBH 2006.

    Enggan membiarkan peminat terus menanti, tiga pengacara terkenal, Aznil Nawawi, Raja Azura dan penyampai Radio Era, Rostam memulakan persembahan dengan celoteh mereka yang sememangnya melucukan.

    Penyanyi yang terkenal dengan jolokan Kajol Malaysia, Farawahida membuka tirai persembahan dengan lagu popularnya, Tanpamu diikuti lagu balada, Kenangan Terindah oleh kumpulan Samsons.

    Izwan Pilus yang semakin dikenali dengan lagu Indah Lelapku juga berjaya memukau penonton dengan kelunakan vokalnya. Bukan sekadar menghiburkan tetapi Izwan turut mengambil kesempatan itu untuk mengedarkan posternya sebagai hadiah kepada penonton.

    Persembahan petang itu menjadi lebih gamat apabila Bintang Paling Popular ABPBH 05, Mawi muncul membuat persembahan. Bersama ‘adiknya’ dari Akademi Fantasia 4, Faizal, mereka berpaduan suara menerusi lagu yang juga disampaikan Mawi secara duet bersama M Nasir, Lagu Jiwa Lagu Cinta.

    Seperti biasa, kehadiran Mawi membuatkan penonton yang hadir tidak senang duduk dan berasak-asak untuk merakamkan gambar penyanyi kontroversi itu.

    Antara artis dan selebriti lain yang terbabit dalam promosi ini ialah Marsha, Leez AF4, Amylea, Nikki, Fazli Zainal, kumpulan Khafi, Yassin, Ako Mustapha, Kieran, Ihkwan dan Sharifah Aleya.

    Pada acara itu juga, orang ramai dan peminat berebut membeli pelbagai barangan cenderahati yang dijual bersempena edisi khas ke-20 ABPBH seperti baju-T berkolar dan berkolar bulat, topi dan tali penyandang.

    Sementara itu, pada Sabtu yang lalu, lebih 5,000 peminat yang turut membanjiri Kompleks Plaza Jerai turut mengambil kesempatan membeli pelbagai cenderahati yang disediakan. Gurun menjadi lokasi persinggahan promosi jelajah ini. Pujian sewajarnya diberikan kepada peminat di sini kerana sikap sporting mereka yang tidak kisah membuat apa saja demi menghidupkan suasana menjadikan acara yang memakan masa lebih empat jam itu tidak membosankan.

    Selain dihiburkan dengan nyanyian, peminat juga berpeluang memenangi hadiah menerusi kuiz yang dianjurkan seperti meneka gambar artis dan kuiz mengenai ABPBH. Peminat bertuah juga berpeluang menaiki kereta bersama artis pujaan mereka mengelilingi kompleks membeli belah terbabit yang ditaja oleh Naza Kia Sdn Bhd.

    Penginapan finalis ABPBH 2006 di Pulau Pinang ditaja oleh Berjaya Georgetown Hotel manakala pengangkutan pula ditaja oleh Transnasional. Hadir sama menyaksikan persembahan ini, Pengarang Hiburan Berita Harian, yang juga Pengerusi Pengelola ABPBH 2006, Hanizam Abdullah dan timbalannya, Roslen Fadzil.

    ABPBH 2006 yang dijadualkan berlangsung di Genting Highlands, Pahang, pada 4 Februari depan mendapat tajaan utama daripada Habib Jewels Sdn Bhd serta Naza Kia Sdn Bhd.

    Penaja lain termasuklah Edward Forrer, Palace of the Golden Horses, JVC dan Royal Brunei yang menjadikan jumlah keseluruhan tajaan melebihi RM2.75 juta!

    0 comments

    Photobucket - Video and Image Hosting

    15 artis berkampung di Kedah, Pulau Pinang

    Oleh Farihad Shalla Mahmud
    Source: Berita Harian, December 2006

    LATEST NEWS: ABPBH SPECIAL

    Finalis ABPBH 2006 sudah tidak sabar untuk bertemu peminat di Utara Semenanjung bermula esok

    SELEPAS menggegarkan Kuala Terengganu menerusi acara pembukaan siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 pada 22 dan 23 Disember lalu, kini acara sama bakal ‘menyerang’ Kedah dan Pulau Pinang, mulai esok.

    Acara promosi kali ini dijangka lebih meriah apabila ramai artis popular turun padang untuk bertemu dan beramah mesra dengan peminat yang selama ini begitu setia menyokong kerjaya seni mereka.

    Bagi mereka yang berada di Kedah, luangkan masa anda ke Kompleks Plaza Jerai, Gurun esok mulai jam 2 petang kerana sebelum berkonvoi ke Pulau Pinang rombongan ABPBH 2006 akan singgah sebentar di sana.

