Berita Faizal

15 artis berkampung di Kedah, Pulau Pinang

Sunday, January 14, 2007

Oleh Farihad Shalla Mahmud
Source: Berita Harian, December 2006

LATEST NEWS: ABPBH SPECIAL

Finalis ABPBH 2006 sudah tidak sabar untuk bertemu peminat di Utara Semenanjung bermula esok

SELEPAS menggegarkan Kuala Terengganu menerusi acara pembukaan siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 pada 22 dan 23 Disember lalu, kini acara sama bakal ‘menyerang’ Kedah dan Pulau Pinang, mulai esok.

Acara promosi kali ini dijangka lebih meriah apabila ramai artis popular turun padang untuk bertemu dan beramah mesra dengan peminat yang selama ini begitu setia menyokong kerjaya seni mereka.

Bagi mereka yang berada di Kedah, luangkan masa anda ke Kompleks Plaza Jerai, Gurun esok mulai jam 2 petang kerana sebelum berkonvoi ke Pulau Pinang rombongan ABPBH 2006 akan singgah sebentar di sana.

Kalau anda ingin beramah mesra dengan juara Akademi Fantasia musim keempat Faizal, Marsha AF, Amylea AF, Izwan Pilus, Farawahida, Fazli Zainal, Leez AF4, Ako Mustapha, Nikki, Khairil Rashid dan Kieran inilah masanya kerana mereka akan meluangkan masa dan menghiburkan peminat yang hadir di kompleks beli-belah itu.

Acara itu akan dikendalikan tiga pengacara hebat iaitu pengacara nombor satu negara Aznil Nawawi, Raja Azura dan penyampai Era, Rostam.

Keesokan harinya (Ahad), finalis ABPBH akan menambahkan kehangatan Pulau Pinang dan lokasi bertuah yang terpilih untuk menyaksikan acara bersejarah itu adalah Queensbay Mall, Bayan Baru. Menambahkan lagi kemeriahan, Bintang Paling Popular ABPBH tahun lalu, Mawi akan turut serta menghiburkan pengunjung.

Pengurus Promosi dan Pemasaran Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi), Mas Ayie Mas Omar, berkata menerusi siri promosi itu, peminat berpeluang beramah mesra dengan finalis yang selama ini hanya mampu ditonton dari jauh atau di kaca televisyen.

"Program di Queensbay Mall bermula pada jam 2 petang. Oleh itu saya nasihatkan mereka supaya datang lebih awal untuk mengelakkan kesesakan atau terlepas peluang untuk menemui artis kesayangan mereka.

Peminat yang bertuah juga berpeluang menaiki kenderaan yang disediakan penaja iaitu Naza Kia Sdn Bhd bersiar-siar mengelilingi kompleks beli-belah terbabit.

“Kita turut mengadakan sesi menandatangani autograf dan bergambar bersama artis selepas selesai acara persembahan. Mereka harus mendapatkan barangan eksklusif terhad ABPBH 2006 yang akan dijual di gerai khas, ” kata Mas Ayie.

Antara barangan eksklusif terhad ABPBH 2006 yang akan dijual di kedua-dua lokasi merangkumi kemeja-T berkolar, kemeja-T leher bulat, baby-T, buku autograf, rantai kunci, payung, tumbler, mug, pemetik api, topi dan tuala.

Pada 13 Januari pula, siri penjelajahan diteruskan di Terminal One, Seremban, Negeri Sembilan dan disusuli ke Kompleks Pasir Gudang, Johor pada 14 Januari. Siri penjelajahan akan berakhir dan upacara penutup yang meriah akan diadakan di Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 27 Januari sebelum malam kemuncak di Arena Of Stars, Genting Highlands pada 4 Februari depan.

Photobucket - Video and Image Hosting