Berita Faizal

Faizal AF4 hiburkan 30,000 peminat di Marang

Tuesday, August 22, 2006

Oleh: IRMAN HASHIM

Source: Utusan Malaysia

KEPULANGAN juara Akademi Fantasia 4 (AF4), Mohamad Faizal Ramily atau Faizal ke Terengganu selama tiga hari disambut dengan meriah oleh penduduk negeri itu.

FZAIZAL meraikan hari lahirnya sambil ditemani ibunya, Zanidah Awang (kiri)
dan bapanya Ramily Yaacob (dua dari kiri) di Hotel Primula, Kuala Terengganu.

Hampir 30,000 peminatnya mengambil peluang melepaskan rindu terhadap bintang baru AF4 itu dengan menyerbu ke Pantai Peranginan Kelulut, Marang untuk menyaksikan persembahannya pada malam Rabu lalu.

Jalan raya sejauh 10 kilometer sesak apabila mereka mula berpusu-pusu ke pantai berkenaan sejak pukul 6 petang bagi menyaksikan persembahan sulung anak kelahiran Marang itu di Terengganu.

Faizal yang pertama kali pulang ke Terengganu sejak menyertai AF4 sekitar Jun lalu melahirkan rasa terharunya ekoran sambutan di luar jangkaan itu.

“Saya berasa gembira dapat pulang ke Terengganu kerana saya sangat rindukan kampung halaman. Sebelum ini, paling lama pun saya tinggalkan Terengganu seminggu,” katanya.

Beliau yang tidak putus-putus melemparkan senyuman ke arah peminat melahirkan kegembiraan kerana dapat memberikan persembahan khas untuk penduduk Terengganu pada malam itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua terutama penduduk Terengganu kerana membantu saya mencapai cita-cita untuk menjadi seorang penyanyi,” ujarnya.

Bagi menghiburkan para peminatnya pada malam itu, Faizal menyampaikan lapan buah lagu termasuk Dealova, Lihatlah, Kamalia, Blues Terengganu Kita dan dua lagu rakyat Terengganu, Wa Timang Landak serta Anak Udang.

Faizal juga mendapat hadiah istimewa daripada Kelab Penyokongnya apabila mereka mengadakan sambutan hari lahirnya yang ke-22 secara mengejut selepas persembahannya di Pantai Peranginan Kelulut.

Kira-kira 50 ahli kelab tersebut memberikan kejutan berkenaan apabila Faizal tiba di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu.

Faizal ketika ditemui memberitahu, makanan pertama yang dicari sekembalinya ke Terengganu ialah keropok lekor.

“Saya rindukan keropok lekor ketika berada dalam AF dan kini saya dapat merasa keropok lekor Marang. Mungkin kalau saya ada masa, saya akan cari keropok lekor di Losong,” ujarnya.

*Jadual ketat

Apabila ditanya sama ada kehidupannya berbeza setelah menjadi juara AF4 , Faizal berkata, tiada sebarang perubahan berlaku dalam dirinya cuma jadual kariernya sebagai artis kini agak ketat kerana perlu memenuhi komitmen yang ditetapkan oleh Maestro.

“Saya tetap tidak berubah dan personaliti saya boleh dilihat ketika saya mengadakan persembahan,” katanya.

Faizal juga berjanji akan lebih berhati-hati mengorak langkah dalam melebarkan sayap seninya pada masa depan agar tidak dilihat sebagai lupa daratan.

Berhubung penghasilan album sulungnya, Faizal berkata, perkara itu akan ditentukan oleh pihak Maestro.

Bagaimanapun, beliau kini telah merakamkan sebuah lagu raya bersama seorang lagi bintang AF4, Haziq.

“Saya akan merakamkan dua buah lagi lagu raya selepas pulang ke Kuala Lumpur nanti,” jelasnya.

Sementara itu, Faizal menafikan dakwaan beliau pernah didakwa polis kerana terlibat dalam kegiatan lumba haram.

“Saya mempunyai ramai rakan di kalangan mat motor tetapi saya tak pernah berlumba dengan mereka,” ujarnya.

Bila ditanya mengenai teman wanita, Faizal memberitahu: “Buat masa ini saya hanya mahu fokus dalam bidang seni untuk mengukuhkan kedudukan saya sebelum berfikir ke arah itu.”

Photobucket - Video and Image Hosting