Berita Faizal

AFP2006 penyertaan 122 filem ditolak

Friday, January 26, 2007

Oleh: Abd. Aziz Itar
Source: Utusan Malaysia


KETUA Pengarah Penyiaran, Abdul Rahman Hamid (depan lima dari kanan) bersama
Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah (depan lima dari kiri), para artis dan finalis AFP2006
selepas sidang akhbar di Angkasapuri, Kuala Lumpur kelmarin - Gambar ASWAD YAHYA.


ANUGERAH Filem Pendek 2006 (AFP2006) yang julung kalinya dianjurkan oleh RTM dan Filem Negara Malaysia (FNM) menyaksikan penyertaan sebanyak 227 buah filem pendek.

Ketua Pengarah FNM, Raja Rozaimie Raja Dalnish berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 105 filem terpilih bertanding, manakala 122 filem pula disingkirkan kerana tidak memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh panel juri.

“Antara kriteria itu ialah daripada segi jangka masa dan isi kandungan yang telah diputuskan oleh RTM dan FNM,” kata Rozaimie pada sidang akhbar di Angkasapuri, Kuala Lumpur kelmarin.

AFP2006 yang diterbitkan oleh Mohd. Yusni Mohamed Ali dan diacarakan Nurul Ab. Wahab dan Awal Ashari itu akan disiarkan secara langsung menerusi RTM1 pukul 8.30 malam ini.

Hadiah wang tunai keseluruhannya berjumlah RM300,000 disediakan bagi kategori Filem Terbaik, Skrip Terbaik, Pengarah Terbaik, Filem Pendek Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penataan Cahaya Terbaik, Penyunting Terbaik, Peralatan Bunyi Terbaik dan Skor Muzik Terbaik.

Anugerah yang akan dijadikan sebagai acara tahunan itu mempertaruhkan kategori Filem Jenaka Pendek, Dokumentari, Animasi, Eksperimental, Khidmat Awam dan Iklan.

Sementara itu artis yang akan mengadakan persembahan pada AFP2006 antaranya Jaclyn Victor, Pretty Ugly, Nikki, Zahid, Farah (AF2), The Times, Azharina Azhar, Izwan Pilus, Adam (AF2), Kelvin Lau dan Faizal (AF4).

Photobucket - Video and Image Hosting