Berita Faizal

ABPBH: Pencalonan suntik semangat artis baru

Friday, November 03, 2006

Oleh: Sarimah Mohd Sallehuddin
Source: Berita Harian , 3 November 2006


PENCALONAN awal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2006) menyaksikan pengekalan nama yang pernah dicalonkan sebelum ini seperti Datuk Siti Nurhaliza, Asmawi Ani, Saiful Apek dan Rosyam Nor.

Bagaimanapun ABPBH 2006 tidak pula melupakan bakat baru yang sedang membina nama dalam dunia seni. Kehadiran mereka di pentas seni turut dihargai dan siapa tahu mungkin satu hari nanti mereka bakal menjadi pengganti kepada nama hebat sedia ada.FFM

Terharu, gembira dan tidak percaya itulah perasaan yang dilahirkan sebaik saja mengetahui nama mereka tersenarai di dalam ABPBH 2006. Apa lagi pembabitan mereka masih terlalu baru, justeru pencalonan ini ibarat peniup semangat untuk mengukuhkan nama dalam bidang seni.

Rata-rata mereka yang dihubungi tidak meletakkan harapan terlalu tinggi sementelah menyedari persaingan sengit yang harus mereka tempuhi.

Hip mendapatkan enam artis baru yang mula menyinar bakat mereka dalam dunia seni. Mereka tersenarai buat pertama kalinya bagi kategori Artis Baru Wanita Popular dan Artis Baru Lelaki Popular.

Antara calon yang tersenarai bagi kategori wanita ialah Ina Naim, Zuliana Aziz dan Eira Syazira. Sementara calon kategori lelaki pula ialah Fazli Zainal, Faizal AF4 dan Iqram Dinzly.

Nor Diana Naim atau Ina bersyukur dengan pencalonan ini dan tidak menyangka namanya akan tercalon secepat ini. Bagaimanapun Ina yang baru muncul dengan single Tak Punya Siapa di bawah Hijjaz Record menganggap dia masih terlalu mentah.

Album sulung Ina akan berada di pasaran pada Disember ini.

“Tak sangka pula Ina tercalon, rasa macam bermimpi pula. Iyalah sebelum ini Ina hanya tengok orang tercalon dan terima anugerah. Sekarang ini Ina pula yang melaluinya. Berjaya atau tidak berada di kedudukan lima teratas itu Ina serahkan pada peminat untuk memilih,” katanya dengan nada gembira.

Begitu juga dengan Zuliana Aziz atau Ju yang memegang watak utama di dalam siri Dua Hati. Ju yang mula dikenali menerusi program realiti Malaysia’s Most Beautiful langsung tidak pernah terfikir mengenai pencalonan namanya untuk mana-mana anugerah.

“Iyalah Ju baru empat bulan melangkah dalam dunia ini. Tak sangka pula secepat ini orang menilai bakat Ju, tentulah berita ini mengejutkan. Ju anggap ini sebagai rezeki tapi Ju tidak meletakkan harapan yang tinggi,” katanya.

Bagi pelakon drama bersiri Meniti Bara, Eira Syazira pula dia menganggap drama itu yang membuatkan namanya dikenali.

“Saya melalui perjalanan yang sukar dalam dunia lakonan dan karier saya bermula dari bawah. Saya rasa sejak membintangi drama Meniti Bara ini barulah produser dan pengarah mula membuka mata.

“Bagaimanapun saya tahu bukan mudah untuk menembusi tembok lima teratas kerana banyak muka baru lain yang lebih berbakat,” katanya.

Seperti tajuk lagunya Harapan, begitu juga harapan yang disandarkan pemilik lagunya Fazli Zainal. Fazli yang juga peserta program realiti Malaysian Idol (MI) musim pertama tidak menyangka namanya akan tersenarai kerana katanya dia tidak cukup popular.

Pengalaman dicalonkan di peringkat awal di dalam satu anugerah satu ketika dulu menjadi pengajaran untuknya.

“Saya tak rasa diri ini popular. Tapi kalau ada orang yang sudi mengundi saya, hanya Alhamdulillah saja mampu dilafazkan. Sebelum ini pun saya pernah tercalon untuk anugerah lain tapi nasib tidak menyebelahi, malah di MI dulu pun saya antara yang terawal disingkirkan jadi semua itu memberi pengajaran pada diri saya agar tidak mudah berasa selesa,” katanya.

Seorang lagi bakat yang dicungkil daripada program realiti Faizal AF4 melahirkan kegembiraannya apabila diumumkan mengenai pencalonannya. Anak muda daripada Terengganu ini mengharapkan sokongan peminat supaya dia boleh berdiri kukuh dalam dunia seni.

“Saya bergantung kepada peminat dan media. Sokongan anda semua amat saya hargai, syukur dengan pencalonan ini saya tidak letakkan harapan tinggi kerana saya masih baru. Saya masih memerlukan banyak tunjuk ajar daripada semua,” katanya.

Penghujung tahun 2006 seolah-olah tahun rezeki untuk anak muda ini. Mula menceburi dunia lakonan pada 2003, baru kini nama dan wajah Iqram Dinzly sering muncul di kaca televisyen. Dia akui bersyukur dengan rezeki yang semakin murah, dan kesyukuran itu tambah berlipat ganda apabila mengetahui namanya dicalonkan.

“Saya rasa macam tak layak kerana masih baru dalam dunia lakonan. Walaupun sebenarnya pembabitan saya dalam dunia lakonan sudah tiga tahun. Saya akan jadikan pencalonan ini sebagai penyuntik untuk buat yang lebih baik lagi pada masa depan.

“Saya serahkan kepada penyokong untuk mengundi, tapi saya tidak berani nak cakap berjaya atau tidak kerana kuasa terletak di tangan mereka,” katanya yang membintangi drama Dua Hati, Janji Diana dan bakal muncul dengan drama bersiri Dunia Baru.

Photobucket - Video and Image Hosting