Berita Faizal

Ruang mesra bersama artis

Sunday, January 14, 2007

Oleh Farihad Shalla Mahmud
Source: Berita Harian, December 2006

LATEST NEWS: ABPBH SPECIAL

Acara promosi ABPBH 2006 medan finalis berkongsi cerita

IBARAT serampang dua mata. Itulah gambaran yang dapat diberikan mengenai siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006 (ABPBH ‘06) yang bertandang ke utara Semenanjung tanah air, pada Sabtu dan Ahad lalu.

Terbukti acara yang mengeratkan peminat dan artis itu juga sebenarnya mampu merapatkan hubungan semua finalis dan memberi peluang mereka bertanya khabar dan bermesra secara lebih dekat, malah mereka juga dapat mengenali lebih dekat penganjur dan pihak penaja.

Walaupun cuma sempat sehari berkampung di Hotel Berjaya Georgetown, kediaman rasmi rombongan ABPBH 06 di Pulau Pinang, itu bukanlah halangan untuk mereka mengukuhkan tali silaturrahim. Barangkali itulah kelebihannya apabila mengadakan promosi di luar Kuala Lumpur kerana bukan mudah untuk berkumpul sesama mereka apatah lagi masing-masing sering dihambat waktu dan tuntutan tugas sebagai anak seni yang tidak pernah berkesudahan.

Buktinya, ada juga rakan artis yang mengambil kesempatan mengambil gambar serta bertukar-tukar cerita dan pandangan sesama mereka mengenai kerjaya senii sewaktu menanti giliran membuat persembahan di pentas. Malah, ada yang menjadikan siri promosi itu sebagai tempat meluahkan perasaan dan berkongsi cerita sensasi dan peribadi.

Kemesraan yang terjalin itu tidak terhenti setakat itu saja malah berlanjutan sehingga majlis ‘post party’ yang dianjurkan pihak hotel sebaik saja semua finalis selesai mengadakan persembahan di Queensbay Mall, petang Ahad lalu.

Walaupun keletihan, perasaan itu seakan hilang apabila melihat masing-masing terhibur dengan persembahan spontan rakan artis, penganjur dan penaja yang cukup sporting menyanyi dan serta menari pada sebelah malamnya.

Gelaran artis paling havoc pastinya menjadi milik pengacara keletah, Raja Azura atau lebih popular dengan panggilan Kak Engku apabila dia menyanyi dan menari sakan dengan pelbagai rentak lagu termasuk irama dangdut sambil diiringi kumpulan muzik residen hotel terbabit, Acropolis.

Paling melucukan, gandingannya dengan juara Akademi Fantasia 4, Faizal menerusi lagu Hanya Memuji menjadikan tetamu yang ada pada malam itu tidak kering gusi menyaksikannya. Begitulah kata pepatah, tak kenal maka tak cinta, walaupun berkesempatan bersama selama dua hari, itu sudah cukup membuahkan kemesraan semua ahli rombongan terbabit.

Yang penting, biarlah hubungan kekeluargaan itu berkekalan sampai bila-bila dan itulah matlamat sebenar penganjuran majlis anugerah cukup berprestij ini yang bakal berlangsung pada malam 4 Februari ini di Genting Highlands.

Photobucket - Video and Image Hosting