Berita Faizal

Faizal ambil ujian lesen memandu

Thursday, December 07, 2006

Oleh: Hamid Salleh
Source: Berita Harian - 07 Disember 2006

LANGKAH pertama juara Akademi Fantasia musim keempat (AF4) Mohammad Faizal Ramly, 22, memiliki lesen untuk memandu sendiri Toyota Vios bernilai RM83,900 yang dimenanginya akan diketahui apabila dia menduduki Ujian Undang-Undang Berkomputer (Bahagian 1), hari ini.

Faizal yang pernah mengambil ujian itu membuat persiapan rapi apabila mengikuti kelas undang-undang selama lima jam di sekolah memandu PSM Academy (M) Bhd di Gong Badak, Kuala Terengganu bagi memastikan impian memandu sendiri menjadi kenyataan.

"Rugilah jika tidak mempunyai lesen memandu dan sebab itu saya berazam untuk lulus cemerlang dalam ujian nanti," katanya ketika ditemui di Gong Badak, kelmarin.

Faizal berkata, PSM Academy sudah lama menawarkan peluang belajar memandu kenderaan secara percuma, tetapi masanya agak terhad terutama untuk mengikuti kelas kurikulum pendidikan memandu selama lima jam.

"Usaha mendapatkan lesen sah tidak boleh ditangguhkan lagi. Saya terpaksa memperuntukkan sedikit masa walaupun mempunyai jadual kerja yang padat sehingga akhir tahun.

Faizal yang tiba di bandar Kuala Terengganu dari Ipoh, Perak kira-kira jam 5.30 pagi, tidur seketika sebelum mengikuti kursus memandu lima jam.

Walaupun agak penat, beliau mengikuti kelas sehingga habis sebagai persiapan untuk menjawab semua 50 soalan yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam tempoh 40 minit.

"Saya memberi tumpuan kepada tenaga pengajar dan kini faham mengenai peraturan lalu lintas dan tanda-tanda undang-undang jalan raya," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada PSM Academy yang tidak mengenakan bayaran untuk menduduki kursus dan belajar memandu sehingga lulus.

Ditanya mengenai album pertama selepas bergelar juara AF4, Faizal berkata, kini dia sedang merakamkan 11 lagu termasuk dua layu rakyat Terengganu dalam album sulung yang dijangka diterbitkan tahun ini.

"Empat lagu dihasilkan oleh penggubah terkenal M Nasir, Ajal dan KRU serta dua lagu rakyat, termasuk Watimang Landak," katanya.

Faizal berkata, lagu yang dinyanyikan pada pertandingan AF4 hasil gubahan M Nasir turut dirakamakan dalam album sulungnya itu.

Beliau berkata, semua lagu berirama pop rock dan diharap mendapat sambutan peminat.

Photobucket - Video and Image Hosting