Berita Faizal

Bintang AF sebak lihat mangsa banjir

Thursday, January 25, 2007

Oleh Ramlah Zainal
Source: Harian Metro

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Pepatah itu tepat bagi menggambarkan penderitaan mangsa banjir di semua daerah di Johor termasuk Yong Peng, baru-baru ini.

Justeru, pihak Power Root bersama empat duta terbarunya, bintang yang dicungkil menerusi program realiti popular Akademi Fantasia iaitu Adam (AF2), Felix (AF3), Faizal dan Zila (AF4) terpanggil untuk melawat ke salah satu pusat pemindahan banjir di Yong Peng itu.


Selain menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir, semua duta Power Root juga menghiburkan mangsa yang ditempatkan di dewan orang ramai berkenaan dengan lagu popular masing-masing.

Antara barangan Power Root yang disumbangkan kepada mangsa banjir ialah kopi Ali Cafe’, Ali Tea, Oilgo Cafe dan Per’I Cafe.

Secara keseluruhan, Power Root menyumbangkan sebanyak 1,600 beg yang mengandungi produk keluaran mereka kepada keluarga mangsa banjir berkenaan.

Lebih bermakna, mangsa banjir juga berpeluang menyanyi dan menari bersama artis kesayangan masing-masing, sekali gus melupakan seketika kepayahan yang ditanggung akibat banjir yang melanda kampung mereka.

Bagi Adam, peluang untuk melawat mangsa banjir di Yong Peng adalah saat yang sudah lama dinantikannya, sejak banjir melanda di Johor.

“Pertama kali menjejakkan kaki di Yong Peng, hati saya sebak menyaksikan musibah yang melanda penduduk di sini.

“Saya sedar kami tidak dapat menggantikan semua harta benda mereka yang musnah, tapi sekurang-kurangnya kehadiran kami di sini dapat berkongsi kesedihan dan sedikit sebanyak mengurangkan beban yang ditanggung mereka.

“Selain beramah mesra dan bertanya khabar penduduk di sana, saya sempat menghiburkan mereka dengan dua lagu baru yang bakal dimuatkan dalam album kedua saya, Joget Lambak dan Gila Bayang.

“Lebih bermakna, penduduk juga berpeluang menyanyi dan menari bersama kami sempena kunjungan amal berkenaan,” katanya.

Hadir sama bagi menyemarakkan lawatan amal itu ialah Ahli Parlimen Ayer Hitam, Dr Wee Ka Siong.

Dalam pada itu, Pengurus besar Power Root Marketing Sdn Bhd, Loh Chai Seng berkata, pihaknya membawakan khas, empat artis popular itu dari Kuala lumpur ke Yong Peng bagi menceriakan mangsa banjir di Yong Peng.

“Bila kami mampu menceriakan mangsa yang mengalami penderitaan yang cukup hebat seperti musibah banjir seperti ini, ia sesuatu yang tidak ternilai buat kami,” katanya.

Photobucket - Video and Image Hosting