Berita Faizal

Saya kekal budak Terengganu, kata Faizal

Sunday, September 03, 2006

Source: Unknown

KUALA TERENGGANU: Juara Akademi Fantasia musim keempat (AF4) Faizal atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Ramly berkata beliau akan terus mengekalkan imej "budak Terengganu" walaupun kini sudah bergelar bintang.
"Saya akan terus kekalkan watak saya sebagai anak Terengganu dan terus guna loghat Terengganu,"
katanya pada sidang media pertamanya di Terengganu selepas muncul juara AF4, baru-baru ini.

Sebelum itu, kira-kira 500 peminat dan penyokong kelab peminat Faizal menyambut kepulangannya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini, lebih kurang jam 4 petang tadi.

Beliau yang disambut dengan paluan kompan, kemudian diarak dengan motosikal berkuasa tinggi serta kenderaan pacuan empat roda ke hotel penginapannya di bandar Kuala Terengganu.

Faizal yang akan genap usia 22 tahun esok, turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Terengganu yang melantiknya sebagai Duta Belia negeri ini dan berjanji untuk melaksanakan amanah yang diberikan itu.

Faizal berkata beliau akan memberi sumbangan kepada rumah Anak Yatim Darul Falah, Bukit Payong, Marang kerana sebelum ini beliau berhasrat untuk berbuat demikian sekiranya muncul juara pada program realiti tv itu.

Bagaimanapun, beliau yang pernah mengajar nasyid kepada anakanak yatim di rumah kebajikan berkenaan, tidak menyebut jumlah sumbangan yang akan diberikan.

Photobucket - Video and Image Hosting