Berita Faizal

Majlis Pelancaran Faizal Fanclub

Friday, September 29, 2006

Oleh: Shazryn Mohd. Faizal
Source: Utusan Malaysia, 29 September 2006

“TIDAK semeriah seperti majlis yang dianjurkan untuk juara AF3, Mawi tahun lalu.” Begitulah hati penulis berbisik sebaik kaki melangkah masuk ke dewan besar Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur bagi menyaksikan majlis pelancaran album kompilasi The Best of Faizal AF4 baru-baru ini.

Malah, tidak kelihatan langsung kelibat pengawal peribadi yang mengiringi Mohd. Faizal Ramly atau Faizal, si juara AF4 sepanjang majlis itu. Ia satu senario yang berbeza jika dibandingkan dengan Mawi yang mempunyai lebih daripada lima orang pengawal mengawasi dan mengiringinya ke mana saja dia pergi ketika dia baru bergelar juara AF3 dulu.

Adakah ini menunjukkan bahawa Faizal dianaktirikan oleh syarikat rakamannya sendiri iaitu Maestro Records?

Perjalanan acara majlis pelancaran album itu pun boleh dikatakan ala kadar sahaja.

Ini mungkin berlaku kerana ia dianjurkan oleh kelab peminat Faizal dan bukan Maestro Records?

Persoalannya, kenapa Maestro tidak menganjurkannya?

Ketua Pegawai Operasi Maestro, Freddie Fernandez yang turut hadir pada majlis itu cuba memberi penjelasan.

Katanya: “Sejak keluar dari Akademi Fantasia sebulan lalu, jadual Faizal memang padat. Dia memang sibuk. Undangan persembahan untuknya banyak. Jadi, kami tidak dapat mencari masa yang sesuai untuk mengadakan majlis pelancaran albumnya.

FFC Launching

“Kebetulan hari ini kelab peminat Faizal mahu anjurkan majlis ini. Saya lihat tidak ada salahnya jika mereka mahu meraikan kejayaan Faizal.”

Malah Freddie juga menafikan bahawa populariti Faizal dilihat semakin suram berikutan tiada pendedahan publisiti mengenainya di dada-dada akhbar sejak kebelakangan ini.

“Soal kesuraman populariti Faizal tidak timbul kerana seperti yang saya katakan tadi, kesibukan Faizal menyebabkan pihak kami tidak dapat membawa Faizal bertemu pihak media massa.

“Malah peminat atau sesiapa sahaja tidak sepatutnya membandingkan Faizal dengan Mawi kerana kedua-duanya mempunyai kelebihan dan keistimewaan sendiri. Peminat perlu melihat soal ini sebagai satu persaingan yang sihat,” ujarnya.

Maestro, menurut Freddie, tidak pernah berniat mahu menganaktirikan mana-mana artis naungannya termasuk Faizal. Maestro kini dalam perancangan akhir menerbitkan album sulung Faizal yang akan berada di pasaran selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Begitu juga dengan album kompilasi naib juara AF4, Lotter dan pemenang tempat ketiga, Farhan yang akan dilancarkan sedikit masa lagi.

Faizal pula tidak menafikan bahawa sejak keluar dari Akademi Fantasia, kehidupannya kini berbeza berbanding sebelum mengecapi populariti.

“Memang saya rasa sedikit tertekan tetapi saya tidak mampu untuk menoleh ke belakang lagi. Ini jalan yang saya pilih dan saya harus meneruskannya. Yang penting saya akan beri yang terbaik buat peminat-peminat yang banyak berkorban untuk saya,” kata Faizal yang kelihatan masih malu-malu ketika ditemu bual pemberita.

