Berita Faizal |
|
Latest News
News Archives
Online Berita |
Jangan bandingkan saya dengan MawiSaturday, January 13, 2007 Oleh: Zubir Mohd Yunus
Source: Berita Harian Ramli MS menerusi kolumnya pada 15 Oktober lalu, menganggap juara Akademi Fantasia 4 (AF4), Faizal Ramly kurang menyerlah kerana dia masih kebal dengan identiti kekampungan, selain pihak media kurang memberikan perhatian kepadanya. Jom ikuti komen Faizal “BERGELARNYA saya sebagai juara AF4 hari ini adalah kerana sokongan dan undian daripada peminat. Mereka mengenali saya dengan cara saya tersendiri. Tapi, saya masih baru dalam dunia hiburan ini, masih banyak yang perlu saya pelajari. Justeru, saya akui kelemahan yang ada pada diri saya. Komen daripada cikgu Ramli MS adalah sesuatu yang membina. Apabila saya amati komen cikgu Ramli, saya dapat tahu di mana kelemahan saya. Jadi, saya akan berusaha memperbaiki kelemahan itu supaya apa yang diperkatakan oleh cikgu Ramli tidak berterusan. Orang kata saya masih takut-takut, tapi sebenarnya saya tak pernah takut. Dah memang cara saya macam tu (kelihatan takut-takut). Pergaulan saya memang begitu. Saya terlalu menghormati orang. Apabila keluar dari AF4, saya akui, saya memang melalui satu perubahan besar. Saya memang nak bercampur, berkawan dengan orang, tapi masih ramai yang belum saya kenal. Namun, ramai orang di luar sana kenal saya, itu yang membuatkan saya terkejut. Ini yang saya namakan, satu perubahan besar. Sekarang ni sikit-sikit saya cuba menyesuaikan diri. Mula-mula bertemu dengan orang ramai, memang saya rasa segan, hormat pada mereka. Bukan kata saya terlalu merendahkan diri, tapi sebenarnya itulah diri saya yang sebenarnya. Saya tak mampu jadi orang lain. Saya selesa jadi diri sendiri. Hakikatnya itulah diri saya seperti yang dilihat oleh cikgu Ramli. Saya akan kekalkan sikap semula jadi saya itu kerana orang kenal saya dari situ, tapi apabila cikgu Ramli berkata sikap itu secara tidak langsung membataskan tahap pergaulan, saya akan berusaha memperbaiki keadaan itu. Saya nak ucapkan terima kasih kepada cikgu Ramli kerana sudi memberi komen yang positif untuk kemajuan kerjaya saya. Cikgu Ramli sebenarnya memerhatikan perjalanan kerjaya saya sekalipun dia sudah tidak terbabit dengan AF lagi. Saya akan berusaha menambahkan keyakinan terhadap diri sendiri. Saya masih mentah, terlalu banyak perkara baru yang harus saya pelajari termasuklah cara untuk bergaul bersama peminat, rakan artis, golongan korporat dan macam-macam lagi.” Cuba elak kontroversi “MAWI adalah Mawi, saya adalah saya. Aura Mawi ternyata dia memiliki satu tarikan yang kuat. Tapi, sambutan peminat terhadap saya setakat ini alhamdulillah. Rezeki tu alhamdulillah, tapi tak adalah sampai show tu setiap hari. Walaupun tak kerap cerita saya tersiar di dada akhbar, namun jadual seni saya tetap padat. Tak perlulah terus membandingkan antara saya dan Mawi kerana masing-masing ada kelebihan tersendiri. Setakat ini saya dah cukup selesa dalam mencapai cita-cita. Pada masa sama, saya cuba mengelak dari tempias kontroversi, tapi jika ditakdirkan ia berlaku juga, itu saya tak dapat mengelak. Kalau boleh dalam saya mengejar cita-cita, saya tak mahu kecewakan harapan orang tua dan peminat yang sudah melahirkan saya sebagai seorang juara. Harapan mereka tinggi menggunung. Pastinya mereka mengharapkan saya memberikan