    Kalau anda ingin beramah mesra dengan juara Akademi Fantasia musim keempat Faizal, Marsha AF, Amylea AF, Izwan Pilus, Farawahida, Fazli Zainal, Leez AF4, Ako Mustapha, Nikki, Khairil Rashid dan Kieran inilah masanya kerana mereka akan meluangkan masa dan menghiburkan peminat yang hadir di kompleks beli-belah itu.

    Acara itu akan dikendalikan tiga pengacara hebat iaitu pengacara nombor satu negara Aznil Nawawi, Raja Azura dan penyampai Era, Rostam.

    Keesokan harinya (Ahad), finalis ABPBH akan menambahkan kehangatan Pulau Pinang dan lokasi bertuah yang terpilih untuk menyaksikan acara bersejarah itu adalah Queensbay Mall, Bayan Baru. Menambahkan lagi kemeriahan, Bintang Paling Popular ABPBH tahun lalu, Mawi akan turut serta menghiburkan pengunjung.

    Pengurus Promosi dan Pemasaran Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi), Mas Ayie Mas Omar, berkata menerusi siri promosi itu, peminat berpeluang beramah mesra dengan finalis yang selama ini hanya mampu ditonton dari jauh atau di kaca televisyen.

    "Program di Queensbay Mall bermula pada jam 2 petang. Oleh itu saya nasihatkan mereka supaya datang lebih awal untuk mengelakkan kesesakan atau terlepas peluang untuk menemui artis kesayangan mereka.

    Peminat yang bertuah juga berpeluang menaiki kenderaan yang disediakan penaja iaitu Naza Kia Sdn Bhd bersiar-siar mengelilingi kompleks beli-belah terbabit.

    “Kita turut mengadakan sesi menandatangani autograf dan bergambar bersama artis selepas selesai acara persembahan. Mereka harus mendapatkan barangan eksklusif terhad ABPBH 2006 yang akan dijual di gerai khas, ” kata Mas Ayie.

    Antara barangan eksklusif terhad ABPBH 2006 yang akan dijual di kedua-dua lokasi merangkumi kemeja-T berkolar, kemeja-T leher bulat, baby-T, buku autograf, rantai kunci, payung, tumbler, mug, pemetik api, topi dan tuala.

    Pada 13 Januari pula, siri penjelajahan diteruskan di Terminal One, Seremban, Negeri Sembilan dan disusuli ke Kompleks Pasir Gudang, Johor pada 14 Januari. Siri penjelajahan akan berakhir dan upacara penutup yang meriah akan diadakan di Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 27 Januari sebelum malam kemuncak di Arena Of Stars, Genting Highlands pada 4 Februari depan.

    0 comments

    Photobucket - Video and Image Hosting

    Warga Terengganu senyum sokmo eh!

    Oleh: Zubir Mond Yunus
    Source: Berita Minggu, Bintang Popular, December 2006

    LATEST NEWS: ABPBH SPECIAL

    BAGAIKAN satu karnival apabila bumi Terengganu menyambut kedatangan bintang, finalis dan krew siri penjelajahan pertama Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006, hujung minggu lalu. Siapa sangka, sambutan begitu hangat diberikan sekalipun negeri itu sedang menerima kedatangan musim tengkujuh dan banjir di beberapa kawasan.

    Kejutan terlihat apabila dianggarkan kira-kira 8,000 pengunjung membanjiri perkarangan dewan tertutup di Kompleks Sukan, Terengganu Equestrian Resort (TER) untuk menyaksikan majlis perasmian road tour pertama ABPBH 2006 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Perindustrian dan Pelancongan Negeri, Datuk Mohamed Awang Tera, selain persembahan hiburan oleh artis undangan.

    Komitmen artis yang menyertai siri pertama jelajah ABPBH 2006 ini cukup luar biasa. Tidak keterlaluan apabila penulis memberi pujian kepada finalis Pelakon Filem Lelaki Popular, Farid Kamil yang terpaksa naik ke pentas dalam keadaan bertongkat apabila tisu pergelangan kakinya tercedera selepas bermain bola sepak. Bukan itu saja, pelakon filem Remp-It itu tetap mengajak peminat ronda-ronda dalam kenderaan tajaan Naza Kia!

    Begitu juga dengan semangat yang ditunjukkan Leez Akademi Fantasia 4 (AF4), calon akhir kategori Artis Baru Wanita Popular apabila dalam keadaan kakinya yang masih merah selepas tercedera ketika bermain bola jaring sehari sebelum itu, masih mampu menguntum senyuman, selain mendendangkan lagu Teman Tapi Mesra dan lagu barunya Merah Itu Jingga dengan penuh lantang.

