Berita Faizal

ABP-BH dapat tajaan RM2.75 juta

Thursday, December 14, 2006

Oleh Zul Husni Abdul Hamid, Nurulhisham Abdul Latiff dan Serimah Mohd Sallehuddin
Source: Berita Harian, 14 Dec 2006

SERI KEMBANGAN: Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABP-BH) 2006 mengekalkan statusnya sebagai acara hiburan paling berprestij, dengan mencatat jumlah tajaan bernilai RM2.75 juta.

Daripada jumlah itu, Habib Jewels Sdn Bhd selaku penaja utama menyumbang tajaan RM1.5 juta iaitu RM1 juta dalam bentuk tunai, manakala RM500,000 menerusi pelbagai produknya yang bakal menanti pemenang kategori artis dan pembaca.

ABP-BH 2006 juga menerima tajaan dua kenderaan pacuan empat roda Naza Sorento 2.5 (automatik) bernilai RM300,000 daripada Naza Kia Sdn Bhd yang menanti pemenang utama kategori pembaca Berita Harian/Berita Minggu dan penerima Anugerah Bintang Paling Popular.

Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun, berkata pelbagai hadiah menarik turut menanti pembaca Berita Harian/Berita Minggu yang membuat pilihan tepat dalam borang pencalonan akhir ABP-BH 2006.

“Hadiah kedua yang ditawarkan kepada pembaca bertuah adalah set barangan kemas Habib bernilai RM50,000 manakala pemenang tempat ketiga bakal menerima set bernilai RM20,000.

“Hadiah lain ialah 38 barangan kemas Habib bernilai RM2,500 setiap satu selain barangan elektrik tajaan JVC Sales & Services merangkumi televisyen LCD 40-inci, perakam video, alat penerima DVD kereta, pemain audio digital dan alat pembesar suara MP-3.

“Buat pertama kali juga semua calon Top 5 dalam 16 kategori yang dipertandingkan akan menerima hadiah loket Habib dan sepasang kasut Edward Forrer,” katanya pada sidang media mengumumkan senarai Top 5 ABP-BH 2006 di hotel Palace Of The Golden Horses (POTGH), di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHS yang juga penaung ABP-BH 2006, Datuk Manja Ismail; Perunding Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Habib Jewels, Nadia Aziz serta Pengurus Kanan Pemasaran Naza Kia, Zuraidah Abdul Rahim.

Turut hadir, Naib Presiden Kanan Jualan & Pemasaran POTGH, Ricky Yip; Ketua Pegawai Eksekutif Lira Calzoleria & Apparel Sdn Bhd, Puteri Intan Zuraidah Abdul Rahman; Pengurus Rancangan Radio Era, Rostam Said dan Pengarang Hiburan Berita Harian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABP-BH 2006, Hanizam Abdullah.

Hishamuddin berkata, bagi kategori artis, pemenang anugerah Bintang Paling Popular yang akan membawa pulang sebuah Naza Sorento 2.5 turut menerima barang kemas Habib bernilai RM150,000 serta pakej penginapan mewah di POTGH.

Antara finalis yang hadir semalam termasuk Aznil Nawawi, Raja Azura, Sheila Rusly, Abby Abadi, Siti Shahrizah (Eja), Rosyam Nor, Awie, Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor, Fara Fauzana, Sharifah Aleya, Nana, Zahid, Faizal (AF4), Fazli Zainal, Izwan Pilus, Farawahida, Ako Mustapha, Ina Naim, Leez (AF4) dan Akbar.

Borang pencalonan akhir ABP-BH 2006 disiarkan setiap hari selama lima minggu bermula hari ini hingga 21 Januari 2007 menerusi Berita Harian/Berita Minggu.

Hishamuddin berkata, sebagai penghargaan kepada pembaca, BHSB dengan kerjasama Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) menganjurkan siri promosi jelajah ABP-BH 2006 di tujuh lokasi terpilih.

“Penganjurannya lebih bermakna kerana ia serentak dengan sambutan ulang tahun ke-50 Berita Harian dan kemerdekaan negara. Dengan penyertaan barisan finalis, diharap siri jelajah ini akan memberi impak menarik dan meninggalkan kenangan manis kepada mereka yang menyertainya,” katanya.

Kemuncak ABP-BH 2006 yang juga edisi ke-20 penganjurannya akan berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands pada 4 Februari 2007.

Photobucket - Video and Image Hosting