Berita Faizal

Finalis hargai peluang bermesra dengan peminat

Sunday, January 14, 2007

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
Source: Berita Harian, December 2006

ABPBH SPECIAL

Siri jelajah promosi ABPBH 2006 diteruskan di lima negeri mulai 6 hingga 27 Januari 2007


SIAPALAH artis tanpa peminat yang menjadi tulang belakang kepada perjalanan karier mereka. Sekiranya artis dihargai menerusi penganjuran pelbagai anugerah, peminat pula akan terasa dihargai apabila artis sanggup turun padang untuk bertemu mereka.

Siri penjelajahan sempena malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2006) pada berlangsung 4 Februari ini di Genting Highlands adalah salah satu daripada aktiviti yang dapat mendekatkan artis dengan peminat yang sentiasa menyokong mereka.

Memang jelas terbayang keriangan di wajah peminat apabila dapat bertemu secara empat mata dengan artis pujaan mereka pada siri penjelajahan pertama ABPBH 2006 di Kuala Terengganu, Terengganu, baru-baru ini. Kehadiran finalis ABPBH 2006 seperti Ally Iskandar, Raja Azura, Farid Kamil, Farahwahida, Fara Fauzana, Leez AF4, Ina Naim, Sheila Rusly, Izwan Pilus, Faizal AF4, Faizal Ismail, Ikhwan, kumpulan Miwarna, Yassin cukup dinantikan peminat.

Bagi artis, inilah masanya mereka dapat mendekatkan diri dengan peminat. Maklum saja, peluang seperti ini tidak datang selalu.

“Tiga tahun berturut-turut nama saya dicalonkan dalam ABPBH, tetapi saya tidak pernah berkesempatan untuk mengikuti penjelajahan yang dianjurkan Berita Harian. Sesi bertemu peminat ini penting buat selebriti seperti kami.

“Sebelum ini peminat hanya menonton kami di kaca televisyen tetapi sukar untuk mendekatkan diri. Bagi saya inilah kesempatan terbaik untuk bertemu mereka terutama yang berada di luar Lembah Klang,” kata Ally Iskandar yang dicalonkan dalam kategori Pengacara TV Lelaki Popular.

Dua personaliti yang tercalon dalam kategori Penyampai Radio Lelaki Popular, Faizal Ismail dan Ikhwan yang pertama kali tercalon dalam ABPBH pula menganggap siri penjelajahan ini sebagai platform terbaik untuk mendekatkan diri dengan peminat.

“Meraih undi satu hal, tetapi yang paling penting dapat mendekatkan diri dengan peminat. Program seperti ini juga dapat mendekatkan lagi hubungan sesama artis sendiri,” kata Ikhwan.

Bagaimanapun, tidak semua artis dapat menyertai penjelajahan ABPBH kerana terikat dengan komitmen lain. Seperti kata Faizal Ismail, kalau boleh semua lokasi ingin disertai tetapi dia harus akur kepada tugasan yang menanti.

“Mungkin saya hanya boleh menyertai penjelajahan di Terengganu saja. Kalau ikutkan semua lokasi saya mahu pergi tetapi saya tidak boleh abaikan tugas lain juga. Nasib baik dapat juga saya mengikuti salah satu daripadanya,” kata Faizal.

Kontroversi berkaitan penyalahgunaan dadah membabitkan penyanyi baru Izwan Pilus tidak mengganggu karier pemuda berusia 27 tahun ini. Izwan bersyukur meskipun pernah menimbulkan kontroversi tetapi peminat nampaknya tidak mengenepikan bakatnya.

“Kontroversi mungkin boleh menjadi salah satu faktor yang dapat membantu meningkatkan populariti seseorang artis tetapi saya tidak jamin ia boleh membawa artis pergi jauh. Sebenarnya ia terpulang kepada peminat untuk menilainya.

“Sebagai artis baru, saya memang nantikan program seperti ini. Ia bukan saja dapat mendekatkan diri seseorang artis dengan peminat tetapi membantu perjalanan karier artis. Lagipun dengan cara ini kita tahu susah senang untuk meletakkan diri di mata peminat,” katanya yang tercalon dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular.

Aktres Sheila Rusly yang sudah lebih 10 tahun bergelar anak seni berkata, dia tidak pernah berasa rimas dengan peminat.

“Apabila tengok peminat yang ramai membuatkan saya menjadi lebih seronok. Lebih-lebih lagi siri jelajah promosi seperti ini, lagi ramai peminat lebih seronok dan membuatkan artis lebih bersemangat,” katanya.

Selepas Kuala Terengganu, siri penjelajahan ini akan menjengah Kompleks Plaza Jerai, Gurun, Kedah pada 6 Januari dan diikuti Queensbay Mall, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 7 Januari. Pada 13 Januari pula, siri penjelajahan di Terminal One, Seremban, Negeri Sembilan disusuli ke Kompleks Pasir Gudang, Johor 14 Januari. Siri akhir penjelajahan dan penutup diadakan di Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 27 Januari.

Photobucket - Video and Image Hosting