Berita Faizal

Faizal tidak lagi malu di pentas

Wednesday, December 06, 2006

Oleh: Serimah Mohd Sallehuddin
Source: Berita Harian - 6 Disember 2006

Juara AF4 masih kurang penghayatan bawa lagu sedih, cinta.

PENYANYI yang dilahirkan daripada program realiti nyata lebih beruntung berbanding penyanyi dulu yang terpaksa merangkak untuk membina nama dalam bidang nyanyian. Selain mengecap populariti dengan mudah mereka juga mempunyai peminat tersendiri. Bukan saja mudah membina nama, bahkan mereka juga beruntung kerana walau baru setahun jagung memijak kaki dalam dunia hiburan mereka sudah punya ‘show’ sendiri bersama peminat sedangkan penyanyi yang sudah lama bertapak pun masih ada yang tidak berpeluang berbuat sedemikian.



Malam Rabu lalu, Faizal dan Farhan, juara dan pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia (AF4) menghiburkan peminat mereka dalam sebuah majlis yang diberi nama An Evening With Faizal & Farhan di Dewan Perdana Felda.

Sebelum itu, senior mereka Amylea, Felix, Bob dan Mawi sendiri pernah beraksi di pentas berkenaan selain nama besar seperti Jamal Abdillah, Siti Nurhaliza dan Anita Sarawak. Dan kini tiba giliran Faizal & Farhan pula.

Walaupun sambutannya tidaklah sehebat Mawi ketika mula-mula keluar daripada AF, tetapi kemunculan Faizal dan Farhan masih dinantikan apabila hampir 500 tetamu tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan persembahan penyanyi idola mereka.

Ada peminat sejauh Singapura sanggup datang menyaksikan persembahan Faizal dan Farhan. Keluarga Faizal dari Marang, Terengganu turut hadir memberikan sokongan.

Sayangnya, persembahan Faizal & Farhan tidak cukup ‘menusuk’ kalbu berbanding persembahan mereka kala di AF dulu yang nampak lebih serius dan bersungguh-sungguh menyanyi. Mungkin persembahan ini tidak membabitkan juri dan undian SMS menyebabkan mereka lebih santai.

Satu perubahan yang nyata, Faizal yang sebelum ini kelihatan ‘malu-malu’ sudah semakin berani tampil di atas pentas. Cuma penghayatan ketika membawakan lagu sedih dan berunsur percintaan nampak kurang dan Faizal seolah-olah kelihatan ‘main-main’ sewaktu menyanyi.

Rangkaian lagu yang dinyanyikan Faizal pada malam itu ialah My Way, Dealova, Lihatlah, Getaran Jiwa dan Jangan Tinggal Daku. Tidak ketinggalan lagu daripada idolanya Allahyarham Sudirman Arshad turut didendangkan iaitu Joget Kenangan Rindu. Keluarga Allahyarham juga tidak ketinggalan hadir menyaksikan persembahan Faizal.

Mereka juga tidak ketinggalan menyanyikan dua lagu secara duet iaitu pada permulaan majlis menerusi lagu Sandarkan Pada Kenangan dan memilih lagu dari seberang My Heart sebagai lagu penutup.

Farhan pula lebih senang memilih rangkaian lagu Inggeris pada persembahannya seperti Saving All My Love For You, Spain, Play That Funky Music, Proud Mary dan Simply The Best. Tidak ketinggalan lagu yang melayakkannya ke AF iaitu Route 66.

Namun, vokal Farhan pada malam itu juga seperti kurang dinamik. Bagaimanapun, Farhan berjaya mencuit tumpuan penonton dengan lagu keroncong Sayang Di Sayang. Sebaik muzik dialunkan, terdengar jeritan kecil penonton yang seakan menantikan kemunculan lagu berkenaan.

Pada malam itu juga, pengacara Zainal Alam Kadir bertindak sebagai pengacara majlis. Alam juga tidak ketinggalan mendendangkan sebuah lagu sebagai pembukaan iaitu Bukan Itu Bukan Ini.

Pengurus Besar Feld D’Saji Sdn Bhd, Ahmad Zaki Abdullah, berkata majlis seperti ini akan dijadikan sebagai aktiviti bulanan Dewan Perdana Felda.

“Sebelum ini orang ramai hanya mengetahui dewan ini sebagai tempat untuk melangsungkan perkahwinan. Tetapi kami mahu mengkomersialkan lagi dewan ini dengan menganjurkan majlis makan malam seperti ini minggu terakhir setiap bulan diserikan dengan persembahan artis popular,” katanya.

Photobucket - Video and Image Hosting