Berita Faizal

ABPBH 2006: Ina, Faizal AF4 ada peluang?

Saturday, February 03, 2007

Oleh: Zul Husni Abdul Hamid
Source: Berita Harian

Sifu, Awie dan Amy beri cabaran hebat kepada Bintang Paling Popular 2005



ANUGERAH Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, malam esok bakal menjawab persoalan yang bermain di minda peminat ketika ini. Semua pemenang untuk 16 kategori yang dipertandingkan bakal terjawab pada malam bersejarah acara yang memasuki edisi ke-20 tahun ini. Hip menyorot empat kategori yang menjadi perhatian peminat.

WAJAH BARU: Amylea, Marsha, Faizal dan Akbar antara bakat baru ang menyerlah pada ABPBH 2006.

Artis Baru Lelaki Popular

KATEGORI ini menyaksikan pertembungan antara bintang realiti televisyen. Felix dan Faizal, bakat mereka terlebih dulu meraih perhatian apabila menyertai program realiti popular, Akademi Fantasia (AF). Berbanding Felix yang terpaksa berpuas hati di tangga kedua pada musim ketiga AF, Faizal memacu populariti apabila dinobatkan juara AF4. Lantaran tuah itu juga melonjakkan namanya sebagai pilihan untuk berada dalam senarai Top 5. Fazli Zainal pula mula mendapat perhatian apabila menyertai Malaysian Idol musim pertama. Biarpun tersingkir pada permulaan langkah, bakatnya tidak terpinggir. Fazli mendapat kepercayaan syarikat rakaman dan akhir tahun lalu, namanya meniti di bibir lewat populariti lagu Harapan. Izwan Pilus mula mendaki tangga populariti apabila menyertai Bintang RTM. Biarpun gagal meraih tiga tempat teratas, bakat besar yang dimilikinya tidak disia-siakan begitu saja.

Jika diukur kepada peluang, persaingan kategori ini lebih memihak kepada Fazli dan Felix. Lewat ini, nama Fazli cukup hangat terutama sejak lagu Harapan ciptaan Hazami berjaya memikat hati peminat. Populariti Aku Pencintamu daripada album pertama Felix mampu mengekang kemaraan Fazli. Biarpun populariti Felix agak menurun kerana album ini lahir selepas setahun dia menamatkan pengajian di AF3, kehebatan Aku Pencintamu memulihkan semula namanya di ingatan peminat. Perlu diingat, Faizal juga mampu memberi cabaran.

Artis Baru Wanita Popular

RAMAI mempertikai penganjur apabila menyenaraikan nama Diana atau Ina Naim sebagai calon dalam pusingan awal kategori Artis Baru Wanita Popular. Apa taruhan Diana atau lebih mesra dipanggil Ina? Mungkin ramai yang lupa Ina pernah hadir dengan single, Tak Punya Siapa sebelum tampil dengan album sulung, Duhai Hati. Tuah Tak Punya Siapa atau barangkali juga kisah kasihnya yang putus di pertengahan jalan dengan Bintang Paling Popular ABPBH 2005, Asmawi Ani atau Mawi melonjakkan Ina dalam senarai Top 5.

Akhir ini, Ina dilihat semakin agresif menggilap bakat seninya. Berteater sudah, malah pendedahan mengenai kisah peribadinya menerusi Catatan Duka Ina menguatkan ingatan peminat terhadap wanita yang dulunya hanya sekadar insan biasa.

Persaingan terbesar Ina barangkali penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi pertandingan Bintang RTM, Farahwahida. Berita ‘pernikahannya’ dengan komposer, Julfekar sedikit sebanyak melonjakkan lagi populariti Farawahida. Biarpun terguris, apatah lagi gosip pedih itu tersebar ketika undian ABPBH 2006 hampir di penghujung, namun Farahwahida mampu menanganinya dengan bijak.

Tiga bintang AF juga menaruh harapan untuk kategori ini. Barangkali peluang Marsha dan Amylea agak tipis untuk unggul, namun Leez berpotensi untuk menggugat kedudukan Ina dan Farawahida.

