Berita Faizal

ABPBH 2006: Selebriti riuh di Melaka

Wednesday, January 24, 2007

Oleh:Zainuri Misfar
Source: Berita Harian
ABPBH SPECIAL

Lebih 5,000 peminat penuhi Dataran Pahlawan untuk temui finalis, artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006

MELIHAT sambutan mereka yang datang, ternyata matlamat penganjur Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 untuk mendekatkan serta memesrakan anugerah ini kepada orang ramai tercapai.


MERIAH: Sebahagian artis mengambil peluang bergambar di atas
beca berhias yang menjadi 'keunikan' bagi Melaka.

Ternyata, menerusi acara seperti ini, orang ramai bukan saja boleh mengenali beberapa artis atau personaliti kesayangan mereka tetapi juga semakin arif dan peka dengan anugerah tahunan anjuran Berita Harian ini yang kini sudah memasuki tahun ke-20.

Semua ini dapat dilihat dengan kehadiran hampir 5,000 pengunjung memenuhi ruang legar serta tingkat satu kompleks membeli belah Megamall Melaka, Dataran Pahlawan, Melaka, Ahad lalu.

BERSAHAJA: Aksi Awie
bersama peminat
di atas pentas.


Melaka adalah destinasi kelima siri jelajah ABPBH2006 selepas Kuala Terengganu, Pulau Pinang, Seremban dan Pasir Gudang, Johor dengan setiap kunjungan mendapat sambutan amat memberangsangkan. Semasa di Johor, rombongan artis turut melawat dan menyampaikan mangsa banjir di Batu Pahat, manakala semasa promosi di utara Semenanjung, mereka turut singgah di Gurun, Kedah.

Di Dataran Pahlawan, peminat sudah mula memenuhi ruang legar kompleks membeli terbaru di bandar Melaka itu, seawal jam 12 tengah hari walaupun mereka mengetahui artis dan personaliti yang ditunggu bakal muncul kira-kira jam 3 petang.

Ramai yang turut mengambil kesempatan melihat dan membeli pelbagai barangan cenderamata eksklusif edisi terhad ABPBH 2006 seperti baju T, payung, topi, tuala dan buku nota. Ternyata seperti yang dijanjikan, sorakan mula bergema apabila pengurus pentas mengumumkan kemunculan penyampai radio Era, Nana dan Zizi muncul yang kemudian disusuli pula pengacara TV sensasi, Aznil Nawawi.

Aznil ternyata bijak mengawal keadaan apabila meminta mereka di barisan depan duduk bagi membolehkan lebih ramai yang beada di belakang boleh menyaksikan setiap persembahan di pentas. Ini kerana dalam tempoh tiga jam, orang ramai dihidangkan persembahan daripada Akbar yang menyanyikan lagu Siapa Di Hatiku dan Alhamdulillah, diikuti penampilan Farahwahida untuk menyampaikan lagu Tanpamu dan Kenangan Terindah.

Fazli Zainal pula muncul dengan mendendangkan single terbarunya, Mentari Sakti selain lagu popularnya, Harapan. Manakala Leez yang dicungkil bakatnya dari Akademi Fantasia 4 (AF4) kelihatan masih malu-malu semasa menyampaikan lagu Sungguh Ku Jatuh Cinta dan Merah Itu Cinta.

Sementara itu, penyanyi anak tempatan, Izwan Pilus yang dilahirkan di Jasin, Melaka menghiburkan peminatnya dengan menyampaikan lagu Kembali sayang dan Indah Lelapku, dan Faizal AF4 pula tampil mendendangkan lagu Lihatlah dan Hujan.

Ina Naim pula semakin yakin berada di pentas apabila menyanyikan lagu Lukisan Hati dan Duhai Hati. Bahkan bakat baru dalam dunia nyanyian ini juga semakin berani turun ke pentas untuk mendekati dan bersalaman dengan penonton. Aznil juga tidak ketinggalan menghiburkan peminatnya dengan menyanyikan lagu Profesor Klon, dipetik daripada filem Cicak-Man.

Selain nyanyian acara di pentas Dataran Pahlawan ini diwarnai dengan gelak ketawa dan acara menghiburkan daripada pelakon, penyanyi dan personaliti lain. Ini termasuklah gelagat penuh selamba daripada Yassin Yahya sehingga menyebabkan Aznil dan Zizi ‘keras perut’ dengan telatahnya.

Kemunculan ‘pasangan sejoli’, Linda Onn dan Fahrin Ahmad menggamatkan lagi suasana acara promosi ABPBH2006. Namun, kedua-duanya tetap ‘sporting’ semasa di atas pentas sekalipun diusik beberapa kali oleh Aznil. Penampilan Awie dengan gaya ala-koboi masih dapat mencuri tumpuan peminatnya sekalipun penyanyi ini tidak mendendangkan lagunya.

Selain bermesra dengan personaliti terbabit, mereka yang bernasib baik berpeluang untuk bergambar dalam kereta Naza Kia, selain barangan cenderahati daripada Habib Jewel dan Edward Forrer yang semuanya menjadi antara penaja utama ABPBH 2006.

Terdahulu, sebelum di bawa ke Dataran Pahlawan, delegasi yang menyertai jelajah ABPBH2006 dibawa menaiki beca mengelilingi beberapa tempat menarik di sekitar Banda Hilir yang banyak meninggalkan kesan sejarah.

Photobucket - Video and Image Hosting