Berita Faizal

ABPBH 2006: Sorento idaman

Thursday, February 01, 2007

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff & Serimah Mohd Sallehuddin
Source: Berita Harian

Artis paling popular, pembaca bertuah bakal peroleh hadiah lumayan tajaan Naza Kia Sdn Bhd

SELAIN barang kemas sumbangan Habib Jewels yang bernilai RM150,000, Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 juga akan memandu pulang sebuah kereta Naza Sorento 2.5 (A) bernilai RM143,000. Begitu juga pembaca bertuah Berita Harian yang menyertai peraduan akhir Undi & Menang juga layak memperoleh hadiah sedemikian.



Siapa artis bakal menerimanya, hanya akan diketahui pada malam Ahad ini apabila acara kemuncak anugerah yang memasuki edisi ke-20 tahun penganjurannya berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands.

Mungkinkah empat bintang baru yang dicalonkan dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular dan Artis Baru Wanita Popular - Faizal, Akbar, Amylea dan Marsha adalah pemenangnya? Undian peminat yang menentukannya.

Siapa saja yang membawa pulang hadiah cukup lumayan itu, bukan persoalan utama bagi keempat-empat penyanyi popular ini. Bagi mereka, kesempatan untuk sama-sama memeriahkan acara berprestij itu saja sudah menjadi penghormatan yang tidak terhingga. Malah, kesudian penaja memberi hadiah Naza Sorento 2.5 (A) membuktikan pengiktirafan besar Naza Kia Sdn Bhd terhadap artis tanah air dan majlis anugerah paling berprestij ini.

Faizal

“TENTUNYA saya amat bersyukur apabila tempoh empat bulan selepas keluar daripada Akademi Fantasia (AF) musim keempat sudah cukup membuatkan peminat mengenali saya, seterusnya meletakkan saya sebagai finalis dua kategori (Penyanyi Lelaki Popular dan Artis Baru Lelaki Popular).

“Jika ditanya apakah saya menyimpan harapan? Pada hakikatnya saya berasakan, semua finalis teringin untuk menjulang trofi kemenangan. Begitupun, saya masih berpijak di bumi nyata. Semuanya saya serahkan kepada peminat untuk menentukan. Seperti saya sering katakan, jika ada rezeki, maka adalah kemenangan. Dipilih sebagai finalis sendiri sudah cukup bermakna sebenarnya.

“Saya juga amat bertuah kerana diberikan peluang mengikuti siri promosi ABPBH kali ini hampir ke semua lokasi. Kesempatan ini cukup dihargai kerana di situlah saya dan calon lain dapat mendekati peminat. Dari Utara, Selatan dan Timur tanah air, semuanya kami kunjungi dan peminat memberikan sambutan cukup hebat kepada kemunculan kami. Semua sokongan itu tentulah memberikan kami semangat lebih kuat lagi untuk mempertingkatkan tahap persembahan dan karier nyanyian kami.”

Amylea

“JIKA diikutkan kata hati sendiri, rasanya saya belum sampai ke tahap popular. Namun, undian peminat sehingga melayakkan saya turut melangkah ke Arena of Stars pada 4 Februari ini amat bererti. Saya sedar, ramai artis dicalonkan pada peringkat awal. Lalu, kejayaan ke Top 5 sudah cukup menggembirakan saya.

“Apabila sudah berada pada senarai akhir, tentunya saya kini amat teruja untuk sama-sama memeriahkan acara hebat ini. Selain dapat berkumpul bersama rakan seperjuangan, kami juga dapat mendekati peminat yang datang memberikan sokongan. Apatah lagi ABPBH adalah acara yang memberikan hak kepada peminat membuat undian. Inilah juga masanya kita menghargai mereka.

“Pencalonan saya ke peringkat akhir tidak ubah seperti terapi. Maklum saja, kami artis tidak sunyi daripada masalah. Lalu, acara seperti ini, serta kejayaan ke Top 5, membuatkan kita berasa gembira. Jadi, lupalah sekejap pada masalah yang membelenggu diri. ABPBH menjadi acara untuk kita bersuka ria dan menghargai mereka yang sentiasa menyokong perjuangan kami.

“Selain AF3, saya juga berasakan, pembabitan saya dalam kempen Mamee Slurrp... banyak membantu untuk meletakkan diri saya ke tahap ini. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang membantu menjayakan karier saya yang baru hendak bertapak ini.”

Akbar

“KETIKA diumumkan salah seorang finalis ABPBH 2006, saya rasa cukup terkejut. Seperti saya katakan sebelum ini, saya hanya mampu ketawa kerana tidak percaya dengan pencalonan ini. Walau apapun, saya harus juga menerima kenyataan ini biarpun pada mulanya tidak percaya. Tetapi saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang.

“Bagi saya, bergelar Top 5 pun adalah satu kejayaan. Saya sedar bukan mudah untuk berada di tahap ini kerana artis lain yang tercalon mempunyai nama cukup kukuh dalam karier mereka. Saya sudah cukup bersyukur berada pada tahap ini. Bukan memperkecilkan kebolehan sendiri tapi saya tahu bukan mudah untuk menjulang trofi Artis Baru Lelaki Popular.”

Marsha

“SUDAH dua tahun menjadi artis tapi baru kini nama saya dicalonkan. Namun, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana persaingan dalam kategori Artis Baru Wanita Popular cukup kuat. Bagaimanapun, saya anggap ini semua permulaan yang baik untuk karier saya bagi musim 2007. Saya hanya mampu serahkan nasib kepada rezeki, kalau ada rezeki adalah... jika tidak pun saya sudah cukup gembira kerana bakat saya mendapat perhatian.

“Saya akui anugerah penting untuk seseorang artis tetapi kita tidak boleh mengharap anugerah semata-mata. Sebaliknya, perlu ikhlas dalam bidang yang diceburi, saya akui agak kecewa biarpun sudah lama tetapi masih tidak memiliki album. Namun, pencalonan dalam ABPBH 2006 memberi semangat untuk saya meneruskan lagi kerjaya dalam bidang seni.”

Photobucket - Video and Image Hosting