Berita Faizal

Saingan sengit bermula

Sunday, January 14, 2007

Oleh Zul Husni Abdul Hamid, Nurulhisham Abdul Latiff dan Serimah Mohd Sallehuddin
Source: Berita Harian, December 2006

ABPBH SPECIAL


JADI REBUTAN: Sebahagian finalis ABPBH 2006
bergambar di depan Naza Sorento yang akan
menjadi milik Bintang Paling Popular selepas
sidang media, kelmarin.

Nama selebriti tersenarai dalam Top 5 miliki kekuatan peminat sendiri

KEMUNCULAN beberapa nama baru dalam sebahagian pencalonan menerusi 16 kategori yang dipertandingkan pada peringkat akhir Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 bakal memberi saingan kepada nama popular sedia ada termasuk yang pernah mengungguli acara berprestij itu sebelum ini.

Meneliti senarai Top 5 ABPBH 2006 ketika diumumkan pada sidang media di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, kelmarin menyaksikan nama besar terus bertahan dalam senarai mengikut kategori masing-masing biarpun pada masa sama, kemunculan calon yang buat pertama kali tersenarai mampu menggugat undian peminat kepada muka lama.

Paling ketara, kategori Penyampai Radio Lelaki Popular yang pernah dikuasai Halim Othman memperlihatkan dua nama yang mengukuhkan stesen radio Hot FM iaitu Faizal Ismail dan Khairul Ikhwan membolosi benteng yang selama ini kukuh dipertahankan penyampai Era. Kategori itu juga membariskan dua calon lain iaitu pasangan Pagi Di Era, Khairil Rashid dan Kieran.

Nama baru dalam dunia penyampaian radio, Sharifah Aleya mula menguatkan kedudukannya apabila berjaya tersenarai dalam Top 5 Penyampai Radio Wanita Popular. Persoalannya, apakah penyampai wanita Hot FM itu mampu melunturkan populariti Linda Onn yang kebal mempertahankan trofi sejak diperkenalkan lima tahun lalu?

Turut bersaing ialah Abby Fana, Fara Fauzana dan Nana yang semakin selesa kerana ia bukan pertama kali mereka dicalonkan dalam kategori itu. Bintang realiti, Nikki dan Zahid yang berkolaborasi menerusi lagu duet, Caramu turut menempatkan diri dalam senarai Top 5 kategori Artis Berkumpulan/Duo Popular menyaingi satu lagi gandingan baru, Jamal Abdillah dan penerima trofi Bintang Paling Popular ABPBH 2005, Mawi.

Tiga kali mempertahankan trofi Artis Komedi Wanita Popular, apakah ABPBH 2006 akan sekali lagi menyaksikan ia menjadi milik Sheila Rusly? Atau, Sheila berdepan pecahan undian kerana namanya turut tersenarai dalam kategori lain iaitu Pelakon TV Wanita Popular.


Sheila menghadapi tentangan daripada saingan tradisinya seperti Raja Azura dan Adibah Noor, serta dua calon baru, Sharifah Shahira dan Aliza Abdullah (Enot).

Acara kemuncak di Genting Highlands dijadualkan 4 Februari ini pastinya turut bertumpu kepada Kategori Pelakon TV Lelaki Popular apabila sekali lagi menyenaraikan calon yang sudah beberapa kali terpilih ke Top 5 iaitu Rosyam Nor, Zed Zaidi dan Ako Mustapha. Mereka akan dicabar dua wajah yang kian mendapat tempat di hati peminat - Arash Mohamad dan Fahrin Ahmad.

Paling menarik kategori Penyanyi Lelaki Popular apabila pemenang tahun lalu, Mawi, sekali lagi dicalonkan bersama nama gah dalam industri hiburan seperti Amy Search, Awie dan sifunya, M Nasir. Selain mereka, turut membolosi senarai Top 5 ialah pemenang musim keempat Akademi Fantasia, Faizal.

Persoalannya, apakah kesetiaan peminat Mawi akan terus bersamanya selepas melalui pelbagai episod yang menggugat kepercayaan penyokongnya? Lalu dia dihukum dengan mengetepikan peluang untuk penyanyi berkenaan menggenggam kembali trofi itu. Sukar diramalkan kerana semua nama yang bertanding mempunyai kelompok peminat yang cukup kebal.