Selain album kompilasi yang baru dilancarkan itu, Faizal turut terlibat menjayakan album kompilasi hari raya terbitan Maestro yang akan berada di pasaran tidak lama lagi. Dalam album berkenaan, Faizal berduet bersama Haziq menerusi lagu Salam Aidilfitri yang pernah dipopularkan oleh Saleem dan Jamal Abdillah. Untuk lagu solo pula, Faizal merakamkan semula lagu Sepasang Kurung Biru.
Dalam perkembangan lain, Faizal mengorak selangkah lagi apabila menjadi dipilih pengacara rancangan Uniknya Ramadan sebanyak 15 episod. Program itu disiarkan oleh Astro Ria setiap hari sepanjang Ramadan mulai pukul 6.58 petang.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Astro kerana memberi kepercayaan kepada saya. Ini merupakan pengalaman baru bagi saya,” ujarnya dalam nada gembira.

Album kompilasi The Best of Faizal AF4 yang kini berada di pasaran memuatkan kesemua lagu yang pernah dinyanyikan Faizal sepanjang beraksi dalam Akademi Fantasia.

Pada majlis pelancaran album itu, laman web rasmi Faizal iaitu www.faizalfc.net. juga dilancarkan serentak dengan pelancaran kelab peminat Faizal cawangan Lembah Klang.

0 comments

Photobucket - Video and Image Hosting

Di mana kurangnya Faizal?

Wednesday, September 27, 2006

Oleh : Norhayati Nordin
Source: Metro, 27 September 2006

Faizal RamlyHAMPIR empat bulan ??bergelar artis sebaik menjuarai Akademi Fantasia 4 (AF4), nama Faizal Ramly tidak `segah’ Mawi, pada tahun lalu. Hingga kini, pemuda dari Pantai Timur itu seperti `kurang’ mendapat perhatian peminat.

Malah, undangan nyanyian untuk Faizal juga tidaklah `sepadat’ Mawi. Boleh dikatakan jadual anak jati Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu sudah terisi hingga Februari, tahun depan. Justeru, bagaimana pula dengan juara baru AF4, Faizal?.

Di manakah kurangnya Faizal, hingga kemunculannya tidak disedari ramai. Hanya syarikat pengurusannya, Maestro Talent & Management (Maestro) mampu memberikan jawapannya. Biarpun menyandang gelaran juara, bakat pemuda itu seakan dipandang sepi.

Melalui ruangan Jarum Emas di Metro Ahad lalu disarankan supaya Faizal merangka pelannya sendiri untuk berjaya sebagai anak seni. Bagaimana kaedahnya, terpulang pada perancangan terperinci anak muda berusia 22 tahun itu.

Faizal berkata bukan dia tiada perancangan. Tetapi, biarlah sekarang ini ia diuruskan sepenuhnya oleh Maestro. Katanya sebagai orang baru, dia lebih senang kerjaya seninya diuruskan syarikat pengurusan.

“Setakat inipun, saya masih aktif. Saya dan pelajar AF4 lain sibuk menyiapkan beberapa program hari raya yang diuruskan Maestro dan Astro untuk kami. Justeru, masa tertumpu untuk menyiapkannya. Insya-Allah, lepas raya semuanya kembali seperti biasa.

“Saya tidak kisah, apa tanggapan orang. Sebagai individu yang mencari rezeki dalam industri ini, saya ada matlamat sendiri dan sentiasa bertekad melakukan yang terbaik,” katanya mengulas aktiviti seninya dikatakan `kurang’ menyerlah.

Ditanya pula mengenai perasaannya sama ada berasa `terpinggir’ atau tidak dengan tumpuan yang lebih diberikan Maestro kepada Mawi, pemuda pemalu itu berkata dia tidak pernah berasa dipinggirkan oleh Maestro. Katanya, antara dia dan Mawi,ada perbezaannya.

“Saya akui Mawi diminati ramai. Tetapi, saya percaya antara kami ada kelebihan masing-masing. Apapun, buat masa ini saya senang dengan pengurusan Maestro terhadap kerjaya seni yang baru tiga bulan diceburi. Masih terlalu banyak perlu saya pelajari lagi,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Operasi Maestro, Freddie Fernandez berkata Faizal kurang diketengahkan kerana buat masa ini dia sibuk dengan aktiviti lain. Katanya, selain pulang ke Terengganu, juara AF4 itu bersama bintang AF4 lain baru selesai penggambaran program raya Astro di Pulau Pinang.

