Berita Faizal

Faizal kurang publisiti

Tuesday, October 03, 2006

Oleh: Norhidiani Baharom
Source: Unknown

BEGITU tinggi harapan peminat untuk melihat juara Akademi Fantasia ke-4 (AF4), Mohammad Faizal Ramly, 22, berjaya. Sejak berstatus pelajar AF4 lagi, ramai memukul canang jejaka dari Marang, Terengganu ini bakal menggugat atau setidak-tidaknya memberi saingan kepada pemenang terdahulu, Asmawi Ani atau Mawi.

Impian menggunung peminat itu tentunya menambahkan lagi tekanan ditanggungnya sejak jadi tumpuan umum. Pun begitu, sesudah menamatkan pengajian dalam program terbitan Astro itu, ledakan nama Faizal bertukar menjadi suram.

Fenomena ini berbeza sekali dengan sambutan terhadap Mawi yang menjadi buruan pelbagai pihak termasuk media.

Kata Faizal, dia tidak dapat menjawab pertanyaan mengapa publisiti terhadapnya kurang berbanding Mawi, tetapi percaya semuanya bergantung pada rezeki masing-masing.

“Saya tidak pernah terfikir untuk bersaing dengan Mawi kerana penyanyi itu sudah pun berada ditahap yang cukup selesa, sedangkan saya masih bertatih-tatih mencari ruang dan peluang.

“Dalam setiap perkara saya lakukan, saya hanya fikir untuk memberikan yang terbaik, bukannya mahu bersaing dengan sesiapapun. Saya ikhlas melaksanakan tanggungjawab ini dan bukan melakukannya kerana sebab tertentu,” katanya.

Faizal with parentsWalaupun kurang publisiti, ini bukan bererti karier Faizal juga berkubur. Buktinya, setiap hari aktiviti seninya dipenuhi dengan pelbagai acara termasuk memenuhi undangan persembahan hingga dia tiada masa untuk pulang ke kampung bertemu keluarga dan sanak saudara.

“Kehidupan saya sekarang jauh berubah. Saya juga tidak cukup rehat dan hampir tiga bulan tamat pengajian di AF4, baru sekali berpeluang pulang ke kampung. Itupun menjayakan rakaman program Trek Selebriti,” katanya rindu menghirup udara laut yang nyaman.

Faizal yang ditemui ketika pelancaran kelab peminatnya, Faizal FC kawasan Lembah Klang turut memanfaatkan peluang melancarkan CD Kompilasi The Best Of Faizal dan Laman Web Rasmi Faizal FC, www.Faizalfc.net.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu kehormat, Ahli Parlimen Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan; Presiden Faizal FC, Raimi Mokhtar, Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent & Management, Freddie Fernandez dan ibu-bapa Faizal, Ramly Yaakob dan Zanidah Awang serta 200 peminat.

Photobucket - Video and Image Hosting