Berita Faizal

Warga Terengganu senyum sokmo eh!

Sunday, January 14, 2007

Oleh: Zubir Mond Yunus
Source: Berita Minggu, Bintang Popular, December 2006

LATEST NEWS: ABPBH SPECIAL

BAGAIKAN satu karnival apabila bumi Terengganu menyambut kedatangan bintang, finalis dan krew siri penjelajahan pertama Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006, hujung minggu lalu. Siapa sangka, sambutan begitu hangat diberikan sekalipun negeri itu sedang menerima kedatangan musim tengkujuh dan banjir di beberapa kawasan.

Kejutan terlihat apabila dianggarkan kira-kira 8,000 pengunjung membanjiri perkarangan dewan tertutup di Kompleks Sukan, Terengganu Equestrian Resort (TER) untuk menyaksikan majlis perasmian road tour pertama ABPBH 2006 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Perindustrian dan Pelancongan Negeri, Datuk Mohamed Awang Tera, selain persembahan hiburan oleh artis undangan.

Komitmen artis yang menyertai siri pertama jelajah ABPBH 2006 ini cukup luar biasa. Tidak keterlaluan apabila penulis memberi pujian kepada finalis Pelakon Filem Lelaki Popular, Farid Kamil yang terpaksa naik ke pentas dalam keadaan bertongkat apabila tisu pergelangan kakinya tercedera selepas bermain bola sepak. Bukan itu saja, pelakon filem Remp-It itu tetap mengajak peminat ronda-ronda dalam kenderaan tajaan Naza Kia!

Begitu juga dengan semangat yang ditunjukkan Leez Akademi Fantasia 4 (AF4), calon akhir kategori Artis Baru Wanita Popular apabila dalam keadaan kakinya yang masih merah selepas tercedera ketika bermain bola jaring sehari sebelum itu, masih mampu menguntum senyuman, selain mendendangkan lagu Teman Tapi Mesra dan lagu barunya Merah Itu Jingga dengan penuh lantang.

Pun begitu, artis yang paling menjadi perhatian pada konsert itu nampaknya Nor Diana Mohd Naim atau Ina Naim, finalis Artis Baru Wanita Popular. Jelas puluhan peminat menyerbu bahagian depan pentas untuk bersalaman dan mengambil fotonya ketika Ina mengalunkan lagu barunya, Duhai Hati.

AMBOI sayangnya adik-adik
pada Ina Naim.


Selain Ina, turut menjadi perhatian ramai ialah kemunculan penyampai Hot FM, Fara Fauzana bersama rakan setugasnya seperti Faizal Ismail dan Khairul Ikhwan apabila peminat menyerbu mereka sehingga ke belakang pentas, sekali gus memaksa petugas Jabatan Pertahanan Awam (JPA) mententeramkan keadaan!

Selain mereka, finalis ABPBH 2006 yang turut membuat persembahan ialah kumpulan Mirwana, Faizal AF4 dan Izwan Pilus, selain kemunculan istimewa pengacara TV3, Ally Iskandar, Intan Ladyana, kumpulan nasyid Firdaus dan Zehra Zambri.

Turut membuat kejutan apabila Arni Nazira muncul menyampaikan lagu hitnya dulu, Cinta Antara Benua.

Pentas tambah ceria apabila Sheila Rusly dan Raja Azura berselang seli mengacarakan majlis berkenaan dengan cemerlang. Suasana tambah gamat apabila Yassin Sulaiman (Senario) muncul dengan jenaka selamba dan spontannya.

Sambil memetik gitar, Yassin tidak habis-habis mengusik penonton yang enggan berganjak dari tempat duduk.

Hadir sama menyaksikan persembahan itu ialah Penaung ABPBH 2006 yang juga Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail; Pengerusi Jawatan Kuasa Induk ABPBH 2006, Hanizam Abdullah dan Timbalannya, Roslen Fadzil.

Pada acara itu juga, orang ramai berebut-rebut membeli pelbagai barangan cenderahati yang dijual khas bersempena edisi ke-20 ABPBH seperti baju-T berkolar dan berkolar bulat, topi dan tali penyandang.

Masa untuk keluar peluh

SELAIN acara konsert pada Sabtu lalu, sehari sebelumitu, rombongan siri pertama jelajah ABPBH 2006 turutmenyertai acara sukan iaitu perlawanan bola sepak, bola jaring dan bowling, membabitkan kumpulan selebriti menentang pasukan pilihan Menteri Besar (MB) Terengganu di Terengganu Equestrian Resort (TER).

Pelbagai insiden mengejutkan terlihat di tengah padang terutama Farid Kamil yang lincah menggelecek bola tiba-tiba terseliuh di bahagian buku lali, lalu diusung keluar hinggalah terpaksa dikejarkan ke wad kecemasan.

Nasib yang sama menimpa Leez AF4 yang tercedera dan terpaksa menerima rawatan segera di hospital.

Begitulah hebatnya komitmen Farid dan Leez yang sanggup menahan sakit demimenjayakan promosi ABPBH 2006 kali ini.

Barisan artis lain yang turun padang juga beraksi dengan bersungguh-sungguh.

Mereka kerap diusik Raja Azura (Kak Engku) yang tidak putus-putus berceloteh sambil membuat ulasan selari.

Pada sebelah malam, majlis makan malam berlangsung di TER dengan dihadiri wakil kerajaan negeri Terengganu, artis dan kakitangan pengurusan BHSB. Sambil makan tetamu turut berkaraoke dan bertukar-tukar pandangan.

Kemudian permainan bowling berlangsung sehingga ke tengah malam, menyaksikan pelbagai lagi telatah lucu terutama mereka yang kerapmembaling bola ke longkang!

Penjelajahan di Kuala Terengganu turut ditaja Permai Inn Kuala Terengganu dan bas ekspres Transnasional. Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, Ahad lalu, peserta juga tidak ketinggalan singgah membeli ole-ole seperti keropok lekor, kain batik dan ikan kering untuk dibawa pulang.

ABPBH 2006 yang dijadualkan berlangsung di Genting Highlands, Pahang, pada 4 Februari depan mendapat tajaan utama dari Habib Jewels Sdn Bhd serta Kumpulan Naza.

Penaja lain termasuklah Edward Forrer, Palace of the Golden Horses, JVC dan Royal Brunei yangmenjadikan jumlah tajaanmelebihi RM2.75 juta!

Photobucket - Video and Image Hosting