“Baru-baru ini pun, kelab peminat Faizal FC dilancarkan termasuk album kompilasi The Best Of... Faizal Senyum Sokmo. Selepas ini, Faizal juga terbabit dengan rakaman album hari raya. Namun, apa boleh dibanggakan lagunya, Lihatlah berjaya menduduki carta Era.

“Sebagai bintang baru, sebenarnya masih banyak yang Maestro sedang rancangkan untuk Faizal. Tetapi, semuanya masih dalam perancangan. Tidak lama lagi, Faizal juga bakal muncul dengan album solo pertamanya yang mungkin berkonsepkan pop dan tradisional,” katanya.

Ditanya apakah bakat Faizal itu seakan `sepi’ disebabkan tumpuan utama lebih kepada Mawi, kata Freddie, itu tidak dinafikan. Sehingga sekarang, Mawi diminati ramai dan masih hangat. Jadi, antara Faizal dan Mawi, publisiti terbahagi dua.

“Oleh itu, sama ada Faizal perlu lebih bekerja keras. Selain itu, kami (Maestro) perlu mengambil tindakan sama (kerja keras) supaya kerjaya artis di bawah kami dapat diurus dengan baik. Apapun, Maestro memang ada perancangan untuk Faizal.

“Cuma, ia kena menunggu masa sesuai. Memandangkan Maestro mempunyai ramai artis, kami perlu uruskan semuanya dengan baik. Buat masa ini, kami juga sedang mengaturkan sesi `konsert jelajah’ pelajar AF4 di seluruh tanah air dan Brunei,” katanya.

Mengulas mengenai pemenang tempat ketiga AF4, Farhan yang dikatakan lebih laris memenuhi undangan nyanyian berbanding Faizal, kata Freddie ia tidak berlaku. Antara Farhan dan Faizal, masing-masing memiliki kelebihan.

Katanya, Farhan mendapat banyak undangan kerana vokal dan kemampuannya menyanyikan lagu Inggeris dengan baik. Justeru, kemunculannya menepati permintaan masyarakat kota. Manakala Faizal pula, dia banyak terbabit dengan penganjuran konsert terbuka.

“Jika dibandingkan Mawi, Farhan dan Faizal, terus terang saya katakan Faizal ini seorang pemalu. Oleh itu, masih banyak perlu dipelajari dalam penampilan dirinya. Sungguhpun berbakat, ternyata Faizal masih kurang pengalaman untuk menonjolkan dirinya.

“Apapun, saya mengucapkan terima kasih kepada penulis (Jarum Emas) kerana prihatin mengenai Faizal dan sudi memberi teguran pada kami. Justeru, ia mungkin boleh menjadi panduan kami untuk lebih bekerja keras memperbaiki mana yang kurang,” katanya.

0 comments

Photobucket - Video and Image Hosting

Pelan Faizal

Sunday, September 24, 2006

Oleh: Jarum Emas
Source: Metro Ahad, 24 September 2006

 APA yang tak kena? Nampak gaya juara Akademi Fantasia Ke-4 (AF4), Faizal Ramly masih meraba-raba cari identiti sendiri. Aura Mawi jelas memberi kesan pada anak jati Marang, Terengganu ini memancing publisiti.

Saya difahamkan, biarpun dah setahun Mawi jadi juara AF3, undangan untuknya berlambak, tetapi rakan juara AF terdahulu, ada yang sepi daripada publisiti.

Untuk salahkan Faizal, tidak adil rasanya kerana dia masih mentah dalam dunia hiburan. Sama ada Faizal, Mawi, Zahid, Vince serta artis generasi baru lain, harus sedar, sebaik melangkah menjadi artis, secara automatik diri adalah produk.

