Berita Faizal

Finas dirai persatuan-persatua

Thursday, November 30, 2006

Oleh: Unknown
Source: MyStar, 28 Nov 2006

BUAT pertama kalinya, persatuan-persatuan di dalam industri hiburan tanah air bekerjasama untuk meraikan ulang tahun Perbadanan Kemajuan Perfileman Nasional Malaysia (FINAS) yang ke 25.

Bertempat di Finas baru-baru ini, Persatuan Pengeluar Filem (PFM), SENIMAN dan Persatuan Karyawan Malaysia berpadu tenaga untuk menjayakan majlis tersebut yang turut mendapat kerjasama Persatuan Pekerja Perfileman Malaysia dan Papita dan Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (Wham).



Orang-orang kuat persatuan perfileman bersama KP FINAS Mahyiddin Mustakim kelihatan memotong pulut kuning yang terukir angka '25' sempena ulangtahun FINAS yang ke 25 baru-baru ini
(Foto The Star oleh Kamal Sallehuddin)

Pemangku presiden PFM Ruhani Abdul Rahman berkata kerjasama ini dibuat setelah mendapat kata sepakat daripada presiden persatuan-persatuan terbabit dengan mengeluarkan kos perbelanjaan sendiri untuk menganjurkan malam tersebut.

Walaupun semua persiapan rapi telah dibuat oleh beliau, namun di saat-saat akhir Ruhani tidak dapat hadir pada malam majlis meraikan FINAS itu kerana dimasukkan ke hospital setelah mengalami sakit dada.Tempat beliau telah diganti oleh Penerbit Grand Brilliance Mohd Poad Onah dan wakil PFM yang lain seperti Panshah dan Nancie Foo.

Segmen hiburan malam itu dikendalikan oleh Karyawan dan SENIMAN yang memperdendangkan lagu-lagu dari filem-filem tempatan.


Persembahan daripada artis Karyawan
(Foto The Star)

Antara penyanyi Karyawan yang mengambil bahagian adalah Salwa Abdul Rahman, Liza Abdullah, Deja Moss, Kairel Khamis, Faizal AF4, Haziq AF4, Yazer, Radhi Khalid dan Ibnor Riza. Artis Karyawan memilih lagu-lagu dari filem yang pernah popular dari tahun 80an sehinggalah sekarang seperti Kekasih Awal dan Akhir, Lancang Kuning, Sandarkan Pada Kenangan dan Bikin Filem.

Segmen hiburan ini telah diterbitkan oleh penyanyi Salwa Abdul Rahman dan mendapat khidmat koreografi dari penari dan pelakon Sharifah Hasnor, anak Allahyarhamah Normadiah.


Persembahan artis veteran Seniman mempersembahkan segmen nostalgia
(Foto The Star)


Manakala Persatuan SENIMAN pula diwakili oleh Datin Okid Abdullah, Datin Azizah Mohamad, Mimi Loma, Aspalela Abdullah, A. Galak dan beberapa orang pelakon drama yang telah menyampaikan medley lagu-lagu dari filem yang begitu nostalgia sekali. Segmen ini telah diterbitkan oleh penggubah dan komposer yang tidak asing lagi Abas Bakar.

Sesuai dengan konsep meraikan FINAS dan bersempena dengan suasana Hari Raya, sajian yang dihidangkan pada tetamu, berkonsepkan gerai-gerai yang menyediakan bermacam juadah dari ayam panggang, kambing panggang, roti boom, lemang, rendang, roti jala, kue teow goreng hinggalah ke mi rebus.

Artis yang hadir terdiri dari artis popular Rosyam Nor, Afdlin Shauki hinggalah seniman dan seniwati lama seperti Sophia Ibrahim, Datuk Yusof Haslam, Datuk Mustafa Maarof, Julie Dahlan, Nancy Foo dan ramai lagi.


Salwa dan Faizal berpadu suara di dalam lagu Sandarkan Pada Kenangan
(Foto The Star)



Aksi Haziq di dalam lagu Bikin Filem
(Foto The Star)



Salwa dan Liza mendendangkan lagu Wajah Rahsia Hati
(Foto The Star)


Radhi Khalid berpakaian songket penuh untuk menyanyikan lagu Lancang Kuning
Foto The Star)


Majlis meraikan ulang tahun Finas ke 25 tahun itu berakhir dengan semua orang-orang kuat persatuan dan KP FINAS, Mahyiddin Mustakim memotong pulut kuning yang disediakan khas oleh Chef Yang Jamil dari Karyawan. Sebelum itu, FINAS telah menghadiahkan cenderahati kepada kesemua wakil persatuan sebagai tanda terima kasih menganjurkan majlis itu.

Kejayaan majlis itu tidak akan mencapai matlamatnya tanpa komitmen dan dedikasi yang padu dari orang-orang di belakang tabir menggerakkannya seperti Pemangku PFM, Hjh Ruhani Abdul Rahman dan anaknya Syanie Hashim, Setiausaha SENIMAN Yusof Kelana, Pengurus Eksekutif Karyawan Jai Hashim dan Pegawai Perhubungan Awam FINAS Mohd Fazli Abdul Aziz.

Usahama dan jalinan yang ditunjukkan untuk menganjurkan majlis seperti ini benar-benar mencerminkan hasrat FINAS untuk menyatukan kesemua persatuan perfileman di Malaysia.

Photobucket - Video and Image Hosting