Berita Faizal

Pelan Faizal

Sunday, September 24, 2006

Oleh: Jarum Emas
Source: Metro Ahad, 24 September 2006

 APA yang tak kena? Nampak gaya juara Akademi Fantasia Ke-4 (AF4), Faizal Ramly masih meraba-raba cari identiti sendiri. Aura Mawi jelas memberi kesan pada anak jati Marang, Terengganu ini memancing publisiti.

Saya difahamkan, biarpun dah setahun Mawi jadi juara AF3, undangan untuknya berlambak, tetapi rakan juara AF terdahulu, ada yang sepi daripada publisiti.

Untuk salahkan Faizal, tidak adil rasanya kerana dia masih mentah dalam dunia hiburan. Sama ada Faizal, Mawi, Zahid, Vince serta artis generasi baru lain, harus sedar, sebaik melangkah menjadi artis, secara automatik diri adalah produk.

Hal ini banyak kali saya tekankan melalui diskusi berkaitan hiburan supaya artis kita, tidak kira lama atau baru, merangka strategi bersistematik untuk pertahan populariti masing-masing. Artis era millenium yang mudah tenggelam dalam arus selebriti tanah air harus malu pada artis angkatan lama, terutama penyanyi 1960-an yang masih dikenali ramai.

Sebab penyanyi 1960-an ini ada ruang publisiti kerana hubungan PRnya dengan pihak media, tak kiralah wartawan akhbar, majalah dan televisyen. Rata-rata penyanyi 1960-an ini ketika di kemuncak populariti dulu, saya masih bayi, tetapi hubungan harmoni yang mereka cernakan membuatkan sebahagian besar mereka seperti keluarga saya sendiri.

Apakah hubungan sebegini boleh dijalinkan oleh Faizal, Mawi, Zahid dan Vince pada wartawan akan datang? Atau berminatkah lagikah wartawan generasi itu kelak menulis mengenai artis tempatan lagi, ini pun satu kegelisahan.

Tempoh belum setahun jagung dalam dunia hiburan, saya percaya Faizal belum kenal ramai wartawan, apatah lagi editor akhbar dan majalah serta penerbit hiburan radio dan televisyen. Bukan nak ajar Faizal bersikap hipokrit, tetapi menjelang Aidilfitiri nanti Faizal keluarkan sikit modal untuk layangkanlah kad ucapan bagi mempromosikan diri.

Seperkara membuatkan publisiti Faizal ‘suam-suam kuku’ kerana dia muncul pada ketika dunia hiburan kita berkecamuk dengan pelbagai cerita. Kisah perkahwinan Siti Nurhaliza, konflik rumah tangga beberapa artis terkenal lain, tanpa disedari fokus wartawan serta peminat tidak sepenuhnya pada AF berbanding kali pertama diadakan dulu.

Timbul juga pendapat, langkah Faizal menyertai Putera Umno boleh membuatkan peminatnya yang berfahaman lain tawar hati untuk menyokongnya lagi. Pendapat saya pula tidak begitu kerana menilai mentaliti remaja hari ini, saya yakin mereka lebih rasional dalam meminati seseorang artis itu bukan kerana fahaman politik, tetapi keistimewaannya.
Sama seperti Mawi, Faizal masih dinaungi Maestro. Bukan seorang dua showbiz artis AF dikendalikan Maestro, tetapi tidak adil rasanya jika pihak pengurusan itu ‘terlepas pandang’ pada Faizal kerana fokus asyik tertumpu pada Mawi.

Di sebaliknya pula, Faizal tidak boleh bergantung sangat pada Maestro. Dia perlu merangka pelan A, pelan B dan pelan C bagaimana untuk terus merancakkan arena hiburan tanah air, jika tidak mahu diri lemas dalam fantasi.

Photobucket - Video and Image Hosting