Berita Faizal

Jessisca Dealova mohon maaf

Sunday, December 10, 2006

Oleh: Zubir
Source: Bintang Popular

Source: Berita Harian

MEMANG jauh jurang budi bahasa antara artis tempatan dibandingkan dengan bintang dari negara seberang. Bukannya Zubir hendak mengagungkan artis Indonesia, tapi hakikatnya berlaku ke atas Zubir baru-baru ini ketika dalam penantian menunggu kedatangan bintang utama filem box office Dealova, Jessisca Iskandar ke Kuala Lumpur.

Jessisca dijadualkan tiba di Kuala Lumpur bersama pelakon lain filem itu - Benjamin Joshua dan Evan Sanders pada 13 November lalu jam 6 petang. Mendapat tahu perkara itu, Zubir sejak sebulan lalu sudah merancang sesi fotografi khas Jessisca bersama juara Akademi Fantasia 4 (AF4), Faizal pada hari yang sama di Hotel Palace of the Golden Horses, jam 9 malam.

Pun begitu, kira-kira jam 4.30 petang, Zubir menerima panggilan memaklumkan Jessisca ketinggalan penerbangan AirAsia jam 4.10 petang dan dia hanya akan mengambil penerbangan lain, seterusnya dijangka tiba di Kuala Lumpur jam 11.30 malam!

Alasan yang diberi, Jessisca terpaksa berpatah balik ke rumahnya apabila menyedari dia tersalah ambil pasport yang menjadi milik ibunya! Sebaik mendengar penjelasan itu, apa lagi, Zubir naiklah angin satu badan!

Nak tak nak Zubir terpaksa tebalkan muka menghubungi semua penaja - hotel, baju dan solekan membatalkan temu janji pada malam itu. Memang Zubir sangat kecewa kerana perancangan dah hancur.

Pun begitu, fotografi bersama Faizal terpaksa ditunda pada hari lain tetapi Zubir dah tak kuasa mengatur rancangan lain. Tayangan khas Dealova pun Zubir dah hilang mood nak hadir.

Entah macam mana, Zubir menerima sekeping kad dan cokelat daripada Jessisca. Dia nyata mohon maaf di atas segala kecuaiannya itu.

Jessisca turut menghubungi Zubir bagi menyatakan kemaafannya. “Pak Zubir, memang kecuaian saya, lalu tidak dapat fotografi sama Faizal. Sebenarnya ini kali ke sembilan saya ke Malaysia, tapi kenapa kali ini saya melakukan kecuaian itu. Maafkan saya ya Pak,” mohon Jessisca lagi.

Beginilah yang sepatutnya berlaku Apabila dah buat salah, cepat-cepat kita minta maaf. Hati yang panas pada mulanya akan sejuk, insya-Allah.

Sementara itu, filem terbitan Flix Pictures itu akan mula menemui penonton 23 November ini dan diedarkan di Malaysia oleh Ulek Urai Productions Sdn Bhd. Ia mendapat kerjasama Aura Seri, AirAsia Sdn Bhd dan Hotel Palace of The Golden Horses

Photobucket - Video and Image Hosting