ABPBH 2006 juga menjadi medan untuk menguji kekuatan populariti Ina Naim apabila namanya dicalonkan dalam kategori Artis Baru Wanita Popular. Andai sebelum ini, Ina dikatakan membina nama atas tiket simpati kerana peristiwa putus tunang dengan Mawi, ABPBH 2006 barangkali menyediakan ruang terbaik kepada artis baru itu untuk menangkis dakwaan yang dilemparkan kepadanya.

Ina menghadapi saingan daripada tiga bintang realiti iaitu Amylea, Marsha dan Leez serta penyanyi hitam manis, Farawahida yang memuncak namanya lewat lagu Tanpamu.


DUA HERO: Awie dan Rosyam turut
tersenarai dalam Top 5.

Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun, pada sidang media berkata, pelbagai hadiah menarik turut menanti pembaca Berita Harian/Berita Minggu yang membuat pilihan tepat menerusi undian dalam borang pencalonan akhir ABPBH 2006.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) yang juga penaung ABP-BH 2006, Datuk Manja Ismail; Perunding Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Habib Jewels, Nadia Aziz serta Pengurus Kanan Pemasaran Naza Kia, Zuraidah Abdul Rahim.

Hishamuddin berkata, sebagai penghargaan kepada pembaca, BHSB dengan kerjasama Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) menganjurkan siri promosi jelajah ABPBH 2006 di tujuh lokasi terpilih.

Turut hadir, Naib Presiden Kanan Jualan & Pemasaran POTGH, Ricky Yip; Ketua Pegawai Eksekutif Lira Calzoleria & Apparel Sdn Bhd, Puteri Intan Zuraidah Abdul Rahman; Pengurus Rancangan Radio Era, Rostam Said dan Pengarang Hiburan Berita Harian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2006, Hanizam Abdullah.

Hishamuddin berkata, sebagai penghargaan kepada pembaca, BHSB dengan kerjasama Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) menganjurkan siri promosi jelajah ABP-BH 2006 di tujuh lokasi terpilih.

INFO
Gemilang Bersama Bintang

  • Peraduan Gemilang Bersama Bintang (GBB) yang diperkenalkan pada ABPBH 2004 dibawakan kembali sebagai penghargaan kepada pembaca yang menyokong acara itu.

  • Ia dibahagikan kepada empat siri bermula 18 Disember ini hingga 14 Januari 2007. Kumpulkan enam keratan gambar dengan melekatkannya dalam borang peraduan yang disiarkan dalam sisipan Bintang Popular.

  • Empat pemenang utama peraduan ini akan menerima penghormatan berjalan di permaidani merah dan menyaksikan ABPBH 2006 bersama selebriti popular. Mereka juga menerima pakej percutian ke luar negara bersama artis popular tajaan Royal Brunei Airlines Sdn Bhd dan barang kemas Habib bernilai RM5,000.

  • Pemenang kedua menerima barangan kemas Habib bernilai RM2,500, pembesar suara MP3 JVC dan dua tiket VIP ke malam ABPBH 2006, manakala pemenang ketiga menerima pemain audio digital dan pembesar suara MP3 JVC. Sementara itu, hadiah sagu hati iaitu pembesar suara MP3 JVC dan dua tiket VIP ABPBH 2006 bakal dibawa pulang lima pembaca bertuah.

  • Promosi Jelajah ABPBH 2006

  • Siri promosi jelajah bermula di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Terengganu pada 22 Disember ini, disusuli Dataran Shah Bandar Kuala Terengganu (23 Disember), Kompleks Plaza Jerai, Gurun, Kedah (6 Januari) dan Queensbay Mall, Bayan Baru, Pulau Pinang (7 Januari)

  • Ia juga akan singgah di Terminal One, Seremban, Negeri Sembilan pada 13 Januari disusuli Kompleks Pasir Gudang, Johor (14 Januari) dan berakhir di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor (27 Januari).

  • Selain persembahan finalis ABPBH 2006, pembaca berpeluang menjayakan aktiviti seperti sesi soal jawab dan menang serta autograf. Peminat juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah eksklusif serta promosi barangan cenderamata ABPBH 2006.
  • Photobucket - Video and Image Hosting