Hal ini banyak kali saya tekankan melalui diskusi berkaitan hiburan supaya artis kita, tidak kira lama atau baru, merangka strategi bersistematik untuk pertahan populariti masing-masing. Artis era millenium yang mudah tenggelam dalam arus selebriti tanah air harus malu pada artis angkatan lama, terutama penyanyi 1960-an yang masih dikenali ramai.

Sebab penyanyi 1960-an ini ada ruang publisiti kerana hubungan PRnya dengan pihak media, tak kiralah wartawan akhbar, majalah dan televisyen. Rata-rata penyanyi 1960-an ini ketika di kemuncak populariti dulu, saya masih bayi, tetapi hubungan harmoni yang mereka cernakan membuatkan sebahagian besar mereka seperti keluarga saya sendiri.

Apakah hubungan sebegini boleh dijalinkan oleh Faizal, Mawi, Zahid dan Vince pada wartawan akan datang? Atau berminatkah lagikah wartawan generasi itu kelak menulis mengenai artis tempatan lagi, ini pun satu kegelisahan.

Tempoh belum setahun jagung dalam dunia hiburan, saya percaya Faizal belum kenal ramai wartawan, apatah lagi editor akhbar dan majalah serta penerbit hiburan radio dan televisyen. Bukan nak ajar Faizal bersikap hipokrit, tetapi menjelang Aidilfitiri nanti Faizal keluarkan sikit modal untuk layangkanlah kad ucapan bagi mempromosikan diri.

Seperkara membuatkan publisiti Faizal ‘suam-suam kuku’ kerana dia muncul pada ketika dunia hiburan kita berkecamuk dengan pelbagai cerita. Kisah perkahwinan Siti Nurhaliza, konflik rumah tangga beberapa artis terkenal lain, tanpa disedari fokus wartawan serta peminat tidak sepenuhnya pada AF berbanding kali pertama diadakan dulu.

Timbul juga pendapat, langkah Faizal menyertai Putera Umno boleh membuatkan peminatnya yang berfahaman lain tawar hati untuk menyokongnya lagi. Pendapat saya pula tidak begitu kerana menilai mentaliti remaja hari ini, saya yakin mereka lebih rasional dalam meminati seseorang artis itu bukan kerana fahaman politik, tetapi keistimewaannya.
Sama seperti Mawi, Faizal masih dinaungi Maestro. Bukan seorang dua showbiz artis AF dikendalikan Maestro, tetapi tidak adil rasanya jika pihak pengurusan itu ‘terlepas pandang’ pada Faizal kerana fokus asyik tertumpu pada Mawi.

Di sebaliknya pula, Faizal tidak boleh bergantung sangat pada Maestro. Dia perlu merangka pelan A, pelan B dan pelan C bagaimana untuk terus merancakkan arena hiburan tanah air, jika tidak mahu diri lemas dalam fantasi.

0 comments

Photobucket - Video and Image Hosting

Saya kekal budak Terengganu, kata Faizal

Sunday, September 03, 2006

Source: Unknown

KUALA TERENGGANU: Juara Akademi Fantasia musim keempat (AF4) Faizal atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Ramly berkata beliau akan terus mengekalkan imej "budak Terengganu" walaupun kini sudah bergelar bintang.
"Saya akan terus kekalkan watak saya sebagai anak Terengganu dan terus guna loghat Terengganu,"
katanya pada sidang media pertamanya di Terengganu selepas muncul juara AF4, baru-baru ini.

Sebelum itu, kira-kira 500 peminat dan penyokong kelab peminat Faizal menyambut kepulangannya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini, lebih kurang jam 4 petang tadi.

Beliau yang disambut dengan paluan kompan, kemudian diarak dengan motosikal berkuasa tinggi serta kenderaan pacuan empat roda ke hotel penginapannya di bandar Kuala Terengganu.

Faizal yang akan genap usia 22 tahun esok, turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Terengganu yang melantiknya sebagai Duta Belia negeri ini dan berjanji untuk melaksanakan amanah yang diberikan itu.

