Berita Faizal

Faizal, Lotter belajar memandu

Wednesday, November 08, 2006

Oleh: Mohd Nasif Badruddin
Source: Harian Metro, 8 November 2006

KEMENANGAN Mohammad Faizal Ramly, 22, sebagai juara dan Lotter P Edwin Edin, 24, sebagai naib juara Akademi Fantasia musim keempat (AF4) mencatat sejarah baru dalam lembaran hidup mereka apabila masing-masing mendapat sebuah kereta Toyota Vios.

Kegembiraan ini dikongsi bersama oleh Faizal yang menerima Toyota Vios 1.5G bernilai RM83,900 dan Lotter yang menerima Toyota Vios 1.5E bernilai RM76,500. Penyerahan kereta berkenaan disampaikan Pengarah Eksekutif Pemasaran dan Jualan Kumpulan UMW Toyota Motor, Aminar Rashid Salleh di Federal Highway Showroom, Petaling Jaya sempena rumah terbuka Deeparaya baru-baru ini.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Faizal berkata, dia cukup seronok dan teruja dengan kemenangannya sehingga berpeluang memiliki kereta mewah. Kejayaan ini disifatkan rezeki besar baginya tahun ini.

Lotter pula berkata, detik ini menjadi hari paling bersejarah baginya kerana mendapat kereta mahal dengan percuma yang tidak pernah diimpikannya selama ini.

Walaupun kedua-dua mereka pandai membawa kereta, namun mereka belum lagi memiliki lesen kereta. Kesibukan waktu dengan pelbagai persembahan membataskan pergerakan mereka untuk mengambil lesen kereta dalam masa terdekat.

Jika tiada aral melintang, Faizal dan Lotter akan mengambil lesen kereta sekitar Disember ini selepas menyusun jadual aktiviti mereka bersama Maestro. Keakraban mereka berdua yang tersemai sejak berada di AF4 bukan hanya berterusan hingga kini, malah kedua-dua mereka turut memilih warna yang sama iaitu hitam sebagai warna pilihan kereta Toyota Vios yang dimenangi.

Perkembangan terbaru pula menyaksikan Faizal kini sibuk dengan pelbagai persembahan pentas terutamanya rancangan Gegak Gemilang Astro sempena ulangtahun kesepuluh Astro serta rakaman album solo pertamanya.


“Album sulung saya ini berkonsepkan pop rock dan setakat kini sudah tiga lagu dirakamkan. Kemungkinan lagu Lihatlah dan Hujan juga akan dimasukkan dalam album ini, namun ia belum lagi diputuskan pihak pengurusan.


“Walaupun saya ingin melihat album ini direalisasikan secepat mungkin, namun saya tidak akan berkompromi dengan mutu dan kualitinya. Album ini dijangka menjengah pasaran Disember tahun ini atau Januari tahun depan,” katanya.


Selain itu Faizal berkata, dia belum lagi terfikir untuk membabitkan diri dalam bidang lakonan meskipun lakonannya dalam AF Raya Mai Lagi yang disiarkan di Astro baru-baru ini mendapat perhatian ramai.

“Belum terlintas lagi di fikiran saya untuk berlakon. Sebagai orang yang masih lagi baru bertapak dalam dunia seni suara tanah air, ada baiknya saya tumpukan perhatian kepada bidang nyanyian terlebih dahulu.

“Rasanya lebih senang kita fokus dan memberi perhatian penuh kepada sesuatu perkara yang dilakukan dalam satu-satu masa dan tidak mencampur-adukkan dengan benda lain,” katanya.

Mengenai sambutan Aidilfitri baru-baru ini, Faizal berkata dia gembira kerana lebih 4,000 orang mengunjungi rumah terbukanya di Terengganu yang diadakan pada hari raya kedua. Selain beramah-mesra dengan tetamu, Faizal turut menghulurkan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Sementara itu Lotter pula berkata, seperti Faizal dia juga sibuk dengan pelbagai persembahan pentas terutamanya rancangan Gegak Gemilang Astro sempena ulangtahun kesepuluh Astro serta rakaman album solo pertamanya.

“Saya kini sibuk dengan rakaman album sulung di studio. Setakat ini baru satu lagu dirakam dan ada tiga lagu yang sedang saya teliti untuk latihan ketika ini. Album yang berkonsepkan alternatif dan moden rock ini dijangka berada di pasaran pada Februari atau Mac tahun depan,” katanya.

Berbicara mengenai bidang lakonan, Lotter menyifatkan berlakon dan menyanyi baginya adalah hampir sama dan tidak jauh bezanya.

“Pembabitan saya dalam AF Raya Mai Lagi menjadi titik tolak kepada pendedahan dalam dunia lakonan. Ramai yang memberikan reaksi positif terhadap lakonan saya dalam drama itu.

“Jika ada peluang yang sesuai saya akan menerimanya sekiranya tidak bertembung dengan jadual persembahan. Sebenarnya sebelum ini ada orang melamar saya untuk membintangi sebuah sitkom, namun terpaksa menolaknya kerana sibuk dengan persembahan ketika itu,” katanya yang mengidam watak aksi dan ganas sekiranya berpeluang.

Walaupun beragama Kristian, namun Lotter berpeluang menyambut Aidilfitri baru-baru ini kerana ada di kalangan saudara-maranya yang beragama Islam. Katanya kemeriahan sambutan di Sabah tetap meriah dengan persiapan mengacau dodol dan pelbagai lagi. Malah dia sendiri tidak ketinggalan menerima dan turut memberikan duit raya kepada sanak-saudara.

Photobucket - Video and Image Hosting