Berita Faizal

Faizal, Lotter AF4 sepakat pilih Vios hitam

Monday, November 13, 2006

Oleh: Serimah Mohd Sallehuddin
Source: Berita Harian, 10 November 2006

UMUM mengetahui keakraban di antara Faizal dan Lotter sewaktu dalam Akademi Fantasia (AF). Siapa yang tidak tertarik dengan lawak selamba Lotter, lalu apabila dia disingkirkan pada minggu ke tujuh AF hilang ceria.

Orang yang paling terasa dengan penyingkiran Lotter adalah Faizal. Keakraban mereka jelas tergambar apabila Faizal menitiskan air mata tatkala Astro membawa Lotter ke tempat penginapan mereka tanpa mendedahkan wajahnya.

Bagaimanapun, kesedihan dan kerinduan dua sahabat ini tidak berpanjangan apabila anak muda dari Membakut, Sabah itu dimasukkan semula ke dalam AF. Bagai ada satu kebetulan apabila Faizal menjuarai AF dan Lotter berada di tempat kedua.


Dengan kemenangan itu Faizal dan Lotter berjaya memiliki sebuah kereta jenis Toyota Vios tajaan UMW Toyota Motor Sdn Bhd sebagai hadiah di atas kemenangan mereka.

Dua sahabat ini bukan saja tidak boleh berenggang di dalam AF hinggakan keputusan memilih warna kereta juga dibuat bersama. Faizal dan Lotter sepakat memilih warna hitam untuk kereta pertama milik mereka kerana mahu kelihatan elegan.

Sempat juga Lotter berlawak kala ditemui, katanya selepas ini bolehlah dia dan Faizal berkonvoi dengan kereta masing-masing untuk ke mana-mana. Malangnya, impian murni Lotter hanya akan terlaksana apabila dia dan Faizal memiliki lesen kelak.

Mereka bercadang mengambil lesen pada Disember ini, bagaimanapun semuanya masih bergantung kepada jadual kerja mereka.

Anak muda dari Kemaman, Terengganu ini berkata, sebelum ini dia tidak pernah menyimpan impian untuk memiliki kereta semewah itu.

"Saya tidak pernah fikir nak pakai kereta mewah sebab dulu kerja saya tidak menentu. Impian untuk pakai kereta memang ada tapi hanya kereta biasa asalkan boleh dibawa dan bergerak.

“Nampaknya selepas ini mudahlah saya pulang ke kampung. Ini adalah kejayaan dan boleh saya sifatkan sebagai hadiah paling besar dalam hidup," katanya.


Sementara bagi Lotter pula, hari itu adalah hari bersejarah dan paling bermakna di dalam hidupnya kerana buat pertama kali dalam hidup dia menerima hadiah yang mahal. Apalagi sebelum ini dia tidak pernah bermimpi untuk memiliki sebuah kereta mewah seperti itu.

Sama seperti Faizal, Lotter juga akan menggunakan kereta itu untuk kemudahan sendiri. Katanya kereta seperti itu tidak sesuai digunakan di jalan kampungnya yang memerlukan kereta jenis 4X4. Tapi dia ada berhajat untuk membelikan kereta untuk kedua orang tuanya di kampung.

“Saya gembira dapat hadiah semahal ini. Memanglah saya berhajat untuk memandu sendiri tapi kalau ada lesen pun bukannya saya tahu selok belok jalan di Kuala Lumpur ini,” katanya berseloroh.

Menceritakan perkembangan terbaru mereka, Faizal dan Lotter kini sedang dalam proses menyiapkan album terbaru mereka. Faizal sudah pun merakamkan tiga lagu untuk albumnya yang berkonsepkan pop rock.

Album yang diterbitkan oleh M Nasir itu dijangka berada di pasaran selewat-lewatnya Januari depan. Ujar Faizal, dia seronok kerana cita-citanya untuk bergelar artis tercapai.

Manakala album Lotter yang mendapat sentuhan Nerves, Pretty Ugly pula berkonsepkan alternatif. Setakat ini dia baru merakamkan satu lagu saja kerana jadual yang terlalu padat.

Melihat lakonan bersahaja Lotter di dalam AF Raya Mai Lagi, ramai memuji lakonannya walaupun itu adalah pengalaman pertamanya. Hasrat berlakon memang ada, cuma kata Lotter dia tidak mahu terlalu terburu-buru.

"Saya ada terima tawaran berlakon untuk sebuah sitkom tapi terpaksa menolaknya kerana terlalu sibuk. Buat masa ini saya rasa tidak sesuai untuk menceburi dua bidang sekali gus, memang saya minat untuk cuba berlakon tapi tunggulah masa yang sesuai,"katanya yang ingin mencuba watak ganas.

Photobucket - Video and Image Hosting