Berita Faizal

Juara AF mahu gegar Batu Pahat

Friday, November 03, 2006

Oleh: Mohd Roji Abdullah
Source : Berita Harian Online, 3 Nov 2006

He walks the walkEMPAT juara Akademi Fantasia (AF), Vince, Zahid, Mawi dan Faizal buat julung kalinya akan bergabung dalam satu konsert yang akan diadakan di Stadium Batu Pahat, di sini, 11 November ini.

Selain empat bintang (AF) itu, Konsert Gegak Gemilang Astro itu turut menampilkan lapan artis terkemuka iaitu Anuar Zain, Erra Fazira, Aznil Nawawi, Adibah Noor, Farhan, Marsha, Farah dan Idayu.

Ketua Pemasaran Segmen Melayu Astro, Molina Musa, berkata konsert sempena sambutan ulang tahun ke-10 Astro itu diadakan khusus sebagai penghargaan kepada pelanggan yang memberi sokongan kepada stesen televisyen berbayar itu.

Selain konsert, karnival yang menawarkan pelbagai acara menarik turut diadakan di Dataran Penggaram bermula jam 10 pagi hari yang sama.

Molina berkata, Batu Pahat dipilih destinasi pertama karnival dan Konsert Gegak Gemilang Astro itu sebelum menjelajah ke seluruh negara sehingga akhir Disember ini.

"Karnival dan Konsert Gegak Gemilang sebagai menghargai sokongan padu pelanggan selama 10 tahun Astro beroperasi.

"Kini pelanggan Astro sudah mencecah seramai 1.9 juta orang dan 900,000 daripadanya ialah pelanggan Melayu, justeru kita mengadakan konsert khas dan Batu Pahat dipilih sebagai destinasi pertama kerana keunikan daerah itu," katanya.

Beliau berkata, Astro juga menyediakan pelbagai tawaran menarik pada karnival yang diadakan antaranya pertandingan Fantasy Zone; peraduan melukis, pertandingan Street Soccer permainan puzzle Astro dan petting Zoo.

"Selain 12 artis yang akan menjayakan konsert pada sebelah malam, beberapa artis terkemuka yang lain akan tampil pada konsert mini yang akan kami adakan pada waktu petang karnival itu nanti," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Amran Abdul Rahman, berkata langkah Astro mengadakan karnival dan konsert di Batu Pahat, secara tidak langsung akan memperkenalkan daerah itu ke seluruh negara.

"Ini satu langkah bijak dan tepat kerana program Astro ini membantu mempromosikan Batu Pahat ke seluruh negara.

"Kebetulan pula kita sedang berusaha menarik pelancong dan pelabur ke daerah ini dan program yang diadakan Astro ini dapat membantu kita mencapai matlamat itu," katanya.

Selain Batu Pahat, destinasi seterusnya Karnival dan Konsert Gegak Gemilang Astro di Stadium Tampin, Negeri Sembilan pada 18 November; Padang Majlis Perbandaran Seberang Prai, Pulau Pinang (25 November); Padang Ipoh, Perak (2 Disember); Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah (9 Disember); Padang Pandamaran, Klang, Selangor (16 Disember) dan Padang MPK2, Kuantan, Pahang pada 23 Disember.

Pelanggan baru Astro yang mendaftar di lokasi terbabit akan mendapat layanan istimewa apabila diberi tempat khas di depan pentas pada Konsert Gegak Gemilang Astro.

Photobucket - Video and Image Hosting