Berita Faizal

Salam Lebaran AF 4 Syahdu

Wednesday, October 25, 2006

Oleh: Wahida Asrani
Source: Mstar, 25 October 2006

Kedatangan Aidilfitri sememangnya tidak akan berseri seandainya tidak diiringi dengan lagu-lagu raya berkumandang di corong-corong radio. Ada juga yang tidak mahu ketinggalan membeli sendiri album lagu Raya sebagai pelengkap Hari Raya mereka.

Album RayaSempena Syawal kali ini, sebuah lagi album raya sudah pun berada di pasaran. Salam Lebaran AF...Mesti Balik Raya dendangan artis-artis Akademi Fantasia musim pertama dan keempat menampilkan lagu-lagu raya evergreen dan juga yang baru yang dirakamkan semula untuk diabadikan bukan saja oleh para peminat setia artis-artis tersebut, malah bagi penggemar-peggemar lagu-lagu ini juga.

"Album ini ada keistimewaan tersendiri kerana lagu-lagu raya tersebut dipilih mengikut karektor dan perwatakan setiap artis yang mendendangkan setiap lagu itu.

"Lagipun, album ini juga boleh dilihat sebagai 'buah tangan' daripada artis-artis AF ini untuk peminat-peminat mereka," ujar Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent & Management (Maestro), Freddie Fernandez yang ditemui pada majlis pelancaran album tersebut di Restoran Izzi, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Album berharga RM25.90 untuk cakera padat (CD) dan RM17.50 untuk kaset itu mengandungi dua keping CD dan dua kaset.

CD pertama mengandungi lagu-lagu raya dendangan artis-artis AF1 seperti Vince, Azizi, Khai dan Rosma manakala CD kedua pula mengandungi lagu-lagu dari artis AF4.

Dan antara lagu-lagu raya yang dimuatkan di dalam album tersebut ialah Suatu Hari di Hari Raya, Dendang Perantau, Aidilfitri, Suasana Hari Raya, Sepasang Kurung Biru dendangan Faizal AF4 dan sebuah lagu baru bertajuk Mesti Balik Raya (yang disampaikan oleh semua artis AF4).

Di antara kesemua lagu raya lama yang dirakamkan semula, lagu-lagu yang dinyanyikanAlbum Raya oleh Farhan seperti Musafir di Aidilfitri, Hari Yang Mulia (Haziq), Bila Takbir Bergema (Amirul) dan paduan suara Haziq & Faizal dalam Lambaian Aidilfitri cukup memberi kesan. Penyusunan semula yang dilakukan ke atas lagu-lagu Raya lama ini begitu menarik dan tidak jemu untuk mendengarnya berkali-kali.

Walaupun masih baru, hampir kesemua artis AF4 telah menyampaikan lagu-lagu yang diberikan kepada mereka dengan cara mereka tersendiri. Lenggok lagu yang cukup indah membuat sesiapa saja yang mendengarnya akan terhibur.

Sebagai bonus, sebuah lagu baru daripada Mawi iaitu Ayah...Aku Rindu Padamu turut diselitkan di dalam album raya tersebut. Lagu ini juga tidak mengecewakan.

Lagu yang merupakan hasil nukilan Mawi sendiri dan ciptaan Razman ini menceritakan tentang perasaan seorang anak di hari raya yang telah kehilangan ayahya.

Album Raya"Lagu ini saya memang tujukan khas buat arwah ayah yang tidak dapat turut berkongsi kejayaan yang saya miliki hari ini. Lagu ini juga mungkin cukup bermakna buat mereka yang sudah ketiadaan ayah, lebih-lebih lagi sempena kedatangan Hari Raya ini," kata Mawi.

Selain Salam Lebaran...Mesti Balik Raya, turut berada di pasaran ialah album keluaran tahun lepas iaitu Salam Raya AF yang dinyanyikan oleh artis-artis AF3.

Album yang telah terjual sebanyak 18,000 unit dan kini bertaraf Anugerah Emas itu boleh dimiliki dengan harga RM21 untuk CD dan RM16.80 untuk kaset.

Selain artis-artis AF4, turut hadir pada majlis pelancaran album Salam Lebaran...Mesti Balik Raya itu ialan beberapa artis AF1 hingga AF3 seperti Khai, Rosma, Zarina, Farah, Zahid, Bob, Felix, dan Amylea.

Photobucket - Video and Image Hosting