Berita Faizal |
|
Latest News
News Archives
Online Berita |
Jelajah ABPBH 2006 bermulaSaturday, January 13, 2007 Oleh: Serimah Mohd Sallehuddin
Source: Berita Harian, December 2006 ABPBH SPECIAL Peminat boleh temui artis kesayangan apabila promosi diadakan di Kompleks Sukan, Terengganu Equestrian hari ini, esok PENJELAJAHAN sulung siri promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 berada di destinasi pertamanya, Kuala Terengganu, Terengganu, bermula hari hari ini. Sebagai destinasi pertama yang menjadi tirai pembukaan kepada siri jelajah promosi ABPBH 2006, pelbagai aktiviti menarik disusun khas buat peminat hiburan tanah air khususnya di negeri Pantai Timur . Bukan saja selebriti yang tercalon dalam senarai Top 5 bersama dalam jelajah promosi ini tetapi artis yang tersenarai dalam senarai pencalonan awal turut diundang. Antara artis yang bakal mengikuti siri jelajah ini ialah kategori penyanyi, Ina Naim, Mirwana, Zehra Zambri, Faizal AF4, Mamat (Exist) dan kumpulan nasyid Firdaus. Manakala bagi kategori pelakon dan pengacara pula terdiri daripada Fara Fauzana, Ally Iskandar, Sheila Rusly, Raja Azura, Farid Kamil, Ikhwan, Faizal dan Intan Ladiyana. Pengurus Pemasaran dan Promosi ABPBH 2006, Mas Ayie Mas Omar, berkata beberapa artis yang berada dalam senarai pencalonan awal, namun gagal menempatkan diri dalam senarai Top 5 turut diundang bagi memeriahkan majlis pembukaan siri jelajah itu yang bakal disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Pelancongan Negeri Terengganu, Datuk Mohamed Awang Tera. Manakala Berita Harian akan diwakili Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) yang juga penaung ABPBH 2006, Datuk Manja Ismail dan Pengarang Hiburan Berita Harian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2006, Hanizam Abdullah. Kata Mas Ayie, siri jelajah kali ini lebih istimewa kerana peminat berpeluang melihat artis pujaan mereka beraksi dalam perlawanan bola sepak membabitkan pasukan Selebriti melawan pasukan Pilihan MB dan pasukan Selebriti lawan pilihan Puspanita bagi acara bola jaring. Perlawanan akan diadakan di Terengganu Equestrian Resort (Ter). “Inilah peluang besar buat peminat di Kuala Terengganu untuk melihat artis kesayangan mereka beraksi buat pertama kali di padang. Perlawanan ini hanya dilakukan di sini saja sebagai tanda bermulanya siri penjelajahan promosi ini. “Selain perlawanan sukan, peminat turut berpeluang melihat persembahan nyanyian daripada artis popular tempatan yang sekali lagi berlangsung di Terengganu Equestrian Resort (Ter). Sebelum ini kita merancang di Dataran Shah Bandar Kuala Terengganu tetapi berikutan masalah cuaca dan kita tidak mahu mengambil risiko, jadi kita pindahkan ia ke Ter,” katanya. Mas Ayie berkata, pemilihan lokasi di Ter untuk kedua-dua hari jelajah promosi ini dijangka akan tetap memberi impak baik dari segi sambutan kerana acara ini memang ditunggu-tunggu peminat. Tahun lalu, siri penjelajahan promosi ABPBH buat pertama kalinya berjaya diadakan di Kuala Terengganu dan menarik lebih 8,000 orang. Peminat yang ingin menyaksikan persembahan artis pujaan mereka, boleh datang ke Terengganu Equestrian Resort bermula jam 2.30 petang. Selain menyaksikan persembahan, beberapa kuiz menarik juga akan diadakan. Peminat yang bertuah berpeluang menaiki kereta tajaan Naza Kia Sdn Bhd bersama artis. Pembaca setia Berita Harian juga boleh mendapatkan barangan eksklusif terhad ABPBH yang akan dijual di kedua-dua lokasi. Produk merangkumi kemeja T berkolar, kemeja T leher bulat, baby T, buku autograf, key chain, payung, tumbler, mug, pemetik api, topi dan tuala. Bagi mereka yang ingin mendapatkan autograf dan bergambar bersama artis pujaan. Mereka harus mendapatkan barangan eksklusif terhad itu yang akan dijual di gerai khas. Selepas Kuala Terengganu, siri penjelajahan ini akan menjengah ke beberapa negeri lain iaitu Kompleks Plaza Jerai, Gurun, Kedah pada 6 Januari. Diikuti Queensbay Mall, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 7 Januari. Manakala pada 13 Januari pula, siri penjelajahan diteruskan di Terminal One, Seremban, Negeri Sembilan dan disusuli ke Kompleks Pasir Gudang, Johor pada 14 Januari. Siri penjelajahan akan berakhir dan upacara penutup yang meriah akan diadakan di Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 27 Januari sebelum malam kemuncak di Arena Of Stars, Genting Highlands pada 4 Februari depan. |