Berita Faizal

Faizal AF4 mula rasa bahang jadi artis

Wednesday, August 30, 2006

Oleh: Wahida Asrani
Source: Mstar online

"Saya sudah lebih berkeyakinan," itulah luahan oleh Mohammad Faizal Ramliy, atau Faizal ketika menceritakan 'perubahan' yang berlaku pada dirinya setelah hampir sebulan bergelar juara Akademi Fantasia musim keempat (AF4).




"Insyaallah, beri sedikit masa lagi saya rasa saya sudah boleh sesuaikan diri dengan industri ini sepenuhnya," ujar Faizal ketika hadir di Menara Star
(foto The Star)

Menurut jejaka berusia 22 tahun ini, pengalaman yang dikutipnya sedikit demi sedikit sejak bergelar artis telah mendewasakan dirinya.

"Dulu ada juga tertekan dengan perhatian yang saya terima. Tetapi, sekarang ini saya sudah mula boleh biasakan diri.

"Insyaallah, beri sedikit masa lagi saya rasa saya sudah boleh sesuaikan diri dengan industri ini sepenuhnya," ujar Faizal ketika hadir di Menara Star, baru-baru ini.

Dengan sikap lurus bendulnya, anak kelahiran Marang, Terengganu ini pernah dikatakan bakal menghadapi masalah jika berhadapan dengan sebarang gosip dan kontroversi kelak.

Namun, itu semua disangkal oleh Faizal.

"Saya anggap diri saya masih belajar. Apa yang saya boleh katakan, saya sudah bersedia untuk apa saja yang bakal berlaku.

"Jika benar ada tanggapan-tanggapan negatif tentang diri saya, saya akan cuba bersabar dan tangani dengan baik," kata Faizal lagi.

Jejaka yang cukup terkenal dengan tagline Senyum Sokmo ini juga turut menceritakan pengalaman pertamanya menangani dakwaan kononnya keluarganya sanggup berhutang dan bergadai tanah semata-mata untuk mengundi agar Faizal dapat bergelar juara AF musim ini.

"Waktu itu saya pula baru keluar dari AF. Terkejut bila ramai yang bertanya pada saya tentang perkara itu. Tapi, nasib baik juga saya tidak cepat melatah dan bertanya sendiri tentang perkara tersebut pada ayah.


"Tetapi, jika benar saya dipilih, saya memang berbesar hati untuk terima tawaran tersebut. Bukan kerana populariti, tapi saya sanggup pikul tanggungjawab ini untuk memajukan belia tempat kelahiran saya sendiri," ujar Faizal
(foto The Star)

"Daripada situ, saya mula sedar masih banyak yang akan saya tempuhi selama saya berada di dalam industri ini. Nasib baik juga semuanya sudah selesai. Ia hanya salah faham.

"Keluarga saya hanya berhutang buat kain rentang, bukan untuk SMS. Tapi, hutang sebanyak RM8,000 itu sudah pun dilangsaikan oleh ahli keluarga saya sendiri," tambah Faizal yang juga kini adalah ahli Putera UMNO.

Ditanya mengenai khabar angin bahawa dia bakal dilantik sebagai Duta Belia Terengganu, Faizal menjelaskan semuanya masih belum disahkan lagi.

"Saya pun ada terdengar tentang perkara ini. Setakat ini, tiada lagi orang yang berkenaan datang pada saya.

"Tetapi, jika benar saya dipilih, saya memang berbesar hati untuk terima tawaran tersebut. Bukan kerana populariti, tapi saya sanggup pikul tanggungjawab ini untuk memajukan belia tempat kelahiran saya sendiri," ujar Faizal.

'Berdebar' menanti hadiah kemenangan
Faizal juga mengakui agak berdebar menantikan hadiah mewah bernilai RM400,000 yang diterima sebagai pemenang AF4, apatah lagi seumur hidupnya tidak pernah menikmati kemewahan seperti itu.

"Saya tidaklah terlalu memikirkan tentang hadiah-hadiah tersebut. Tapi, saya berniat untuk salurkan sedikit wang itu nanti kepada keluarga, anak-anak yatim dan selebihnya saya akan gunakan untuk meningkatkan lagi tahap kerjaya saya, seperti mengikuti kelas tarian dan vokal.

"Memandangkan saya juga akan dapat sebuah kereta nanti, saya berharap agar dapat ikuti kelas memandu secepat mungkin. Tapi, tak tahulah bila dan di mana sebab ketika ini pun saya teramat sibuk," katanya.

Hadiah yang bakal diterimanya itu termasuk wang tunai RM20,000, sebuah kondominium di A’Famosa, Melaka, kereta Toyota Vios, pakej percutian ke Paris dan pelbagai peralatan elektrik.

Gembira dengan 'album' pertama
Syawal kali ini, Faizal bersama rakan-rakan AF4 yang lain akan muncul dengan album berjudul Hari Raya AF4.

