Berita Faizal

Haziq, Faizal curi perhatian

Monday, June 26, 2006

Oleh Ellyna Ali
Source: Harian Metro

KALAU hendak dibandingkan dengan vokal dan persembahan Farhan dan Velvet, mereka bukanlah peserta paling ‘favourite’ peminat Akademi Fantasia Musim 4 (AF4) ini.

Namun, siapa sangka kedua-dua mereka mampu mencuri perhatian penonton dalam konsert minggu keempat di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam Sabtu lalu.

Kedua-dua peserta yang dimaksudkan ialah Hazwan Haziq Rosebi, 18, atau Haziq dari Kluang, Johor serta Mohammad Faizal Ramly, 22, atau Faizal dari Marang, Terengganu.

Kemampuan Haziq membawakan lagu rock Spider berjudul, Buat Sang Puteri, dengan penuh semangat dan keyakinan serta Faizal pula dengan gaya hip hop lincah sejati menerusi lagu Woo!!, benar-benar tidak diduga.

Malah, ramai mengakui begitu terpesona dengan aksi serta persembahan kedua-dua peserta itu, termasuklah barisan pengkritik sendiri iaitu Harun Salim Bachik, Noraniza Idris serta Adlin Aman Ramlie yang juga pengkritik tetap AF4.

Malah, tiada komen berbaur kritikan dilemparkan mereka terhadap kedua-dua pelajar ini, tidak terkecuali Adlin.

Sebaliknya, usaha mereka membawakan kedua-dua lagu itu dengan baik lebih mendapat pujian. Memetik kata-kata Adlin terhadap Haziq: “Ini adalah satu permulaan buat awak Haziq!

Untuk Faizal pula Adlin berkata: “Walaupun kau ini berasal dari Terengganu, cakap Terengganu dan tidak pernah pakai baju macam ini (baju ala hip hop), tapi aku tak nampak janggal pun!”

Namun, apa yang lebih penting di sini, Haziq dan Faizal sudah membuktikan mereka bukan saja mampu membawakan lagu tradisional dengan baik tetapi juga lagu konsep genre muzik moden atau lebih komersial.

Farhan dan Velvet pula seperti biasa tidak mengecewakan ramai. Farhan menerusi lagu Misha Omar, Tak Ingin Lagi, membuktikan dia mampu membawakan lagu itu dengan cemerlang.

Kemunculan Sazzy sebagai penyanyi undangan membawakan bahagian rap dalam lagu itu sedikit pun tidak menjejaskan persembahan Farhan.

Sebaliknya, dia tetap tenang dan lagaknya menerusi lagu itu pula tidak ubah seperti penyanyi profesional.

Begitu juga dengan Velvet. Dengan lagu Dikir Puteri nyanyian asal Noraniza Idris, dia berjaya menyampaikan jiwa lagu itu dengan baik sekali.

Persembahan Diddy menerusi lagu M Nasir iaitu Nusantara boleh dianggap menarik, namun dia perlu lebih relaks dan natural sewaktu menyanyi.

Manakala Salima menerusi lagu Senandung Hidup Berbudi pula menampilkan emosi yang cukup baik menerusi lagu nyanyian asal Ramli Sarip selaku pengetua AF4.

Amirul yang ditemani vokalis Blues Gang, Ito, ketika menyampaikan lagu Khatulistiwa iaitu nyanyian asal band legenda itu pula, semakin menunjukkan peningkatan terhadap vokal dan persembahannya.

Persembahan Lotter pula melalui lagu pengetua AF4, Bertemasya Desa Gemalai gagal disampaikan dengan sempurna.

Malah, Lotter juga menghadapi masalah ‘pitching’ untuk membawakan nada rendah dan tinggi pada lagu itu.

Zila, peserta keempat tersingkir minggu ini pula membawakan lagu Inggeris klasik yang cukup seksi dan menggoda, These Boots Are Made nyanyian asal Nancy Sinatra/Jessica Simpson.

Sayangnya, sebagaimana beberapa minggu terdahulu, Zila tidak mahu memanfaatkan ruang pentas untuk memberikan persembahan ‘all-out’.

Maka, lagu yang patut disampaikan menggunakan bahasa tubuh dan wajah sombong, daring dan menggoda itu tidak mampu diterjemahkan menggunakan ‘feel’, mood serta jiwa yang tepat.

Apapun, ibu Zila, Rahmah Mat Sam, 44, ternyata agak sebak menerima hakikat penyingkiran anak keempatnya itu.

“Saya tidak pasti apa menyebabkan Zila tersingkir seawal ini. Mungkin betul kata-kata pengkritik terhadap nyanyian dan persembahan Zila sebelum ini,” katanya.

“Setiap minggu saya datang dari Jempol untuk menyaksikan persembahan anak saya. Tidak sangka minggu ini dia tersingkir dari AF4.

“Saya tidak pasti apa menyebabkan Zila tersingkir seawal ini. Mungkin betulnya juga kata-kata pengkritik terhadap nyanyian dan persembahan Zila sebelum ini.

“Masalahnya, Zila memang anak yang tidak banyak cakap dan sering memendam rasa. Memang begitulah dia di dalam dan di luar AF4. Mungkin, itu antara sebab dia tidak begitu menonjol dalam akademi,” katanya.

Photobucket - Video and Image Hosting