Berita Faizal |
|
Latest News
News Archives
Online Berita |
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulSunday, January 21, 2007 Oleh Suzan AhmadSource: Bintang PopularCATATAN hari ketiga kembara Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006 (ABPBH06) ke selatan tanah air meninggalkan kesan mendalam di lubuk hati penganjur apatah lagi barisan finalis. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sebaik saja kaki melangkah masuk ke pusat pemindahan banjir di Dewan Putera, Ayer Hitam, Johor, terlihatlah wajah sayu, gelisah kaum ibu dan bapa serta puluhan kanak-kanak, bayi baru lahir serta warga emas. Agaknya apa yang paling ditunggu-tunggu mereka adalah satu-satunya pengumuman daripada pihak berwajib - "Anda dibenarkan pulang sekarang." Syukurlah, orang kita memang cekap dalam hal menyediakan bantuan kemanusiaan seperti keselamatan, keperluan asas dan makanan. Untuk sama berkongsi rasa, rombongan promosi ABPBH06 menghulurkan bantuan berupa 200 kampit beras kepada mereka yang terbabit. Menyedari hakikat bilangan kanak-kanak yang ramai, sempat pula artis dan penganjur mengumpul derma kilat sebaik sahaja habis persembahan di Kompleks Pasir Gudang. Dapatlah mereka membeli gula-gula untuk menceriakan sedikit hati mereka. Ternyata kunjungan Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Yassin Senario, Faizal AF4, Amylea, Felix , Farawahida, Nikki, Fazli Zainal, Akbar, Izwan Pilus, Khairil (Krill) dan Kieran (Era) cukup bermakna. Mereka tidak hanya mendekati masyarakat di pentas persembahan iaitu di Terminal 1, Seremban dan Kompleks Pasir Gudang, sebaliknya sanggup meredah air bah untuk merasai sendiri keperitan yang melanda Johor. Sesekali, senyuman terukir pada rata-rata wajah yang gelisah. Terhibur seketika hati mereka dengan kunjungan artis popular, biarpun tidak berlawak atau menyanyi. Lebih bermakna, Ahli Dewan Undangan Negeri Semarang, Datuk Samsolbari Jamali yang memberi taklimat awal kepada rombongan turut menghebahkan khabar gembira selepas itu bahawa penghuni sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang itu. Syukurlah. Samsolbari berkata, di Ayer Hitam saja, lebih 11,000 mangsa terpaksa dipindahkan selepas gelombang kedua melanda kawasan yang sama dalam tempoh sebulan. Mereka ditempatkan di 32 pusat pemindahan. Selepas mendekati mangsa banjir di pusat berkenaan, rombongan artis dibawa terus ke Kampung Londang Darat, Ayer Hitam untuk melihat keadaan sebenar. Orang pertama yang menyinsing seluar mengharung air siapa lagi kalau bukan Yassin. Dia memang mesra dengan kanak-kanak. Yassin juga sempat solat asar di masjid kampung berkenaan yang kata penduduk, tidak terjejas langsung dek banjir. Demikianlah tanda kebesaran Tuhan. Gara-gara kunjungan mengejut itu, tiba-tiba saja kampung yang sunyi itu terus bertukar menjadi riuh. Artis sendiri mula macam lepas geram dan tanpa menghiraukan baju akan basah kuyup, mereka turut bermain pelampung dan menaiki sampan bersama kanak-kanak. Nyaris sampan tidak terbalik dek terlebih muatan! Sudah resam masyarakat keturunan Jawa di Johor, dalam keadaan susah atau darurat macam manapun, tetamu akan tetap dilayan dan dimuliakan. Kalau dihitung sudah dua kali kampung mereka banjir. Sedang finalis dan penganjur berseronok melayan kanak-kanak, orang kampung yang teruja dengan kunjungan mereka sempat menyediakan jamuan ringan apa yang ada. Hai, besar hati sungguh! Bayangkan lepas penat bermain air, dijamu pula dengan keledek goreng panas serta bubur pulut hitam. Aduh! manisnya keledek goreng Kampung Londang Darat. Penulis masih terkenang sampai sekarang. Bak kata Auntie Stella, (ibu Ning Baizura) yang juga pengurus Nikki, keledek goreng ini dibuat dengan penuh kasih sayang sebab itu sedapnya lain macam - memang masuk akal, Sampaikan eksekutif promosi ABPBH06, Mohd Pauzi Abd Samad sanggup bungkus sebagai bekalan pulang ke Kuala Lumpur. Tambah menyenangkan apabila kakitangan ekspres Transnasional sudi membelanja kami minum air botol Long Chan yang sememangnya mampu melegakan tekak yang kering. Macam-macam cerita |