Berita Faizal

Di mana kurangnya Faizal?

Wednesday, September 27, 2006

Oleh : Norhayati Nordin
Source: Metro, 27 September 2006

Faizal RamlyHAMPIR empat bulan ??bergelar artis sebaik menjuarai Akademi Fantasia 4 (AF4), nama Faizal Ramly tidak `segah’ Mawi, pada tahun lalu. Hingga kini, pemuda dari Pantai Timur itu seperti `kurang’ mendapat perhatian peminat.

Malah, undangan nyanyian untuk Faizal juga tidaklah `sepadat’ Mawi. Boleh dikatakan jadual anak jati Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu sudah terisi hingga Februari, tahun depan. Justeru, bagaimana pula dengan juara baru AF4, Faizal?.

Di manakah kurangnya Faizal, hingga kemunculannya tidak disedari ramai. Hanya syarikat pengurusannya, Maestro Talent & Management (Maestro) mampu memberikan jawapannya. Biarpun menyandang gelaran juara, bakat pemuda itu seakan dipandang sepi.

Melalui ruangan Jarum Emas di Metro Ahad lalu disarankan supaya Faizal merangka pelannya sendiri untuk berjaya sebagai anak seni. Bagaimana kaedahnya, terpulang pada perancangan terperinci anak muda berusia 22 tahun itu.

Faizal berkata bukan dia tiada perancangan. Tetapi, biarlah sekarang ini ia diuruskan sepenuhnya oleh Maestro. Katanya sebagai orang baru, dia lebih senang kerjaya seninya diuruskan syarikat pengurusan.

“Setakat inipun, saya masih aktif. Saya dan pelajar AF4 lain sibuk menyiapkan beberapa program hari raya yang diuruskan Maestro dan Astro untuk kami. Justeru, masa tertumpu untuk menyiapkannya. Insya-Allah, lepas raya semuanya kembali seperti biasa.

“Saya tidak kisah, apa tanggapan orang. Sebagai individu yang mencari rezeki dalam industri ini, saya ada matlamat sendiri dan sentiasa bertekad melakukan yang terbaik,” katanya mengulas aktiviti seninya dikatakan `kurang’ menyerlah.

Ditanya pula mengenai perasaannya sama ada berasa `terpinggir’ atau tidak dengan tumpuan yang lebih diberikan Maestro kepada Mawi, pemuda pemalu itu berkata dia tidak pernah berasa dipinggirkan oleh Maestro. Katanya, antara dia dan Mawi,ada perbezaannya.

“Saya akui Mawi diminati ramai. Tetapi, saya percaya antara kami ada kelebihan masing-masing. Apapun, buat masa ini saya senang dengan pengurusan Maestro terhadap kerjaya seni yang baru tiga bulan diceburi. Masih terlalu banyak perlu saya pelajari lagi,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Operasi Maestro, Freddie Fernandez berkata Faizal kurang diketengahkan kerana buat masa ini dia sibuk dengan aktiviti lain. Katanya, selain pulang ke Terengganu, juara AF4 itu bersama bintang AF4 lain baru selesai penggambaran program raya Astro di Pulau Pinang.

“Baru-baru ini pun, kelab peminat Faizal FC dilancarkan termasuk album kompilasi The Best Of... Faizal Senyum Sokmo. Selepas ini, Faizal juga terbabit dengan rakaman album hari raya. Namun, apa boleh dibanggakan lagunya, Lihatlah berjaya menduduki carta Era.

“Sebagai bintang baru, sebenarnya masih banyak yang Maestro sedang rancangkan untuk Faizal. Tetapi, semuanya masih dalam perancangan. Tidak lama lagi, Faizal juga bakal muncul dengan album solo pertamanya yang mungkin berkonsepkan pop dan tradisional,” katanya.

Ditanya apakah bakat Faizal itu seakan `sepi’ disebabkan tumpuan utama lebih kepada Mawi, kata Freddie, itu tidak dinafikan. Sehingga sekarang, Mawi diminati ramai dan masih hangat. Jadi, antara Faizal dan Mawi, publisiti terbahagi dua.

“Oleh itu, sama ada Faizal perlu lebih bekerja keras. Selain itu, kami (Maestro) perlu mengambil tindakan sama (kerja keras) supaya kerjaya artis di bawah kami dapat diurus dengan baik. Apapun, Maestro memang ada perancangan untuk Faizal.

“Cuma, ia kena menunggu masa sesuai. Memandangkan Maestro mempunyai ramai artis, kami perlu uruskan semuanya dengan baik. Buat masa ini, kami juga sedang mengaturkan sesi `konsert jelajah’ pelajar AF4 di seluruh tanah air dan Brunei,” katanya.

Mengulas mengenai pemenang tempat ketiga AF4, Farhan yang dikatakan lebih laris memenuhi undangan nyanyian berbanding Faizal, kata Freddie ia tidak berlaku. Antara Farhan dan Faizal, masing-masing memiliki kelebihan.

Katanya, Farhan mendapat banyak undangan kerana vokal dan kemampuannya menyanyikan lagu Inggeris dengan baik. Justeru, kemunculannya menepati permintaan masyarakat kota. Manakala Faizal pula, dia banyak terbabit dengan penganjuran konsert terbuka.

“Jika dibandingkan Mawi, Farhan dan Faizal, terus terang saya katakan Faizal ini seorang pemalu. Oleh itu, masih banyak perlu dipelajari dalam penampilan dirinya. Sungguhpun berbakat, ternyata Faizal masih kurang pengalaman untuk menonjolkan dirinya.

“Apapun, saya mengucapkan terima kasih kepada penulis (Jarum Emas) kerana prihatin mengenai Faizal dan sudi memberi teguran pada kami. Justeru, ia mungkin boleh menjadi panduan kami untuk lebih bekerja keras memperbaiki mana yang kurang,” katanya.

Photobucket - Video and Image Hosting