yang terbaik. Apabila saya menjadi seorang juara, saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan peminat. Tapi, saya tak mahu kelihatan seperti seorang juara, saya selesa begini. Orang mungkin nak melihat saya tampil seperti seorang juara, tapi dah diri saya begini, saya tak mampu mengubahnya. Saya tetap berbangga dengan pengiktirafan daripada peminat. Namun, saya tak tampil dengan gaya seorang juara apabila berdepan dengan orang ramai. Tapi, apabila menyanyi di pentas, muncul di kaca TV, saya akan tampil dengan gaya seorang juara. Dari segi percakapan, tingkah laku dan sebagainya, saya akan cuba memperbaiki. Kualiti seorang juara akan tetap saya pelihara kerana itu adalah amanah daripada peminat yang mengundi saya selama ini. Teguran cikgu Ramli mengenai perkara ini benar-benar menyedarkan saya.” Bukan salah wartawan “SAYA akui, diri saya kurang diberi publisiti oleh pihak media, namun saya tidak menyalahkan wartawan kerana saya sendiri tidak ada cerita menarik, panas dan sensasi yang menjadi buruan media. Kontroversi pun tak ada. Jadi, pihak media kadang kala terlepas pandang. Apa yang boleh diceritakan mengenai diri saya kepada media ialah hal berkaitan kerjaya. Mungkin pihak media kurang berminat dengan cerita seumpama itu berbanding cerita sensasi. Saya setuju dengan komen cikgu Ramli, pihak wartawan perlu berlaku adil. Saya memang mengharapkan sokongan dari pihak media, justeru kerjasama teman wartawan amat saya hargai. Wartawan memberikan sumbangan besar kepada kejayaan kerjaya seseorang artis itu. Saya harap tidak ada tulisan yang membandingkan antara saya dan Mawi lagi. Seperti yang saya nyatakan tadi, masing-masing ada kelebihan dan rezeki sendiri. Kalau terlalu banyak disogok dengan cerita berbau negatif, umpamanya Mawi popular, saya tak popular, ia sedikit sebanyak membuatkan pembaca atau peminat terpengaruh. Jadi, saya memang memerlukan sokongan berterusan daripada wartawan untuk terus berjaya dalam dunia seni ini. Pihak pengurusan, Maestro Talent and Management sudah menjalankan tanggung jawab mereka dengan sebaik mungkin. Kalau ada ruang kosong, ia akan diisi dengan sesi bertemu media. Kini, terpulanglah kepada pihak media untuk memaparkan cerita yang bagaimana. Mengenai insiden saya terkejut apabila diminta bergambar dengan pelakon cantik seperti Fasha Sandha, saya akui perkara itu kerana saya tak biasa. Saya sering melihat Fasha di TV, di layar perak, jadi apabila hari itu kami bertemu untuk bergambar sama, saya terkejut! Pertama kali bertemu Fasha, ia satu pengalaman baru. Tapi, saya akan pastikan perkara seumpama itu tidak akan berulang lagi. Saya tak kisah untuk bergambar dengan sesiapa saja, kerana itu adalah satu kerjaya. Pun begitu, sememangnya diri saya masih tebal dengan rasa malu-malu. Lagipun apa salahnya bergambar dengan artis perempuan kerana perkara ini atas permintaan pihak media juga. Seperti komen cikgu Ramli, bergambar untuk kerjaya, tidak salah asalkan saya tidak menyalah gunakan pergaulan. Sekali lagi saya nak mengucapkan terima kasih kepada cikgu Ramli kerana segala komen dan kritikannya ke atas saya menerusi aspirasinya 15 Oktober lalu, banyak menyedarkan saya, sekali gus berusaha memperbaiki setiap kelemahan. Saya akan jadikan komen cikgu Ramli sebagai pedoman membina kerjaya lebih positif, insya-Allah.” Info Faizal Ramly |