Berita Faizal

18 selebriti berkumpul di Seremban, Johor

Sunday, January 14, 2007

Oleh: Nurulhisham Abdul Latiff
Source: Berita Harian, 14 Januari 2006
LATEST NEWS: ABPBH SPECIAL

Penganjur, penaja hargai komitmen peminat, finalis dalam menjayakan siri penjelajahan ABPBH '06

TERMINAL 1, Seremban dan Kompleks Pasir Gudang, Johor Bahru menjadi dua destinasi seterusnya siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ‘06 apabila sekumpulan artis yang terdiri daripada penyanyi, pelakon, pengacara TV dan penyampai radio menghala ke selatan tanah air pada esok dan Ahad ini.

Seramai 18 selebriti terkenal yang terdiri daripada 16 finalis ABPBH ‘06 serta dua penyampai dari Era (radio rasmi anugerah), Zizi dan Reza, akan muncul di Terminal 1 pada jam 3 petang, 13 Januari, manakala keesokannya, 14 Januari, pada waktu yang sama mereka akan bertandang di Kompleks Pasir Gudang pula.

Selain dua penyampai popular itu, barisan finalis yang mengikuti rombongan jelajah ke selatan ialah Sheila Rusly, Dayang Nurfaizah, Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Aznil Nawawi, Faizal AF, Felix, Nana, Akbar, Ina Naim, Izwan Pilus, Khairil Rashid, Kieran, Yassin, Fazli Zainal, Nikki dan Amylea.

Pengurus Pemasaran dan Promosi Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi), Mas Ayie Mas Omar, berkata dijangkakan lebih 5,000 pembaca Berita Harian (BH) dan peminat akan mengerumuni setiap lokasi berkenaan apabila artis terkenal itu membuat kemunculan pada acara hujung minggu ini, yang dijangka berlangsung selama empat jam.

“Saya bagi pihak BH dan Akademi sebagai penganjur bersama cukup berasa bangga dengan sambutan yang diberikan oleh orang ramai setakat dua siri jelajah yang lalu (di Terengganu dan Pulau Pinang). Justeru, kami menjangkakan lebih ramai peminat akan membanjiri dua destinasi berikutnya apabila siri jelajah ini berada di selatan.

“Komitmen yang diberikan oleh artis yang terbabit juga amat baik. Lebih membanggakan, jumlah finalis mahu pun selebriti yang menyertai rombongan ke setiap destinasi adalah jauh lebih ramai berbanding tahun lalu atau sebelumnya. Sudah tentu, perkembangan memberangsangkan ini menjadi hadiah terbaik buat peminat, terutama pembaca BH sempena sambutan ulang tahun ke-20 ABPBH,” katanya.

Kata Ayie, sepanjang siri jelajah kali ini, dia sendiri dapat melihat pelbagai reaksi peminat apabila mereka dapat bersalaman, bergambar, serta mendekati artis pujaan.

“Ada antara mereka yang tidak dapat berkata apa-apa apabila terpilih menaiki kenderaan Naza Kia bersama artis kesayangan. Maklumlah, selama ini, mereka hanya mengenali artis itu menerusi akhbar, majalah mahu pun televisyen. Kali ini, ABPBH membawa artis popular terbabit berada betul-betul di hadapan mereka,” kata Ayie lagi.

Menaiki kereta bersama finalis hanyalah satu daripada acara yang disediakan sepanjang road tour. Banyak lagi pengisian menarik yang mampu dialami peminat sepanjang acara berlangsung, termasuk persembahan nyanyian, sesi ramah mesra bersama artis serta jualan barangan eksklusif ABPBH.

“Kepada peminat yang berkunjung ke kedua-dua lokasi ini, seharusnya mereka tidak lupa mendapatkan barangan eksklusif edisi terhad yang dijual kerana ia adalah edisi terhad sempena ulang tahun ke-20 ABPBH. Mereka tidak akan mendapatkan barangan serupa pada tahun-tahun akan datang,” jelas Ayie yang cukup gembira dengan sambutan hangat diberikan kepada jualan berkenaan.

Kata Ayie lagi, berlainan dengan persembahan yang dilakukan di beberapa lokasi siri jelajah ABPBH ‘06 sebelum ini, peminat di Pasir Gudang dan Seremban hampir pasti dikejutkan dengan sebuah lagi acara yang membabitkan beberapa finalis. “Datang saja ke lokasi yang disebutkan, dan anda pasti terhibur dengannya,” janji Ayie.

Kedatangan orang ramai juga, kata Ayie, pasti tidak sia-sia apabila penaja ABPBH ‘06, Habib Jewels Sdn Bhd dan Edward Forrer Malaysia menyediakan pelbagai hadiah menarik untuk peminat bertuah, selain berpeluang menaiki kenderaan tajaan Naza Kia Sdn Bhd.

Photobucket - Video and Image Hosting