Berita Faizal

Meriah sakan

Sunday, January 14, 2007

Oleh Farihad Shalla Mahmud
Source: Berita Harian, December 2006


LATEST NEWS: ABPBH SPECIAL



Promosi jelajah ABPBH 2006 di Kedah, Pulau Pinang catat kenangan

TIDAK dapat dinafikan setiap kali bintang, finalis dan krew siri promosi jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006 (ABPBH 06) bertandang ke lokasi terpilih, sambutan yang diterima jarang sekali mengecewakan.

TUNJUK BAKAT: Yassin
menunjukkan keboleha bermain
gitar buat peminatnya.

Jika dua minggu lalu, warga Terengganu senyum sokmo menyambut kedatangan rombongan ini, Ahad lalu sambutan yang sama diterima mereka.

Penduduk utara semenanjung juga cukup sporting dan gembira menerima kunjungan rombongan terbabit menjadikan suasana begitu meriah dan penuh kemesraan. Betapa dapat dilihat hubungan baik peminat dan artis yang menjadikan ABPBH 2006 sebagai medan perantara untuk masing-masing beroleh kenangan terindah.

Siri jelajah promosi ABPBH 2006 berlangsung di Queensbay Mall, Bayan Baru pada petang kelmarin, manakala Sabtu lalu di Kompleks Plaza Jerai, Gurun.

Biarpun cuaca di bumi Pulau Pinang ‘kurang baik’ baik” apabila dilanda hujan sepanjang hari, namun itu bukanlah penghalang apabila lebih 5,000 penonton membanjiri kompleks membeli belah Queensbay Mall yang begitu bermurah hati menjadikan kompleks setinggi lima tingkat itu sebagai lokasi promosi.

Kepenatan berjalan jauh dari Kuala Lumpur serta mengadakan persembahan di Kompleks Plaza Jerai, Gurun, hari sebelumnya bagaikan tidak terasa sebaik saja melihat kesetiaan warga Pulau Mutiara menanti kedatangan artis pujaan mereka yang sebelum ini hanya mampu disaksikan dari jauh atau menerusi kaca televisyen saja. Di Gurun juga, sekitar 5,000 penonton berpusu-pusu untuk menyertai majlis beramah mesra dengan finalis ABPBH 2006.

Enggan membiarkan peminat terus menanti, tiga pengacara terkenal, Aznil Nawawi, Raja Azura dan penyampai Radio Era, Rostam memulakan persembahan dengan celoteh mereka yang sememangnya melucukan.

Penyanyi yang terkenal dengan jolokan Kajol Malaysia, Farawahida membuka tirai persembahan dengan lagu popularnya, Tanpamu diikuti lagu balada, Kenangan Terindah oleh kumpulan Samsons.

Izwan Pilus yang semakin dikenali dengan lagu Indah Lelapku juga berjaya memukau penonton dengan kelunakan vokalnya. Bukan sekadar menghiburkan tetapi Izwan turut mengambil kesempatan itu untuk mengedarkan posternya sebagai hadiah kepada penonton.

Persembahan petang itu menjadi lebih gamat apabila Bintang Paling Popular ABPBH 05, Mawi muncul membuat persembahan. Bersama ‘adiknya’ dari Akademi Fantasia 4, Faizal, mereka berpaduan suara menerusi lagu yang juga disampaikan Mawi secara duet bersama M Nasir, Lagu Jiwa Lagu Cinta.

Seperti biasa, kehadiran Mawi membuatkan penonton yang hadir tidak senang duduk dan berasak-asak untuk merakamkan gambar penyanyi kontroversi itu.

Antara artis dan selebriti lain yang terbabit dalam promosi ini ialah Marsha, Leez AF4, Amylea, Nikki, Fazli Zainal, kumpulan Khafi, Yassin, Ako Mustapha, Kieran, Ihkwan dan Sharifah Aleya.

Pada acara itu juga, orang ramai dan peminat berebut membeli pelbagai barangan cenderahati yang dijual bersempena edisi khas ke-20 ABPBH seperti baju-T berkolar dan berkolar bulat, topi dan tali penyandang.

Sementara itu, pada Sabtu yang lalu, lebih 5,000 peminat yang turut membanjiri Kompleks Plaza Jerai turut mengambil kesempatan membeli pelbagai cenderahati yang disediakan. Gurun menjadi lokasi persinggahan promosi jelajah ini. Pujian sewajarnya diberikan kepada peminat di sini kerana sikap sporting mereka yang tidak kisah membuat apa saja demi menghidupkan suasana menjadikan acara yang memakan masa lebih empat jam itu tidak membosankan.

Selain dihiburkan dengan nyanyian, peminat juga berpeluang memenangi hadiah menerusi kuiz yang dianjurkan seperti meneka gambar artis dan kuiz mengenai ABPBH. Peminat bertuah juga berpeluang menaiki kereta bersama artis pujaan mereka mengelilingi kompleks membeli belah terbabit yang ditaja oleh Naza Kia Sdn Bhd.

Penginapan finalis ABPBH 2006 di Pulau Pinang ditaja oleh Berjaya Georgetown Hotel manakala pengangkutan pula ditaja oleh Transnasional. Hadir sama menyaksikan persembahan ini, Pengarang Hiburan Berita Harian, yang juga Pengerusi Pengelola ABPBH 2006, Hanizam Abdullah dan timbalannya, Roslen Fadzil.

ABPBH 2006 yang dijadualkan berlangsung di Genting Highlands, Pahang, pada 4 Februari depan mendapat tajaan utama daripada Habib Jewels Sdn Bhd serta Naza Kia Sdn Bhd.

Penaja lain termasuklah Edward Forrer, Palace of the Golden Horses, JVC dan Royal Brunei yang menjadikan jumlah keseluruhan tajaan melebihi RM2.75 juta!

Photobucket - Video and Image Hosting