    Pun begitu, artis yang paling menjadi perhatian pada konsert itu nampaknya Nor Diana Mohd Naim atau Ina Naim, finalis Artis Baru Wanita Popular. Jelas puluhan peminat menyerbu bahagian depan pentas untuk bersalaman dan mengambil fotonya ketika Ina mengalunkan lagu barunya, Duhai Hati.

    AMBOI sayangnya adik-adik
    pada Ina Naim.


    Selain Ina, turut menjadi perhatian ramai ialah kemunculan penyampai Hot FM, Fara Fauzana bersama rakan setugasnya seperti Faizal Ismail dan Khairul Ikhwan apabila peminat menyerbu mereka sehingga ke belakang pentas, sekali gus memaksa petugas Jabatan Pertahanan Awam (JPA) mententeramkan keadaan!

    Selain mereka, finalis ABPBH 2006 yang turut membuat persembahan ialah kumpulan Mirwana, Faizal AF4 dan Izwan Pilus, selain kemunculan istimewa pengacara TV3, Ally Iskandar, Intan Ladyana, kumpulan nasyid Firdaus dan Zehra Zambri.

    Turut membuat kejutan apabila Arni Nazira muncul menyampaikan lagu hitnya dulu, Cinta Antara Benua.

    Pentas tambah ceria apabila Sheila Rusly dan Raja Azura berselang seli mengacarakan majlis berkenaan dengan cemerlang. Suasana tambah gamat apabila Yassin Sulaiman (Senario) muncul dengan jenaka selamba dan spontannya.

    Sambil memetik gitar, Yassin tidak habis-habis mengusik penonton yang enggan berganjak dari tempat duduk.

    Hadir sama menyaksikan persembahan itu ialah Penaung ABPBH 2006 yang juga Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail; Pengerusi Jawatan Kuasa Induk ABPBH 2006, Hanizam Abdullah dan Timbalannya, Roslen Fadzil.

    Pada acara itu juga, orang ramai berebut-rebut membeli pelbagai barangan cenderahati yang dijual khas bersempena edisi ke-20 ABPBH seperti baju-T berkolar dan berkolar bulat, topi dan tali penyandang.

    Masa untuk keluar peluh

    SELAIN acara konsert pada Sabtu lalu, sehari sebelumitu, rombongan siri pertama jelajah ABPBH 2006 turutmenyertai acara sukan iaitu perlawanan bola sepak, bola jaring dan bowling, membabitkan kumpulan selebriti menentang pasukan pilihan Menteri Besar (MB) Terengganu di Terengganu Equestrian Resort (TER).

    Pelbagai insiden mengejutkan terlihat di tengah padang terutama Farid Kamil yang lincah menggelecek bola tiba-tiba terseliuh di bahagian buku lali, lalu diusung keluar hinggalah terpaksa dikejarkan ke wad kecemasan.

    Nasib yang sama menimpa Leez AF4 yang tercedera dan terpaksa menerima rawatan segera di hospital.

    Begitulah hebatnya komitmen Farid dan Leez yang sanggup menahan sakit demimenjayakan promosi ABPBH 2006 kali ini.

    Barisan artis lain yang turun padang juga beraksi dengan bersungguh-sungguh.

    Mereka kerap diusik Raja Azura (Kak Engku) yang tidak putus-putus berceloteh sambil membuat ulasan selari.

    Pada sebelah malam, majlis makan malam berlangsung di TER dengan dihadiri wakil kerajaan negeri Terengganu, artis dan kakitangan pengurusan BHSB. Sambil makan tetamu turut berkaraoke dan bertukar-tukar pandangan.

    Kemudian permainan bowling berlangsung sehingga ke tengah malam, menyaksikan pelbagai lagi telatah lucu terutama mereka yang kerapmembaling bola ke longkang!

    Penjelajahan di Kuala Terengganu turut ditaja Permai Inn Kuala Terengganu dan bas ekspres Transnasional. Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, Ahad lalu, peserta juga tidak ketinggalan singgah membeli ole-ole seperti keropok lekor, kain batik dan ikan kering untuk dibawa pulang.

    ABPBH 2006 yang dijadualkan berlangsung di Genting Highlands, Pahang, pada 4 Februari depan mendapat tajaan utama dari Habib Jewels Sdn Bhd serta Kumpulan Naza.

    Penaja lain termasuklah Edward Forrer, Palace of the Golden Horses, JVC dan Royal Brunei yangmenjadikan jumlah tajaanmelebihi RM2.75 juta!

    0 comments

    Photobucket - Video and Image Hosting