Berita Faizal

Promosi meriah

Sunday, January 14, 2007

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
Source: Berita Harian, December 2006

LATEST NEWS: ABPBH SPECIAL

Siri pertama jelajah APBHBH 2006 di Kuala Terengganu berjaya dekatkan artis, peminat


MERIAH: Barisan artis yang terbabit dalam siri
penjelajahan ABPBH 2006 di Kuala Terengganu.

SIRI penjelajahan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2006) yang pertama musim ini di Kuala Terengganu, Terengganu hampir saja menjejaskan harapan pihak penganjur untuk mempromosikan anugerah berprestij dengan usia 20 tahun penganjurannya.

Semuanya gara-gara keadaan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini. Bayangkan 40 khemah yang dipasang kerajaan negeri itu di Dataran Shah Bandar rosak dipukul ribut sehari sebelum finalis ABPBH 2006 menjejakkan kaki ke negeri yang kaya dengan seni kebudayaan itu.

Tetapi nasib baik juga Kuala Terengganu menjadi destinasi pertama. Jika Johor yang menjadi pilihan, tentu sekali penjelajahan ini akan tergendala dek banjir besar yang melanda beberapa negeri di selatan tanah air.

Berbalik kepada siri penjelajahan di Terengganu, pihak kerajaan negeri hampir saja mengarahkan penganjur membatalkan acara itu. Namun, menerusi kecekapan kerja, pihak penganjur sudah bersedia dengan 'plan B' iaitu memilih dewan tertutup. Mujur, Terengganu Equestrian Resort (Ter) yang terletak di belakang masjid terapung mempunyai kemudahan itu dan penganjur tidak perlu membatalkan penjelajahan ini.

Ter juga menjadi lokasi perlawanan bola sepak dan bola jaring antara pasukan selebriti menentang pasukan Menteri Besar (MB). Perlawanan berkenaan berlangsung pada Jumaat iaitu hari pertama finalis ABPBH tiba. Keadaan cuaca yang mendung dan angin kencang tidak sedikit pun menghalang peminat untuk melihat artis pujaan mereka beraksi di atas padang.

Beberapa penduduk yang ditemui berkata, keadaan cuaca pada hari kami tiba sehinggalah tiba waktu rombongan ABPBH pulang memang berbeza. Kata mereka, sejak kebelakangan ini, hujan lebat dan ribut kuat melanda Kuala Terengganu tetapi peliknya hanya angin kencang dan hujan sedikit saja berlaku kala kami berada di sana.


LAYAN: Fara Fauzana sibuk melayan peminat.

Selain dicabar dengan penjelajahan yang hampir dibatalkan, penganjur sekali lagi diduga apabila membuat perubahan lokasi konsert secara mendadak. Ramai peminat yang menyangkakan konsert masih dilangsungkan di Dataran Shah Bandar biarpun perubahan lokasi sudah diumumkan di dalam surat khabar sejak Jumaat lagi.

Namun, sebaik jarum jam menunjukkan ke angka tiga sedikit demi sedikit peminat mula memenuhi dewan Ter. Angka mereka pada mulanya agak mengecewakan, tetapi ia semakin bertambah dari jam ke jam. Ternyata hujan yang turun lewat tengah hari itu serta perubahan lokasi pada saat akhir tidak menghalang penjelajahan ABPBH 2006.

Dugaan demi dugaan yang menimpa kami hanyalah seketika, buktinya siri pertama penjelajahan ini berjaya menarik lebih 8,000 pengunjung yang sanggup meredah cuaca yang kurang baik demi tidak mahu melepaskan peluang melihat artis pujaan mereka dengan lebih dekat lagi.

Kerjasama daripada bukan saja finalis tetapi beberapa artis yang diundang bagi memeriahkan siri penjelajahan ini wajar diberikan pujian. Seperti Farid Kamil dan Leez AF4 yang tercedera pada perlawanan bola sepak dan bola jaring sehari sebelum konsert masih sedia bertemu dengan peminat.

Dengan tongkat dan kaki berbalut, Farid dan Leez tidak berasakan ia sebagai alasan untuk mereka duduk melepak di bilik hotel. Sebaliknya mereka tidak mahu melepaskan peluang bersama rakan artis yang lain menghiburkan masyarakat Terengganu yang selama ini banyak menyokong perjalanan karier mereka.

Begitu juga tiga penyampai radio HotFM iaitu Faizal Ismail, Fara Fauzana dan Ikhwan yang tercalon dalam kategori Penyampai Radio Lelaki dan Wanita Popular sanggup terbang ke Terengganu pada Sabtu bagi menjayakan konsert dan pulang semula pada hari yang sama kerana perlu bertugas keesokan harinya.

Faizal AF4 dan Farahwahida pula terpaksa bergegas kerana perlu memenuhi undangan nyanyian di Kuantan yang sudah dirancang lebih awal. Komitmen yang ditunjukkan artis lain juga sewajarnya dipuji kerana sanggup mengenepikan kerja mereka semata-mata untuk memenuhi undangan penganjur.

Seperti biasa, peminat dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada penyanyi yang tercalon bagi kategori Artis Baru Wanita dan Lelaki Popular serta Penyanyi Lelaki dan Wanita Popular. Sheila Rusly yang bertindak sebagai pengacara pada petang itu membuka tirai konsert dengan celotehnya yang mencuit hati sebelum Faizal AF4 muncul di pentas untuk menghiburkan 'orang kampungnya'.

Faizal menghiburkan penonton dengan dua lagu - Blues Ganu Kita dan Lihatlah. Izwan Pilus pula memilih lagu Indah Lelapku dan Pencinta Wanita, sementara Leez menghiburkan peminat dengan lagu Teman Tapi Mesra dan lagu barunya Merah Itu Jingga. Faizal Ismail memilih lagu Tiada Yang Kedua, Firdaus dengan Menangislah Di Bahuku serta Ku Berlari.

Turut menghiburkan penonton ialah Zehra Zambri dengan lagu Mari Bersama dan Tak Berubah serta kumpulan Mirwana, Mamat dan Ina Naim yang mendendangkan penonton dengan lagu Duhai Hati. Raja Azura yang terkenal dengan kecohnya pula menggamatkan pentas pada bahagian kedua. Artis lain yang turut sama memeriahkan siri jelajah ini ialah Intan Ladyana, Yassin dan kemunculan mengejut daripada Arni Nazira.

Selain dihiburkan dengan nyanyian, peminat juga berpeluang memenangi hadiah menerusi kuiz yang dianjurkan seperti meneka gambar artis dan kuiz mengenai ABPBH. Peminat bertuah juga berpeluang menaiki kereta bersama artis pujaan mereka mengelilingi Ter yang ditaja oleh Naza Kia Sdn Bhd.

Penginapan finalis ABPBH 2006 ditaja oleh Permai Inn Kuala Terengganu manakala pengangkutan pula ditaja oleh Transnasional.

Perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Perindustrian dan Pelancongan negeri, Datuk Mohamed Awang Tera. Hadir sama, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail; Pengarang Hiburan Berita Harian, yang juga Pengerusi Pengelola ABPBH 2006, Hanizam Abdullah dan Pengurus Besar Ter, Ibrahim Jusoh.

Photobucket - Video and Image Hosting