Berita Faizal

Faizal, Farhan mampu pergi jauh

Thursday, December 07, 2006

Oleh: Norhadiani Baharom
Source: Harian Metro, 6 Disember 2006

PEMILIHAN Faizal dan Farhan berkongsi pentas untuk satu persembahan mungkin satu projek yang cukup menarik. Selain keunikan kerana mempunyai pangkal huruf nama yang sama, kedua-duanya juga bintang baru yang memiliki vokal hebat.

Bagaimanapun, juara Akademi Fantasia musim keempat (AF4) dan tempat ketiga AF4 ini tidak menggunakan peluang menjayakan Sepetang Bersama Faizal dan Farhan baru-baru ini untuk mempamerkan kehebatan sekaligus membuktikan mereka mampu pergi lebih jauh dalam bidang seni.

Sebaliknya, Faizal dan Farhan dilihat tidak banyak berubah walaupun selepas tiga bulan mereka menamatkan pengajian di AF4. Karisma penyanyi profesional belum mampu diasah dalam majlis anjuran Mufira Entertainment (M) Sdn Bhd dengan kerjasama D’Saji di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak.

Seharusnya pendedahan serta ilmu yang dikutip ketika berada di AF4 termasuk pengalaman menjayakan pelbagai persembahan selepas tamat pengajian sedikit sebanyak mematangkan penampilan mereka di pentas.

Namun sebaliknya, menonton persembahan mereka bagaikan sedang menyaksikan konsert mingguan AF4. Barangkali peminat tidak ambil pusing semua ini kerana merekalah yang meletakkan di mana seorang artis itu berada.

Bagaimanapun, Faizal dan Farhan perlu sedar cabaran yang perlu dilalui apabila berada dalam dunia realiti kerana ia memerlukan kerja keras untuk membuktikan kemampuan. Mereka perlu sedar kini, mereka bukan lagi pelajar sebaliknya penyanyi yang juga pelapis kepada penghibur terkenal sedia ada.

Tidak dinafikan vokal Farhan hebat dan dia antara bintang program realiti yang berbakat besar dan ada kualiti. Namun nyanyiannya kurang ‘feel’ dan nampak kurang berkeyakinan.

Sekalipun senarai lagu yang di pilih seperti Spain, Akhirnya Kini Pasti, Saving All My Love For You, Sayang, Route 66 dan Aku Saja Yang Tahu boleh membelai jiwa dan membuatkan penonton bergoyang, tapi Farhan tidak memanfaatkan detik itu.

Kalau ada pun, ketika membawakan lagu rancak secara medley Play That Funky Music, Proud Mary dan Simply The Best. Namun untuk apa jika bahang baru terasa, Farhan pula terpaksa meninggalkan pentas bagi memberi laluan kepada Faizal.

Sementara Faizal pula, nyanyiannya terlalu dipengaruhi sikapnya yang ‘cool’. Cara dia menyanyi terlalu bersahaja, nampak main-main atau erti kata lain tidak komited.

Apabila tiba segmen ‘cit cat’ bersama pengacara majlis, Zainal Alam Kadir, Faizal masih lagi bertutur menggunakan loghat Terengganu. Tidak salah mengutamakan bahasa ibunda tetapi Faizal sepatutnya berbahasa Melayu ‘standard’ supaya peminat dari seluruh Malaysia mudah faham.

Tiada perkara yang tidak boleh diubah melainkan diri sendiri enggan melakukannya. Justeru, Faizal perlu memperbanyakkan latihan.

Apapun, pujian buat jejaka berasal dari Marang, Terengganu ini kerana berani menyampaikan lagu penyanyi lagenda Frank Sinatra, My Way sebagai pembuka persembahan.

Pemilihan lagu-lagu Faizal juga menarik seperti Kasih, Joget Kenangan Rindu, Getaran Jiwa, Jangan Tinggal Daku, Senja Berulang Rindu dan Dealova sebelum mengakhirinya dengan lagu popularnya, Lihatlah.

Sebagai penutup persembahan, Faizal dan Farhan berganding di pentas menyampaikan lagu duet popular masa kini, My Heart, nyanyian asal Irwanshah dan Acha. Sebelum itu, mereka membuka tirai dengan lagu Sandarkan Pada Kenangan.

Majlis bermula sekitar jam 9 malam itu turut diselang-selikan dengan segmen kuiz penonton. Kira-kira 450 penonton hadir termasuk 400 peminat Faizal yang membuat tempahan 40 meja manakala peminat Farhan 5 meja.

Photobucket - Video and Image Hosting