Berita Faizal

ABPBH 2006: 80 pencalonan ke final ABPBH 2006

Thursday, December 14, 2006

Oleh Akmal Abdullah
Source: Berita Harian, Ruangan Hip, 14 December 2006

Kempen undian daripada peminat bagi memilih pemenang 17 kategori bermula hari ini.

AKHIRNYA senarai nama pencalonan akhir Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 diketahui apabila majlis sidang media mengumumkan mereka yang layak itu diadakan di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, petang semalam.

Lebih separuh daripada jumlah nama calon yang layak ke final adalah muka lama, iaitu mereka yang pernah disenaraikan dalam finalis ABPBH 2005 dan sebelumnya, termasuk pemenang pelbagai kategori bagi musim lalu.

Nama seperti Datuk Siti Nurhaliza, Mawi, Rosyam Nor, Fasha Sandha, Saiful Apek, Sheila Rusly, Linda Onn, Halim Othman, Aznil Nawawi dan Fara Fauzana terus berada dalam senarai kategori masing-masing untuk meneruskan cabaran bersama pesaing mereka.

Namun, kali ini ada beberapa nama baru turut disenaraikan dalam Top 5 anugerah ini - mendorong kepada saingan yang lebih dramatik dalam kancah merebut gelaran mengikut 17 kategori yang disediakan. Ini dilihat menerusi kategori Artis Berkumpulan/Duo Popular, Pelakon TV Lelaki Popular, Pengacara TV Lelaki Popular, Penyampai Radio Lelaki Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular.

Nama artis popular yang sudah berpengalaman seperti Ogy Ahmad Daud, Amy Search, Awie, Yassin Yahaya, Arash Mohamad dan AC Mizal memberi impak lebih menarik dalam kemeriahan undian finalis kali ini. Mereka akan berdepan muka baru yang turut mempunyai kekuatan populariti, sekali gus menjadikan saingan kali ini berada dalam suasana sukar dijangkakan.

Menerusi 17 kategori yang disediakan itu, kategori Artis Baru Lelaki Popular dan Artis Baru Wanita Popular menampilkan muka baru yang pertama kali memberi saingan dalam final ABPBH. Untuk musim ini, kategori lelaki dibarisi Akbar, Izwan Pilus, Faizal AF4 dan Felix Agus.

Finalis artis baru wanita menyaksikan Ina Naim turut tersenarai bersama empat pesaingnya iaitu Amylea AF3, Leez AF4, Farawahida dan Marsha.

Mulai hari ini, borang undian untuk memilih pemenang bagi 16 kategori yang disediakan serta kategori utama - Bintang Paling Popular mula disiarkan menerusi akhbar Berita Harian dan Berita Minggu. Ia akan disiarkan dalam tempoh sebulan bagi membolehkan peminat dan pembaca memilih artis yang dianggap layak untuk dinobatkan sebagai pemenang.

ABPBH 2006 yang mendapat tajaan utama daripada Habib Jewels Sdn Bhd ini bertambah rancak dan meriah dengan pelbagai hadiah lumayan yang turut disediakan kepada pembaca yang menyertai undian peringkat akhir

Photobucket - Video and Image Hosting