Berita Faizal

2,000 kunjungi rumah terbuka juara AF4

Wednesday, October 25, 2006

Oleh: unknown
Source: Berita Harian

MARANG: Juara Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Faizal merindui saat mengunjungi rumah saudara mara dan sahabat handai seperti dilakukan ketika belum bergelar artis.

Namun kerinduan itu sedikit terubat apabila rumah terbukanya di rumah ibu bapanya di Kampung Alor Pak Bang, di sini semalam bukan saja dihadiri peminat setia tetapi juga mengumpul hampir semua saudara mara yang memberikan sokongan kepada anak muda itu menceburi bidang seni.

Majlis rumah terbukanya itu menerima sambutan menggalakkan apabila lebih 2,000 peminat berkumpul di rumahnya sejak awal pagi.

Peminatnya daripada kanak-kanak hingga orang dewasa dan ada yang sanggup datang dari jauh termasuk dari Jengka, Pahang dan Kuala Lumpur.

Sambil menjamu juadah disediakan termasuk nasi dagang, peminat mengambil kesempatan bergambar dan meminta tandatangan daripada artis pujaan mereka.

Ketika ditemui, Faizal berkata dia seronok dan teruja pulang beraya di kampung apatah lagi pertama kali beraya sebagai artis.

"Walaupun untuk tempoh yang singkat, saya gembira dan seronok berkumpul bersama keluarga selain dapat bertemu peminat.

"Tahun ini jauh berbeza kerana tahun sebelumnya saya akan beraya sakan di rumah saudara dan rakan tetapi kali ini saya tidak dapat berbuat demikian kerana kesuntukan masa," katanya.

"Ini adalah pengalaman baru bagi saya dan saya semakin boleh menyesuaikan diri dengan dengan dunia baru ini. Kepada keluarga dan peminat, saya mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin," katanya.

Faizal kembali ke ibu kota malam tadi dan dijangka mengadakan persembahan di Perlis, hari ini.

Sementara itu peminat setianya, kakitangan syarikat swasta Ana Ruhani Muda, 49, yang tinggal di Gombak berkata kesempatan pulang ke kampung di Bukit Besar, Kuala Terengganu sempena Aidilfitri digunakan untuk mengunjungi artis pujaannya, Faizal.

Dia bersama lebih 40 ahli keluarganya termasuk sebahagian besar dari Kuala Lumpur menghadiri rumah terbuka Faizal sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi.

Walaupun sesat ketika menuju ke rumah Faizal, katanya dia dan keluarga berpuas hati kerana dapat bersalam dan bergambar bersama.

"Saya dan keluarga memang meminati Akademi Fantasia sejak musim pertama terutama Mawi (AF3), Nana (AF1) dan Adam (AF2). Kerana terlalu minat, cucu tunggal saya diberi nama Adam.

"Sebagai anak jati Terengganu, kami sekeluarga akan terus menyokong karier Faizal jika anak muda ini sanggup berusaha untuk maju sebagai artis yang disegani," katanya yang turut membeli kaset dan cakera padat menghimpunkan lagu yang dibawa Faizal ketika berada di AF4.

Photobucket - Video and Image Hosting