Walaupun hanya sebuah album bersempena sambutan Syawal dan bukan album solo yang amat dinanti-nantikan olehnya, Faizal tetap bangga.

"Seronok sangat ada album sendiri. Dapat juga saya rasa jadi artis rakaman dan merasa pengalaman rakam lagu di dalam studio.

"Insyaallah, album solo saya akan menyusul kemudian. Semuanya masih di dalam perancangan," ujarnya.

Di dalam album Hari Raya AF4, Faizal menyanyikan dua buah lagu iaitu Sepasang Kurung Biru dan sebuah lagi Salam Aidilfitri duet bersama Haziq.

0 comments

Photobucket - Video and Image Hosting

Faizal AF4 hiburkan 30,000 peminat di Marang

Tuesday, August 22, 2006

Oleh: IRMAN HASHIM

Source: Utusan Malaysia

KEPULANGAN juara Akademi Fantasia 4 (AF4), Mohamad Faizal Ramily atau Faizal ke Terengganu selama tiga hari disambut dengan meriah oleh penduduk negeri itu.

FZAIZAL meraikan hari lahirnya sambil ditemani ibunya, Zanidah Awang (kiri)
dan bapanya Ramily Yaacob (dua dari kiri) di Hotel Primula, Kuala Terengganu.

Hampir 30,000 peminatnya mengambil peluang melepaskan rindu terhadap bintang baru AF4 itu dengan menyerbu ke Pantai Peranginan Kelulut, Marang untuk menyaksikan persembahannya pada malam Rabu lalu.

Jalan raya sejauh 10 kilometer sesak apabila mereka mula berpusu-pusu ke pantai berkenaan sejak pukul 6 petang bagi menyaksikan persembahan sulung anak kelahiran Marang itu di Terengganu.

Faizal yang pertama kali pulang ke Terengganu sejak menyertai AF4 sekitar Jun lalu melahirkan rasa terharunya ekoran sambutan di luar jangkaan itu.

“Saya berasa gembira dapat pulang ke Terengganu kerana saya sangat rindukan kampung halaman. Sebelum ini, paling lama pun saya tinggalkan Terengganu seminggu,” katanya.

Beliau yang tidak putus-putus melemparkan senyuman ke arah peminat melahirkan kegembiraan kerana dapat memberikan persembahan khas untuk penduduk Terengganu pada malam itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua terutama penduduk Terengganu kerana membantu saya mencapai cita-cita untuk menjadi seorang penyanyi,” ujarnya.

Bagi menghiburkan para peminatnya pada malam itu, Faizal menyampaikan lapan buah lagu termasuk Dealova, Lihatlah, Kamalia, Blues Terengganu Kita dan dua lagu rakyat Terengganu, Wa Timang Landak serta Anak Udang.

Faizal juga mendapat hadiah istimewa daripada Kelab Penyokongnya apabila mereka mengadakan sambutan hari lahirnya yang ke-22 secara mengejut selepas persembahannya di Pantai Peranginan Kelulut.

Kira-kira 50 ahli kelab tersebut memberikan kejutan berkenaan apabila Faizal tiba di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu.

Faizal ketika ditemui memberitahu, makanan pertama yang dicari sekembalinya ke Terengganu ialah keropok lekor.

“Saya rindukan keropok lekor ketika berada dalam AF dan kini saya dapat merasa keropok lekor Marang. Mungkin kalau saya ada masa, saya akan cari keropok lekor di Losong,” ujarnya.

*Jadual ketat

Apabila ditanya sama ada kehidupannya berbeza setelah menjadi juara AF4 , Faizal berkata, tiada sebarang perubahan berlaku dalam dirinya cuma jadual kariernya sebagai artis kini agak ketat kerana perlu memenuhi komitmen yang ditetapkan oleh Maestro.

“Saya tetap tidak berubah dan personaliti saya boleh dilihat ketika saya mengadakan persembahan,” katanya.

Faizal juga berjanji akan lebih berhati-hati mengorak langkah dalam melebarkan sayap seninya pada masa depan agar tidak dilihat sebagai lupa daratan.

Berhubung penghasilan album sulungnya, Faizal berkata, perkara itu akan ditentukan oleh pihak Maestro.

Bagaimanapun, beliau kini telah merakamkan sebuah lagu raya bersama seorang lagi bintang AF4, Haziq.

“Saya akan merakamkan dua buah lagi lagu raya selepas pulang ke Kuala Lumpur nanti,” jelasnya.

Sementara itu, Faizal menafikan dakwaan beliau pernah didakwa polis kerana terlibat dalam kegiatan lumba haram.

“Saya mempunyai ramai rakan di kalangan mat motor tetapi saya tak pernah berlumba dengan mereka,” ujarnya.

Bila ditanya mengenai teman wanita, Faizal memberitahu: “Buat masa ini saya hanya mahu fokus dalam bidang seni untuk mengukuhkan kedudukan saya sebelum berfikir ke arah itu.”

0 comments

Photobucket - Video and Image Hosting