Berita Faizal

Faizal, Farhan yakin pancing hati peminat

Friday, November 03, 2006

Oleh:Farihad Shalla Mahmud
Source: Berita Harian, 3 November 2006

BUKAN untuk menidakkan kemampuan mereka, jauh sekali membanding-bandingkan dua bintang baru ini dengan senior mereka, Mawi. Namun melihat senario yang berlaku ketika ini terbit persoalan nakal iaitu mampukah juara Akademi Fantasia musim 4 (AF4), Faizal dan pemenang tempat ketiga AF4, Farhan menandingi kehebatan juara AF3 itu yang sehingga kini masih belum hilang biasanya.

Tahun lalu iaitu di awal kemunculannya selepas dikurung dalam sangkar emas AF, Mawi berjaya mencetuskan fenomena apabila sering menjadi pilihan penganjur untuk membuat persembahan serta digandingkan dengan artis ternama.

Dan kini peluang itu beralih di bahu Faizal dan Farhan apabila mereka berdua bakal mengadakan persembahan makan malam yang dipanggil An Evening With Faizal & Farhan. Persoalannya, mampukah dua artis ini menarik minat khalayak untuk menyaksikan persembahan makan malam yang akan diadakan pada 29 November depan seperti mana yang pernah dijayakan Mawi setahun yang lalu di lokasi yang sama.

FaizalPersembahan di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, jam 8 malam itu dianjurkan Felda D’Saji dan Mufira Entertainment (M) Sdn Bhd.

Sewaktu sidang media bagi mengumumkan perkara itu, Faizal disogok dengan pertanyaan nakal apakah dia mampu mengulangi kejayaan yang pernah diraih penyanyi yang mendapat jolokan Raja SMS itu.

"Saya tahu ramai yang membanding-bandingkan saya dengan Mawi. Tapi masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Walau orang kata aura saya tidak sekuat Mawi, tapi saya percaya peminat saya dan Farhan akan datang memberi sokongan, "kata pemilik nama penuh Muhammad Faizal Ramly ini. Faizal dan Farhan dipilih sebagai artis pembukaan persembahan untuk program yang dijangka akan diadakan setiap bulan itu.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Pengarah Urusan Mufira Entertainment (M) Sdn Bhd, Mokhzan Ali dan Pengurus Besar Felda D’Saji Sdn Bhd, Ahmad Zaki Abdullah.

Pendapat anak muda dari Marang, Terengganu ini turut dipersetujui rakan seperjuangannya, Farhan atau nama sebenarnya, Nur Farhan Azizan.

"Setiap orang mempunyai aura masing-masing. Sejak AF1 hingga AF4, pelajarnya mempunyai keistimewaan tersendiri. Jadi mampu atau tidak, kami menarik minat orang ramai untuk datang melihat persembahan kami, tak mampu saya menjawabnya buat masa ini. Tapi saya yakin peminat kami akan datang memberikan sokongan, "tambah Farhan.

Bercerita mengenai persembahannya pada malam itu, Faizal berkata dia kini sedang giat menjalani latihan bagi memastikan perjalanan majlis berlangsung dengan jayanya. Bagaimanapun, dia dan Farhan masih berahsia mengenai konsep pada malam itu.

"Kami akan mengadakan kejutan yang tak pernah kami lakukan. Tunggu saja dan saya akan pastikan semua yang hadir dapat yang terbaik daripada kami. Insya-Allah kami akan berduet tiga lagu. Mungkin sebuah lagu Inggeris akan kami nyanyikan," kata pemuda yang semakin popular dengan lagu Lihatlah hasil ciptaan M Nasir dan Loloq.

Persembahan An Evening With Faizal & Farhan adalah persembahan terbesar yang pernah diadakan mereka berdua sejak keluar akademi. Sebanyak 100 meja diperuntukkan pada malam itu dan sehingga kini sambutan peminat terhadap persembahan itu cukup memberangsangkan.

Khalayak yang hadir akan turut dihiburkan dengan pertunjukan fesyen dari butik sekitar Kuala Lumpur.

Bagi yang berminat untuk menyaksikan persembahan tersebut, sila hubungi 03-26988302, 03-4022 6500 atau 03-21617006. Harga meja VIP ialah RM1,200 manakala meja Emas RM1,000/ RM100 seorang.

Photobucket - Video and Image Hosting