Berita Faizal

Kenapa kubu Mawi kebal?

Wednesday, October 18, 2006

Oleh: Raml Ms
Source: Berita Harian

Faizal AF4 masih takut-takut dan lebih senang dengan identiti kampungnya

"ASSALAMUALAIKUM. Tidak lama lagi kita akan menyambut Aidilfitri tetapi sebelum kita menyambut hari yang mulia itu, minggu ini saya tertarik untuk mengulas beberapa kiriman e-mel, terutamanya dua bulan lalu sebaik berakhirnya Akademi Fantasia 4 (AF4) yang rata-ratanya bertanyakan mengenai juara AF4, Faizal.

Sebenarnya saya tidak mempunyai hak dan agak keberatan menceritakan mengenai topik ini, apatah lagi pertanyaan ini diajukan pihak media seperti anda sendiri, apabila persoalan kenapa populariti Faizal tidak sehebat Mawi AF3 mahupun juara-juara yang lalu, terus diajukan kepada saya.

Pandangan saya secara peribadi, saya melihat dari atas kertas, maksudnya dari segi kredibiliti seseorang itu. Kredibiliti Faizal jika dibandingkan dengan juara AF yang lepas-lepas, cara nyanyian beliau tidak ketara perbezaannya, lebih kurang sama saja.

Tapi, apabila kita melihat secara personaliti ataupun aura, ia membabitkan hal keperibadian seseorang itu dari segi penampilan, cara percakapan dan keyakinan diri. Orang ramai melihat ke arah itu, tapi bagi saya, Faizal masih takut-takut.

Terus-terang saya katakan, Faizal lebih senang dengan identiti kampungnya, slogan 'Senyum Sokmo' yang secara tidak langsung membataskan pergerakan beliau dari segi pergaulan yang membabitkan kerjayanya bukan peribadi.

Itu adalah salah satu sebabnya. Keduanya, fenomena Mawi masih terlalu kebal. Jadi, untuk Faizal mengatasi atau sekurang-kurangnya menyamai kehebatan Mawi, saya rasa ia sukar dilakukan disebabkan aura Mawi terlalu kuat.

Kerana faktor itulah Faizal perlu menampilkan personalitinya sebagai seorang juara. Secara peribadi, apa yang saya perhatikan, Faizal tidak memandang berat ke arah itu bahawa dia adalah seorang juara AF4.

Dari segi tingkah laku, cara percakapannya, beliau harus ada kualiti seorang juara. Jadi, barulah peminat akan menumpukan permulaan minat mereka terhadap Faizal dari situ. Apa yang saya tahu, juara berdasarkan SMS ini tidak dijuri dari segi bakat, ia lebih memihak kepada personaliti seseorang itu, bakat hadir hanya pada kemudian hari.

Justeru, Faizal harus meningkatkan tahap pergaulan atas dasar kerjayanya, selain membentuk keyakinan dirinya sebagai seorang juara AF4. Seperkara lagi, pastinya dia harus bekerja lebih keras untuk membuktikan kemampuan dirinya.

Faktor lain ialah peranan pihak media seperti anda. Adakalanya wartawan bersikap tidak adil dari segi publisiti apabila tidak memberikan Faizal ruang secukupnya. .

Sewajarnya wartawan memberikan kerjasama yang positif kepada Faizal. Kenyataan dan soalan wartawan seperti 'Kenapa Bintang Faizal Malap? Kenapa Faizal Kurang Menyerlah? Faizal Kurang Publisiti'. Bagi saya, persoalan seumpama itu adalah sesuatu yang negatif.

Padahal jawapannya ada pada pihak wartawan sendiri! Apabila media menulis sesuatu yang negatif seperti itu, secara automatik Faizal berada di kedudukan yang negatif. Itu yang saya maksudkan. Kalau media terus menulis perkara yang saya nyatakan tadi, ia akan terus memalapkan lagi keadaan.

Jadi, pihak wartawan perlu berlaku adil. Kalau media berasakan Faizal tidak sepopular juara sebelum ini, lebih baik perkara itu tidak ditulis. Sekiranya bintang Faizal dirasakan kurang menyerlah, adalah menjadi tanggungjawab majikannya memberikan pendedahan kepada beliau ke arah kerjaya yang sibuk bersama wartawan, jadi lebih banyak publisiti diberikan kepadanya.

Wartawan perlu memberikan penulisan yang adil kepada semua artis. Kalau Faizal kurang menyerlah, janganlah media asyik menyalahkan dirinya semata-mata, sebaliknya wartawan juga harus memainkan peranan mereka.

Wartawan harus memberi bantuan kepada Faizal kerana dia masih hijau dalam industri ini. Saya dengar cerita, Faizal seolah-olah panik apabila artis secantik Fasha Sandha cuba berbual mesra dan bergambar dengannya, dia jadi terkejut!

Jadi, keadaan seperti itu kita harus faham, Faizal mengalami kejutan budaya yang memang tidak sama dengan kehidupannya yang sebenar. Bagi saya, Faizal harus menyesuaikan dirinya untuk menjadi seorang penyanyi dan berdepan dengan perkara seumpama ini.

Bukan bermaksud memaksa Faizal bercampur gaul dengan perempuan, tetapi atas dasar kerjaya. Janganlah salah gunakan pergaulan itu. Sebenarnya tidak ada perkara yang negatif dalam penulisan saya kali ini, cuma kesedaran harus kita ambil kira dari pelbagai sudut.

Faizal harus menyesuaikan dirinya untuk menjadi seorang bintang. Faizal bukan penyanyi dalam kumpulan nasyid, sekelompok semua lelaki tidak ada wanita. Sebaliknya Faizal seorang penyanyi pop.

Apabila bergelar penyanyi pop, anda sebenarnya terdedah dengan keadaan yang boleh membinasakan diri anda, tapi anda harus bijak memelihara batasan diri. Tidak salah bergambar dengan artis wanita asal saja ia dilakukan atas dasar kerjaya.

Bagi saya, adalah satu kerugian ke atas Faizal jika dia tidak merebut peluang yang sudah ada di dalam tangannya apabila dia bergelar juara AF4, jadi dia harus menggunakan peluang itu secara maksimum.

"Secara peribadi, saya perhatikan Faizal, sejuk mata memandangnya. Dia mempunyai personaliti tersendiri dan terus terang saya katakan, beliau mempunyai tempat sebagai seorang penyanyi."


Dengan penjelasan ini saya harap dapat menjawab segala persoalan yang diajukan kepada saya menerusi e-mel selama ini. Setakat ini saja dulu untuk minggu ini. Insya-Allah kita bertemu lagi minggu depan. Selamat Berpuasa, wassalam."

Photobucket - Video and Image Hosting