Berita Faizal

ABPBH 2006: Finalis artis baru lelaki tolak klon

Thursday, January 25, 2007

Oleh: Nurulhisham Abdul Latif

Source: Berita Harian
ABPBH SPECIAL

Perbandingan peminat jadi cabaran kepada selebriti pertingkat mutu


ARTIS klon atau percubaan meniru gaya atau suara artis lain bukanlah suatu perkara baru dalam arena seni dunia. Bagi sesetengah pihak, menciplak suara artis terkenal mungkin menjadi jalan pintas untuk meraih populariti dengan kadar segera. Begitupun, bukankah yang asli itu lebih kekal daripada yang ciplak?

Pada siri road tour Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 di Seremban, Pasir Gudang dan Melaka yang baru berlalu, topik berkenaan turut menjadi perbincangan beberapa artis popular, termasuk lima anak muda yang dicalonkan dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular, Fazli Zainal; Izwan Pilus; Faizal AF; Akbar; dan Felix.

Topik itu timbul apabila beberapa akhbar pada hujung minggu menyiarkan gambar dan cerita mengenai calon uji bakat Akademi Fantasi 5, yang dikatakan menyerupai juara AF3, Asmawi Ani atau Mawi, yang kini mencipta nama sebagai artis paling popular di Malaysia.

Masing-masing tidak bersetuju sekiranya artis mengambil pendekatan yang mudah begitu dalam mencari kejayaan. Bahkan, mereka turut berasakan, artis klon tidak mempunyai kekuatan untuk muncul dengan imej tersendiri. Artis klon juga tidak akan kekal lama berbanding mereka yang memperjuangkan keaslian dan kelainan dalam karier.

Pada ketika sama, lima penyanyi sedang meningkat naik ini mengakui betapa mereka sendiri pernah melalui detik kurang menyenangkan apabila dikaitkan dengan beberapa artis yang terlebih dulu mengecap populariti dalam arena seni.

“Oleh kerana album saya diterbitkan oleh Yasin, maka ramai juga kalangan peminat yang menyamakan saya dengan penyanyi terbabit. Untuk pengetahuan semua, saya dan Yasin jauh berbeza. Genre muzik kami juga tidak sama. Yasin lebih kepada irama sejagat (world music) sedangkan saya pula lebih kepada muzik Barat. Malah, jika ditanya, saya sebenarnya lebih terpengaruh dengan muzik Boyz II Men dan Justin Timberlake,” katanya.

Felix turut tidak terlepas daripada disamakan dengan beberapa artis lama seperti Iwan dan seorang penyanyi lelaki Indonesia sebaik saja dia melagukan irama dangdut dalam konsert mingguan AF3 yang lalu.

“Begitupun saya bernasib baik apabila perbandingan sebegitu hanya kekal seketika saja. Peminat sendiri dapat melihat perbezaan antara kami. Bahkan, menerusi album sulung baru berada di pasaran, peminat dapat mendengar muzik saya yang lebih berbeza, iaitu menjurus kepada rock,” ujar naib juara AF3 ini.

Kata Akbar dan Felix, perbandingan yang cuba dilakukan peminat sebenarnya membuatkan mereka lebih berusaha dalam mempertingkatkan keupayaan, seterusnya menyerlahkan lagi identiti sendiri dalam industri muzik.

Pandangan itu juga disokong Izwan dan Fazli. Kata mereka, mungkin pada peringkat permulaan, peminat menyamakan diri seseorang artis baru dengan artis lain yang terlebih dulu membabitkan diri dalam muzik berikutan pendekatan yang hampir sama dibawa oleh kedua-duanya. Begitupun, lambat laun peminat akan dapat menghidu juga perbezaan antara mereka.

Jika Izwan pernah dikatakan meniru Rem dek teknik nyanyian menderam menerusi single terdahulu, Erti Kasih. Judul lagu mereka juga adalah sama. Rakannya, Fazli pula dituduh menciplak gaya Anuar Zain.

“Itulah masalah, apabila kita menggunakan teknik serupa, kita dikatakan menciplak pula. Sedangkan, nyanyian itu mempunyai tekniknya dan kita pula menurut kata komposer atau penerbit lagu terbabit. Contohnya Hazami, dia seorang penyanyi dan penerbit, jadi teknik nyanyiannya mungkin akan dapat dikesan pada artis yang menggunakan khidmat penerbitannya. Itu perkara biasa. Tetapi, setiap penyanyi ada nada suara tersendiri. Jadi, perkara itulah yang membezakan kami,” tegas Izwan yang kini menjadi sebutan lewat lagu Indah Lelapku.

Fazli pula tidak mahu menjadikan soal peminat menyamakan seseorang artis dengan yang lain sebagai halangan untuk terus melangkah jauh dalam dunia seni. Katanya, dia bukan meniru mana-mana individu terkenal dalam berpakaian, sebaliknya mengikut perkembangan fesyen semasa.

“Kenapa pula hendak dikatakan si polan A meniru si polan B, sedangkan gaya yang serupa turut dikenakan artis dari luar? Mengapa tidak dituduh saya meniru gaya Marc Anthony atau Josh Groban? Saya hanya memakai pakaian yang sesuai dengan imej dan suasana persembahan. Jika peminat melihat kulit album saya, ia lebih kepada pop rock bagi menyesuaikannya dengan lagu Mentera Saktiku yang lebih rancak rentaknya. Album saya pun sebenarnya berkonsepkan pop, bukan pop R&B, “ kata Fazli.

Juara AF4, Faizal turut tidak terlepas daripada disamakan dengan seniornya. Sewaktu AF4 sedang rancak berlangsung, dia dikatakan cuba meniru personaliti Mawi. Namun, selepas beberapa ketika, semua itu tinggal kenangan kerana Faizal nyata berbeza. Apatah lagi suara mereka langsung tidak sama.

Yang pasti, episod kurang manis disamakan dengan artis lain, sudah pasti berlalu dalam kamus perjalanan seni lima calon akhir ABPBH 2006.

Untuk itu, jangan lupa saksikan acara kemuncak ABPBH 2006 pada 4 Februari ini, berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands. Siaran langsungnya pula boleh diikuti menerusi TV3 dan radio Era, mulai jam 8.30 malam.

Photobucket - Video and Image Hosting