Faizal berkata beliau akan memberi sumbangan kepada rumah Anak Yatim Darul Falah, Bukit Payong, Marang kerana sebelum ini beliau berhasrat untuk berbuat demikian sekiranya muncul juara pada program realiti tv itu.

Bagaimanapun, beliau yang pernah mengajar nasyid kepada anakanak yatim di rumah kebajikan berkenaan, tidak menyebut jumlah sumbangan yang akan diberikan.

0 comments

Photobucket - Video and Image Hosting

Juara AF4 kekal senyum sokmo

Saturday, September 02, 2006

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
Source: Unknown

Faizal tetap yakin mampu cipta populariti, bersyukur bakat terus dihargai.

AURA beliau dikatakan tidak sehebat juara Akademi Fantasia (AF) musim ketiga, Asmawi Ani atau Mawi. Tetapi anak Terengganu ini juga mampu mencipta pengaruh yang besar jika diberi sedikit masa.

Barangkali ketika ini, khalayak lebih kerap membandingkannya dengan Mawi. Namun bagi anak muda ini, dia akan sedaya upaya mencuba untuk membuktikan kemampuannya.

AF4 ChamopinDi pentas seni realiti mereka dilihat sebagai pesaing tetapi bagi Mohammad Faizal Ramly, juara AF musim keempat, dia tidak mahu kehadirannya dilihat sebagai menggugat artis sedia ada.

Dengan merendah diri, Faizal berkata, dia menyanyi untuk menyalur bakat tanpa langsung terdetik di hati untuk menyaingi atau menjatuhkan sesiapa.

“Saya melakukannya dengan ikhlas, selain memikirkan bidang ini adalah sumber rezeki utama pada masa ini. Jadi saya akan terus berusaha, memperbaiki apa yang kurang untuk tidak menghampakan mereka yang memberi kepercayaan besar ini,” katanya.

Ditemui pada majlis pelancaran album kompilasi Best Of Faizal Senyum Sokmo, kelab peminatnya, Faizal FC dan laman web, baru-baru ini, Faizal mengakui, dia bersyukur kerana bakatnya terus dihargai.

Ia disempurnakan Ahli Parlimen Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan. Peminat Faizal boleh mengikuti aktiviti penyanyi itu menerusi laman webnya dengan melayari www.faizalfc.net.

Mungkin dulu dia berdepan sedikit kejutan dengan perjalanan hidup yang baru dilaluinya, tetapi hari ini pemuda berusia 22 tahun itu semakin serius menyusun langkah.

“Kejutan itu sudah hilang tetapi apa yang bermain di kepala ketika ini hanya kerja dan kerja. Saya gembira kerana bakat saya terus dihargai,” katanya.

Justeru kerana ingin memburu cita-cita, Faizal mengakui banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukannya. Sejak menjuarai AF4, baru sekali dia berpeluang menjejakkan kaki ke kampung halamannya. Itupun tidak lama, sekitar tiga hari dan selepas itu, pemuda berbintang Leo ini kembali diasak kesibukan.

Gaji pertama disedekah pada ibu bapa

“SETIAP hari ada saja urusan yang perlu diselesaikan. Alhamdulillah, saya sudah mula menikmati hasilnya. Gaji pertama yang saya peroleh, saya berikan kepada emak dan ayah. Hanya Tuhan yang mengetahui betapa seronoknya saya kerana dapat membantu meringankan beban keluarga,” katanya yang enggan berkongsi jumlah gaji pertama yang diterimanya.

Barangkali kehidupannya kini tidak lagi sama seperti dulu, Faizal mengakui, sesekali rindu untuk mengambil angin di pantai seperti biasa dibuatnya sebelum ini. Kini, dia cuba menyesuaikan suasana baru di ibu kota.

“Apabila bosan dan tiada aktiviti, bapa saudara akan membawa saya menjelajah pelusuk kota untuk mengenalkan saya kepada realiti kehidupan sebenar,” katanya.

