Berita Faizal

An Evening with Faizal and Farhan

Thursday, October 05, 2006

Oleh: Wahidah Asrani
Source: Unknown

Ramai yang beranggapan juara Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Faizal belum cukup kuat untuk menyaingi kehebatan Mawi. Ada juga yang kata, aura Faizal tidak mampu untuk bersaing dengan juara AF3 itu yang sehingga hari ini namanya masih terus melonjak naik.

Namun bagi Faizal, dia sendiri tidak pernah berkecil hati dengan perbandingan yang dibuat antara dirinya dan Mawi.

"Masing-masing mempunyai kelebihan. Saya tidak kisah bila orang cakap aura saya tidak sekuat Mawi, kerana saya yakin saya mempunyai penyokong saya tersendiri," ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar An Evening With...Faizal & Farhan di Dewan Perdana Felda, baru-baru ini.

Faizal and Farhan

Faizal dan Farhan yakin An Evening With...Faizal & Farhan akan mendapat sambutan dari peminat mereka (Foto The Star oleh Azhar Mahfof)

Justeru, bila digandingkan bersama Farhan untuk persembahan An Evening With...Faizal & Farhan pada 29 November depan, timbul persoalan, jika 'aura' Mawi sendiri mampu menarik ribuan peminat menyaksikan sebarang persembahannya, mampukah pula dua bintang baru ini melakukan perkara yang sama?

"Ini satu pengalaman untuk saya yang masih baru. Apa saja show, tidak kiralah besar atau tidak, sebagai penghibur saya tetap akan menjalankan tugas saya.

"Saya yakin, peminat saya dan Farhan akan memberi sokongan penuh sempena majlis makan malam itu," kata Faizal.

Farhan juga turut mencelah dengan berkata: "Pelajar-pelajar dari AF1 hingga AF4 mempunyai keistimewaan masing-masing. Memang sukar untuk jangkakan sama ada orang akan datang atau tidak ke persembahan kami nanti, tetapi seperti yang Faizal katakan, kami yakin dengan peminat kami."

Biarpun persembahan itu mungkin tidak segah konsert atau show yang pernah dilakukan oleh Mawi, tapi bagi Faizal, gandingannya bersama Farhan itu sudah cukup menggembirakan mereka memandangkan itu adalah persembahan terbesar yang pernah diadakan mereka berdua semenjak keluar dari Akademi.

An Evening With...Faizal & Farhan, merupakan anjuran Felda D'Saji dan Mufira Entertainment Sdn Bhd yang akan diadakan di Perdana Grand Ballroom, Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak.

Majlis makan malam itu akan diadakan pada setiap bulan bermula November depan dengan menampilkan artis yang berbeza seperti Mawi, Hazami dan Anuar Zain.

Selain persembahan artis selama sejam, penonton juga akan disajikan dengan persembahan fesyen dari butik terkenal.

Untuk persembahan tersebut, menurut Farhan, dia dan Faizal dijangka akan membawa tiga buah lagu duet, selain persembahan secara solo.

"Selain duet, saya akan cuba bawa lagu-lagu yang berlainan rentak, seperti R&B, jazz dan tradisional. Insyaallah, memandangkan ini adalah show yang paling besar buat saya setakat ini, saya akan cuba memberikan persembahan yang cukup menarik," ujar Farhan.

Begitu juga dengan Faizal yang menjanjikan kelainan pada persembahannya di majlis makm malam itu.

"Tunggu sajalah 'kejutan' dari kami nanti," katanya yang juga merancang untuk membawa beberapa buah lagu Inggeris pada malam itu.

Bagi yang ingin membuat tempahan meja untuk menyaksikan persembahan tersebut, sila hubungi Felda D'Saji di talian 03-26988302 atau Mufira Entertainment Sdn Bhd di 03-4022 6500.

Aidilfitri kali ini lebih bermakna buat Faizal dan Farhan yang pertama kali beraya sebagai artis (Foto The Star oleh Azhar Mahfof)

Sebanyak 100 buah meja disediakan dan harga meja VIP ialah RM1,200 manakala meja Emas RM1,000 / RM100 seorang.

Faizal, Farhan seronok beraya sebagai artis

Bagi dua bintang ini, kedatangan Syawal kali ini tidak lagi sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Jika dulu, mereka merayakannya dengan cara yang berbeza, tetapi kali ini status sebagai artis membuatkan tanggungjawab yang dipikul bertambah berat.

Selain sibuk menghadiri rakaman program raya dan memenuhi undangan sesi fotografi, kedua-dua selebriti ini mengaku agak berdebar untuk menyambut Aidilfiitri buat pertama kalinya sebagai artis.

"Ini merupakan satu 'kehidupan' baru buat saya. Jika dulu saya hanya meraikan Hari Raya bersama keluarga dan saudara-mara, kali ini saya kena meluangkan masa bersama peminat-peminat juga," kata Farhan.

Tambahnya lagi, selain memperuntukkan sejumlah wang untuk duit raya, Farhan juga merancang untuk mengadakan rumah terbuka khas untuk peminat-peminatnya nanti sebagai tanda penghargaan di atas sokongan mereka.

Bagi Faizal pula, walaupun sibuk dengan jadual seninya, dia masih sempat membeli tiga pasang baju Melayu sempena Hari Raya nanti.

Namun, bila ditanya tentang persiapan lain yang telah dilakukannya di kampung halaman di Marang, Terengganu, Faizal sambil tersenyum berkata:

"Belum sempat lagi. Macam mana nak buat persiapan sedangkan sampai hari ini saya masih belum sempat balik ke kampung? Saya cuma tahu saya dapat cuti raya selama dua hari, tetapi tak tahulah bila saya akan balik.

"Kalau setakat duit raya, memang saya sudah buat persediaan," katanya.

Bercerita tentang pengalaman pertama berpuasa berjauhan daripada keluarga, Faizal akui Ramadhan kali ini amat berbeza kerana terpaksa berbuka dan bersahur 'sendirian'.

"Memang seronok dapat berbuka dengan rakan-rakan dan hadiri banyak majlis-majlis berbuka puasa, tetapi perasaan sedih itu tetap ada sebab setiap tahun saya sambut puasa bersama keluarga.

"Tetapi, saya faham dengan tanggungjawab baru saya. Keluarga saya pun tidak ada masalah dengan keadaan ini," ujar Faizal lagi yang amat menggemari ikan singgang sebagai juadah berbuka puasa.

Photobucket - Video and Image Hosting