Penyanyi Lelaki Popular

TANYALAH kepada siapa saja, tiada jawapan lain yang diberikan kecuali Mawi buat kali kedua akan mengungguli trofi ini. Apakah penguasaan Mawi tidak langsung tergugat meskipun dilanda pelbagai isu kontroversi?

ABPBH 2006 barangkali menjadi titik ujian untuk Mawi membuktikan kesetiaan peminat terhadapnya masih belum goyah. Kebelakangan ini imej baik yang ditonjolkan Mawi sepanjang menghuni AF3 dulu mula tercalar.

Satu demi satu dibongkar, namun Mawi tetap bertuah kerana tidak pernah dipersalahkan peminat fanatiknya. Sebaliknya, media menjadi sasaran peminat fanatik malah dituding pula sebagai punca utama untuk memecahkan kepercayaan peminat terhadapnya.

Fenomena terus hangat bertiup sukar menidakkan peluang besarnya untuk kembali mempertahankan trofi itu sekali lagi tahun ini. Kali ini, Mawi disaingi M Nasir, Awie, Amy (Search) dan Faizal AF4.

Penyanyi Wanita Popular

SEMBILAN kali trofi Penyanyi Wanita Popular kukuh dalam genggaman Datuk Siti Nurhaliza. Belum tergugat tetapi tahun ini, Siti berdepan dengan cabaran baru. Peralihan status, malah kisah sensasi di sebalik perkahwinannya barangkali akan memberi sedikit kesan kepada undian yang diterimanya.

ABPBH 2006 juga menjanjikan sesuatu yang menarik kerana ia buat pertama kali menguji kesetiaan peminat selepas Siti bergelar isteri. Apakah popularitinya sudah merosot seperti yang diramalkan banyak pihak atau Siti terus bertahan sebagai artis wanita nombor satu negara? Dilihat peluang, tidak mustahil Siti akan mengulangi kemenangannya berdasarkan kepada rentetan kejayaan yang diciptanya tahun ini.

Bagaimanapun, kemampuan Misha Omar juga sukar untuk dinafikan. Hanya berbekal kepada single, Nafas Cahaya, Misha membuktikan namanya masih di puncak meskipun album ketiganya masih tertangguh pembikinan.

Duo/artis Berkumpulan Popular

KATEGORI ini menyaksikan persaingan sengit antara duo popular, Jamal Abdillah dan Mawi serta Zahid dan Nikki. Persoalannya, mampukah Zahid dan Nikki mengulangi kejayaan yang pernah mereka cipta ketika Anugerah Era ‘06 September lalu?

Sukar untuk diramalkan peluang mereka berdua kerana populariti Mawi dan Jamal yang terus utuh mungkin menyekat sedikit langkah mereka. Apatah lagi, undian untuk ABPBH 2006 hanya bersandar kepada penghantaran borang yang disiarkan menerusi akhbar. Ia langsung tidak membabitkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) mahu pun laman web.

Namun, jika diukur menerusi populariti lagu, Caramu nyanyian Nikki dan Zahid lebih kuat mendapat putaran berbanding lagu duet Mawi dan Jamal, Terharu. Tiga saingan lain yang mampu memecah undian mereka ialah KRU, Spider dan VE. Bagaimanapun, peluang tiga calon ini untuk memperoleh kemenangan mungkin tipis.

Penyanyi Nasyid Popular

SEJAK kategori ini diperkenalkan pada ABPBH 1997/98, hanya dua nama yang pernah mengungguli kategori ini. Raihan dan Rabbani bersilih ganti menaiki pentas untuk menerima anugerah itu. Raihan pernah tiga kali memenangi kategori itu. Bagaimanapun, sejak Rabbani menguasai kemenangan pada ABPBH 2001, trofi itu terus menjadi milik mereka. Lima kali trofi itu berada dalam genggaman mereka.

Tahun ini, sekali lagi dua kumpulan nasyid tersohor itu mempertaruhkan nasib mereka. Persaingan turut diterima daripada Mirwana, Inteam dan Hijjaz. Sukar diramal penguasaan kategori ini kerana Mirwana juga berupaya mencipta kejutan, siapa tahu?

Photobucket - Video and Image Hosting