Berita Faizal

Edisi Pantai Timur: Bapa Fizal setuju dengan Adlin

Wednesday, June 21, 2006

Oleh Alias Abd Rani
Source: Harian Metro

MARANG: “Saya berpendapat kritikan itu mesej terbaik untuk anak saya dan bukan cuba menyindir dia (Faizal),” kata Ramly Yaakub, 56, bapa pelajar Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Mohd Faizal Ramly, 22.

Ramly yang menyokong Adlin Aman Ramlie, 34, menganggap teguran pengkritik AF4 itu mampu memberikan hasil kerja terbaik untuk Faizal dan bukannya cuba membuat sindiran yang menimbulkan ketegangan.

“Saya ada ketika Adlin membuat kritikan itu. Bagi saya tidak ada persoalan yang menimbulkan rasa tidak puas hati.

“Malah, tidak timbul dalam fikiran saya dia (Adlin) nak memperkecilkan anak saya itu tetapi saya yakin mesej itu memberikan makna kepada Faizal,” katanya.

Semalam, timbul kontroversi antara Adlin dengan bekas vokalis kumpulan Iklim, Saleem atau nama sebenar A M Saleem Abdul Majeed, 44, berhubung isu ganja dan dadah yang ditujukan kepada Faizal.

Berikutan itu, Saleem memberikan kata dua kepada Adlin sama ada memohon maaf kepadanya secara terbuka atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

Sekalipun apa yang dilontarkan Adlin itu mungkin lebih bersifat umum tetapi ia dianggap keterlaluan sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati buat bekas vokalis kumpulan Iklim itu.

Bekas vokalis itu turut mendakwa kritikan Adlin kepada Faizal lebih kepada `menyindir’, terutama apabila Saleem sebelum ini pernah dikaitkan dengan dadah sehingga dibawa ke muka pengadilan.

Ramly berkata, dia mengingatkan Faizal supaya berpegang kepada nasihat yang boleh menjadikannya berjaya mengejar cita-cita dalam bidang seni suara.

“Saya anggap perkara itu sudah selesai dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

“Saya fikir tidak perlulah kita perbesarkan perkara itu kerana apa yang diperkatakan Adlin lebih kepada bersifat umum dan bukannya cuba mengaibkan orang,” katanya.

Photobucket - Video and Image Hosting