Berita Faizal

Majlis Pelancaran Faizal Fanclub

Friday, September 29, 2006

Oleh: Shazryn Mohd. Faizal
Source: Utusan Malaysia, 29 September 2006

“TIDAK semeriah seperti majlis yang dianjurkan untuk juara AF3, Mawi tahun lalu.” Begitulah hati penulis berbisik sebaik kaki melangkah masuk ke dewan besar Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur bagi menyaksikan majlis pelancaran album kompilasi The Best of Faizal AF4 baru-baru ini.

Malah, tidak kelihatan langsung kelibat pengawal peribadi yang mengiringi Mohd. Faizal Ramly atau Faizal, si juara AF4 sepanjang majlis itu. Ia satu senario yang berbeza jika dibandingkan dengan Mawi yang mempunyai lebih daripada lima orang pengawal mengawasi dan mengiringinya ke mana saja dia pergi ketika dia baru bergelar juara AF3 dulu.

Adakah ini menunjukkan bahawa Faizal dianaktirikan oleh syarikat rakamannya sendiri iaitu Maestro Records?

Perjalanan acara majlis pelancaran album itu pun boleh dikatakan ala kadar sahaja.

Ini mungkin berlaku kerana ia dianjurkan oleh kelab peminat Faizal dan bukan Maestro Records?

Persoalannya, kenapa Maestro tidak menganjurkannya?

Ketua Pegawai Operasi Maestro, Freddie Fernandez yang turut hadir pada majlis itu cuba memberi penjelasan.

Katanya: “Sejak keluar dari Akademi Fantasia sebulan lalu, jadual Faizal memang padat. Dia memang sibuk. Undangan persembahan untuknya banyak. Jadi, kami tidak dapat mencari masa yang sesuai untuk mengadakan majlis pelancaran albumnya.

FFC Launching

“Kebetulan hari ini kelab peminat Faizal mahu anjurkan majlis ini. Saya lihat tidak ada salahnya jika mereka mahu meraikan kejayaan Faizal.”

Malah Freddie juga menafikan bahawa populariti Faizal dilihat semakin suram berikutan tiada pendedahan publisiti mengenainya di dada-dada akhbar sejak kebelakangan ini.

“Soal kesuraman populariti Faizal tidak timbul kerana seperti yang saya katakan tadi, kesibukan Faizal menyebabkan pihak kami tidak dapat membawa Faizal bertemu pihak media massa.

“Malah peminat atau sesiapa sahaja tidak sepatutnya membandingkan Faizal dengan Mawi kerana kedua-duanya mempunyai kelebihan dan keistimewaan sendiri. Peminat perlu melihat soal ini sebagai satu persaingan yang sihat,” ujarnya.

Maestro, menurut Freddie, tidak pernah berniat mahu menganaktirikan mana-mana artis naungannya termasuk Faizal. Maestro kini dalam perancangan akhir menerbitkan album sulung Faizal yang akan berada di pasaran selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Begitu juga dengan album kompilasi naib juara AF4, Lotter dan pemenang tempat ketiga, Farhan yang akan dilancarkan sedikit masa lagi.

Faizal pula tidak menafikan bahawa sejak keluar dari Akademi Fantasia, kehidupannya kini berbeza berbanding sebelum mengecapi populariti.

“Memang saya rasa sedikit tertekan tetapi saya tidak mampu untuk menoleh ke belakang lagi. Ini jalan yang saya pilih dan saya harus meneruskannya. Yang penting saya akan beri yang terbaik buat peminat-peminat yang banyak berkorban untuk saya,” kata Faizal yang kelihatan masih malu-malu ketika ditemu bual pemberita.

Selain album kompilasi yang baru dilancarkan itu, Faizal turut terlibat menjayakan album kompilasi hari raya terbitan Maestro yang akan berada di pasaran tidak lama lagi. Dalam album berkenaan, Faizal berduet bersama Haziq menerusi lagu Salam Aidilfitri yang pernah dipopularkan oleh Saleem dan Jamal Abdillah. Untuk lagu solo pula, Faizal merakamkan semula lagu Sepasang Kurung Biru.
Dalam perkembangan lain, Faizal mengorak selangkah lagi apabila menjadi dipilih pengacara rancangan Uniknya Ramadan sebanyak 15 episod. Program itu disiarkan oleh Astro Ria setiap hari sepanjang Ramadan mulai pukul 6.58 petang.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Astro kerana memberi kepercayaan kepada saya. Ini merupakan pengalaman baru bagi saya,” ujarnya dalam nada gembira.

Album kompilasi The Best of Faizal AF4 yang kini berada di pasaran memuatkan kesemua lagu yang pernah dinyanyikan Faizal sepanjang beraksi dalam Akademi Fantasia.

Pada majlis pelancaran album itu, laman web rasmi Faizal iaitu www.faizalfc.net. juga dilancarkan serentak dengan pelancaran kelab peminat Faizal cawangan Lembah Klang.

Photobucket - Video and Image Hosting