Ramadan yang berbeza buat Faizal

SENYUM Faizal kerana Ramadan ini dia berpeluang kembali ke kampung kerana terbabit dengan penggambaran, Uniknya Ramadan yang menyaksikan dia bertindak sebagai pengacara.

“Tiga hari di sana, saya akan cari masa untuk berbuka puasa dan bersahur bersama keluarga. Sejak keluar AF4 peluang sebegini semakin terbatas. Mujur sesekali emak dan ayah datang ke Kuala Lumpur, dapat juga melepaskan rindu,” katanya yang akan berada di Kuala Terengganu selama tiga hari.

Biarpun aktiviti nyanyian terhad, Faizal tetap diburu kesibukan dengan menjayakan program Marhaban Di Astro serta rakaman program raya. Dia bersama teman seangkatannya juga akan muncul dengan album kompilasi hari raya di mana Faizal membawakan dua lagu iaitu Sepasang Kurung Biru dan duet bersama Haziq menerusi Salam Aidilfitri.

“Insya-Allah tidak lama lagi album solo saya akan diterbitkan. Semuanya masih dalam perancangan dan syarikat rakaman sedang mengumpul material untuk dimuatkan dalam album itu,” katanya.

INFO: Mohammad Faizal Ramly

Faizal atau Mohammad Faizal Ramly, 22, dilahirkan pada 17 Ogos 1984.

Berasal dari Marang, Terengganu. Apabila menyertai AF4, Faizal populardengan slogannya, Senyum Sokmo.

Berbintang Leo, Faizal adalah anak sulung daripada tiga beradik. Dia mendapat pendidikan terakhirnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Rusila, Marang.

Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Faizal membantu ibu saudaranya mengurus kedai emas selama dua tahun. Dia juga pernahmembuat pelbagai pekerjaan, antaranya buruh kasar, pemandu lori dan peniaga pasar malam di Marang.

Sebelum menyertai AF4, Faizal pernah menyertai uji bakat AF3, namun nasib tidak menyebelahinya sehinggalah dia menyertai uji bakat AF4 menerusi lagu Warkah Berlagu Pilu.

0 comments

Photobucket - Video and Image Hosting

Friday, September 01, 2006

Oleh: Radin Sri Ghazali
Source: Mstar


Gelagat Aznil membuat orang ramai tak kering gusi
(Foto The Star oleh Ricky Lai)

Lagu 'Kopi Dangdut' membuka tirai Konsert Reunion Akademi Fantasia 4 yang berlangsung di perkarangan taman KLCC baru-baru ini. Walaupun ianya dipopularkan oleh Farhan di dalam konsert AF4, penonton mendapat "kejutan" apabila Aznil Nawawi - pengacara yang menjadi tunggak rancangan tersebut - yang tampil menyanyikan lagu tersebut.

Persembahan Aznil berjaya memikat hati para penonton yang resah menunggu kemunculan 12 orang peserta AF4.

Diddy atau gelaran yang diberikan oleh Aznil kepadanya, 'Tunang Orang' merupakan pelajar pertama dipanggil ke pentas untuk membuat persembahan pada malam itu.

Dia berjaya mempamerkan persembahan mantap melalui lagu 'Benci Bilang Cinta' daripada kumpulan Radja disertakan aksi lincah di setiap penjuru pentas.

Berpakaian serba putih yang dilengkapi dengan perhiasan ala besi, Aznil sempat bertanya kepadanya, "Berapa kos tempel besi kat baju tu?"

Ironinya beberapa pelajar yang awal tersingkir daripada Akademi itu menunjukkan peningkatan daripada segi persembahan. Ini termasuk Karen yang mendendangkan sebuah lagu yang berbahasa Mandarin iaitu 'Are You Ready' oleh A-Mei.

Rich turut mempamerkan persembahan bertenaga menerusi lagu berbahasa Inggeris yang berkonsepkan punk rock, 'Ghost of You' nyanyian kumpulan My Chemical Romance. Ramai terhibur dengan gelagat Rich yang melakukan aksi head banging .

