Berita Faizal

Friday, September 01, 2006

Oleh: Radin Sri Ghazali
Source: Mstar


Gelagat Aznil membuat orang ramai tak kering gusi
(Foto The Star oleh Ricky Lai)

Lagu 'Kopi Dangdut' membuka tirai Konsert Reunion Akademi Fantasia 4 yang berlangsung di perkarangan taman KLCC baru-baru ini. Walaupun ianya dipopularkan oleh Farhan di dalam konsert AF4, penonton mendapat "kejutan" apabila Aznil Nawawi - pengacara yang menjadi tunggak rancangan tersebut - yang tampil menyanyikan lagu tersebut.

Persembahan Aznil berjaya memikat hati para penonton yang resah menunggu kemunculan 12 orang peserta AF4.

Diddy atau gelaran yang diberikan oleh Aznil kepadanya, 'Tunang Orang' merupakan pelajar pertama dipanggil ke pentas untuk membuat persembahan pada malam itu.

Dia berjaya mempamerkan persembahan mantap melalui lagu 'Benci Bilang Cinta' daripada kumpulan Radja disertakan aksi lincah di setiap penjuru pentas.

Berpakaian serba putih yang dilengkapi dengan perhiasan ala besi, Aznil sempat bertanya kepadanya, "Berapa kos tempel besi kat baju tu?"

Ironinya beberapa pelajar yang awal tersingkir daripada Akademi itu menunjukkan peningkatan daripada segi persembahan. Ini termasuk Karen yang mendendangkan sebuah lagu yang berbahasa Mandarin iaitu 'Are You Ready' oleh A-Mei.

Rich turut mempamerkan persembahan bertenaga menerusi lagu berbahasa Inggeris yang berkonsepkan punk rock, 'Ghost of You' nyanyian kumpulan My Chemical Romance. Ramai terhibur dengan gelagat Rich yang melakukan aksi head banging .

Sayangnya mood konsert yang bertenaga bertukar suram apabila para penonton kecewa dengan persembahan Amirul yang dilihat sebagai bersahaja menerusi lagu nyanyian Peterpan, 'Ada Apa Denganmu'.

Ternyata bakat anak muda dari Sarawak itu perlu diasah terutamanya daripada segi perwatakan serta disiplinnya sebagai seorang artis baru. Dia harus serius dan bukan bersahaja terutamanya pada konsert-konsert seperti ini.

Salima pula bagaikan tidak jemu-jemu menyanyikan lagu berbahasa Hindi sejak awal pembabitannya dalam AF4. Dia telah menyanyikan sebuah lagu daripada filem 'Dhoom' yakni 'Dhoom Machale' serta diiringi sekumpulan penari.

Dalam keadaan imej yang sopan, pelajar itu mempamerkan aksi gelek yang kurang disenangi oleh para penonton. Bagaikan tidak terhibur, hanya segelintir sahaja yang sudi bertepuk tangan sejurus sahaja persembahannya berakhir.

Kemunculan juara musim keempat memang dinantikan penonton tetapi Faizal kelihatan teragak-agak apabila menyanyikan lagu 'Kau Ilhamku'. Persembahan tersebut mengakibatkan Faizal gugup serta gabra.

Namun, kegagalan Faizal berjaya diselamatkan oleh persembahan peserta yang pertama disingkir daripada akademi tersebut, Nora. Ramai yang terkejut dengan peningkatan keyakinan serta persembahan Nora semasa menyanyikan lagu oleh Ratu bertajuk 'Lelaki Buaya Darat'.

Pasangan yang 'dipadukkan', Haziq serta Leez membuat persembahan secara duet menerusi lagu 'Mengikat Janji'. Wajah Haziq yang berseri setiap kali memandang ke arah Leez mendapat usikan Aznil apabila pengacara itu bertanya kepada penonton,"Siapa bersetuju agar mereka ditunangkan segera, sila cakap 'Ye'" . Hampir kesemua penonton menjerit 'Ye' dan ini membuatkan kedua-dua pelajar tersebut tersipu-sipu.

Peserta yang popular dengan irama etnik, Zila mengambil kesempatan menyanyikan sebuah lagu dangdut yang berjudul 'Aku Rindu Lagi' nyanyian Amelina .

Menariknya, dua orang kanak-kanak turut menunjukkan bakat gelek mereka berdekatan dengan pentas utama.

Persembahan Zila disusuli oleh naib johan AF4, Lotter. Peserta yang dikenali dengan perwatakan yang suka berjenaka itu berjaya mempamerkan persembahan bertenaga menerusi lagu berkonsepkan rock 'Wake Me Up When September Ends'.

Antara pelajar yang mempunyai kebolehan vokal yang menakjubkan, Velvet mendendangkan sebuah lagu nyanyian juara Malaysia Idol, Jaclyn Victor yakni 'Di Bawah Pohon Asmara'.



Sejurus sahaja Velvet mengakhiri lagunya, Farhan tampil dengan imej barunya yang serba seksi menerusi lagu berbahasa Latin, 'Mas Que Nada'.

Dengan rambut serba keperangan, penyanyi itu menunjukkan taring bahawa dirinya sudah bersedia bergelar artis dan bukan lagi seorang pelajar Akademi.

Sebagai menutup tirai Konsert Reunion AF4, Faizal mendendangkan dua buah lagu nyanyian Allahyarham Sudirman yakni 'Basikal Tua' dan 'Hore Hore'.

Sayangnya tidak ramai yang hadir untuk menonton 12 finalis AF4 pada malam itu dan hanya 1,000 orang sahaja yang membanjiri lokasi itu dan sanggup duduk dalam keadaan yang lembap demi menonton peserta kegemaran mereka.

Nantikan siaran Konsert Reunion Akademi Fantasia 4 yang bakal ke udara pada musim perayaan Aidilfitri ini.



Photobucket - Video and Image Hosting