Sayangnya mood konsert yang bertenaga bertukar suram apabila para penonton kecewa dengan persembahan Amirul yang dilihat sebagai bersahaja menerusi lagu nyanyian Peterpan, 'Ada Apa Denganmu'.

Ternyata bakat anak muda dari Sarawak itu perlu diasah terutamanya daripada segi perwatakan serta disiplinnya sebagai seorang artis baru. Dia harus serius dan bukan bersahaja terutamanya pada konsert-konsert seperti ini.

Salima pula bagaikan tidak jemu-jemu menyanyikan lagu berbahasa Hindi sejak awal pembabitannya dalam AF4. Dia telah menyanyikan sebuah lagu daripada filem 'Dhoom' yakni 'Dhoom Machale' serta diiringi sekumpulan penari.

Dalam keadaan imej yang sopan, pelajar itu mempamerkan aksi gelek yang kurang disenangi oleh para penonton. Bagaikan tidak terhibur, hanya segelintir sahaja yang sudi bertepuk tangan sejurus sahaja persembahannya berakhir.

Kemunculan juara musim keempat memang dinantikan penonton tetapi Faizal kelihatan teragak-agak apabila menyanyikan lagu 'Kau Ilhamku'. Persembahan tersebut mengakibatkan Faizal gugup serta gabra.

Namun, kegagalan Faizal berjaya diselamatkan oleh persembahan peserta yang pertama disingkir daripada akademi tersebut, Nora. Ramai yang terkejut dengan peningkatan keyakinan serta persembahan Nora semasa menyanyikan lagu oleh Ratu bertajuk 'Lelaki Buaya Darat'.

Pasangan yang 'dipadukkan', Haziq serta Leez membuat persembahan secara duet menerusi lagu 'Mengikat Janji'. Wajah Haziq yang berseri setiap kali memandang ke arah Leez mendapat usikan Aznil apabila pengacara itu bertanya kepada penonton,"Siapa bersetuju agar mereka ditunangkan segera, sila cakap 'Ye'" . Hampir kesemua penonton menjerit 'Ye' dan ini membuatkan kedua-dua pelajar tersebut tersipu-sipu.

Peserta yang popular dengan irama etnik, Zila mengambil kesempatan menyanyikan sebuah lagu dangdut yang berjudul 'Aku Rindu Lagi' nyanyian Amelina .

Menariknya, dua orang kanak-kanak turut menunjukkan bakat gelek mereka berdekatan dengan pentas utama.

Persembahan Zila disusuli oleh naib johan AF4, Lotter. Peserta yang dikenali dengan perwatakan yang suka berjenaka itu berjaya mempamerkan persembahan bertenaga menerusi lagu berkonsepkan rock 'Wake Me Up When September Ends'.

Antara pelajar yang mempunyai kebolehan vokal yang menakjubkan, Velvet mendendangkan sebuah lagu nyanyian juara Malaysia Idol, Jaclyn Victor yakni 'Di Bawah Pohon Asmara'.



Sejurus sahaja Velvet mengakhiri lagunya, Farhan tampil dengan imej barunya yang serba seksi menerusi lagu berbahasa Latin, 'Mas Que Nada'.

Dengan rambut serba keperangan, penyanyi itu menunjukkan taring bahawa dirinya sudah bersedia bergelar artis dan bukan lagi seorang pelajar Akademi.

Sebagai menutup tirai Konsert Reunion AF4, Faizal mendendangkan dua buah lagu nyanyian Allahyarham Sudirman yakni 'Basikal Tua' dan 'Hore Hore'.

Sayangnya tidak ramai yang hadir untuk menonton 12 finalis AF4 pada malam itu dan hanya 1,000 orang sahaja yang membanjiri lokasi itu dan sanggup duduk dalam keadaan yang lembap demi menonton peserta kegemaran mereka.

Nantikan siaran Konsert Reunion Akademi Fantasia 4 yang bakal ke udara pada musim perayaan Aidilfitri ini.



0 comments

Photobucket - Video and Image Hosting