Berita Faizal

ABPBH 2006: Artis redah banjir

Wednesday, January 17, 2007

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
Source: Berita Harian

Finalis dan penganjur ABPBH 2006 melawat pusat pemindahan dan sampaikan 200 kampit beras

DALAM kemeriahan yang dirasa ketika mengikuti siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 di Johor, barisan finalis tidak lupa kepada peminat mereka yang berada dalam kesusahan apabila terbabit dalam bencana banjir besar di negeri itu.

Lalu, pada hari ketiga perjalanan, sebaik saja selesai mengadakan road tour di Terminal 1, Seremban, dan Kompleks Pasir Gudang, Johor Bahru, artis terkenal Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Yassin, Faizal AF, Amylea, Felix, Farawahida, Nikki, Fazli Zainal, Akbar, Izwan Pilus, Khairil dan Keiran melawat bangsa banjir di pusat pemindahan di Dewan Putera, Ayer Hitam dan Kampung Parit Londang Darat.

Rombongan promosi ABPBH ‘06 juga sempat menghulurkan bantuan berupa 200 kampit beras kepada mangsa, serta bungkusan gula-gula untuk kanak-kanak. Sebelum itu mereka diberikan taklimat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Semarang, Datuk Samsolbari Jamali.

Selain melihat sendiri keadaan mangsa banjir yang terpaksa meninggalkan rumah ditenggelami air, finalis turut beramah mesra dan bertanya khabar bersama penghuni pusat pemindahan berkenaan. Mereka menghabiskan kira-kira dua jam di dua pusat pemindahan terbabit.

Bagi mangsa banjir pula, kehadiran artis dan selebriti popular itu cukup bermakna. Tatkala mereka berada dalam kerisauan mengenangkan harta benda yang musnah, mangsa banjir mengaku cukup gembira menerima lawatan barisan finalis berkenaan. Paling tidak, hilang seketika kesedihan dan kerisauan kami, kata seorang pak cik yang bergenang matanya.

Selain warga tua dan dewasa, turut berada di pusat pemindahan berkenaan ialah puluhan kanak-kanak serta beberapa bayi yang baru berusia beberapa minggu. Di Ayer Hitam saja, lebih 11,000 mangsa dipindahkan setelah banjir melanda buat kali kedua dalam masa sebulan. Mereka ditempatkan di 32 pusat pemindahan.

Bagi artis sendiri, pengalaman berkunjung ke pusat pemindahan dan melihat kawasan yang dilanda musibah itu, menyedarkan mereka betapa penderitaan mangsa seharusnya dikongsi bersama-sama seluruh rakyat Malaysia.

Turut bersama ialah Pengerusi Jawatan Kuasa Induk ABPBH 2006 yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah.




REDAH AIR:
Tiga kanak-kanak begitu teruja
dengan kehadiran Faizal.

Justeru, finalis kategori Artis Baru Popular, Fazli, yang berasal dari Kampung Majidi Johor Bahru, berasakan perlunya artis negeri terbabit bergabung tenaga mengadakan siri persembahan supaya mereka dapat memungut dana membantu mangsa.

“Sebagai artis, saya berasa berasakan kita semua perlu beramal untuk membantu golongan yang berada dalam kesusahan itu. Amal pula, bukan hanya pada bulan Ramadan saja. Membantu mangsa banjir itu sendiri satu amal yang cukup besar buat kita,” kata artis yang popular dengan lagu Harapan itu.

Nikki yang kelihatan khusyuk mendengar cerita daripada mangsa banjir pula sebelum itu mengaku, dia juga pernah mengalami keadaan serupa ketika masih menetap di rumah lamanya di Lido, Penampang.

Katanya, sebagai kanak-kanak, dia seronok setiap kali tiba musim banjir, namun bagi ibu bapa dan golongan dewasa, keadaan itu tentunya membawa kesusahan.

“Nikki masih ingat, apabila hujan turun dengan lebat saja, kami adik-beradik yang masih kecil mulalah menutup lubang di lantai dan dinding dengan plastisin. Maknanya, kami kenalah selalu bersedia. Syukurlah, kini keluarga Nikki sudah berpindah ke kawasan lebih baik di Kota Kinabalu,” kata penyanyi Caramu ini.

Ogy yang tidak putus-putus dikerumuni penghuni pusat pemindahan juga teringatkan bencana banjir besar yang melanda kawasan kediaman dirinya sekeluarga ketika dia berusia lapan tahun, di Singapura.

“Memang banyak kali juga banjir datang melanda kawasan rumah kami. Tetapi, pengalaman paling diingati tentulah ketika ia melanda pada malam raya. Waktu itu, arwah ibu sedang merebus ketupat. Datang saja banjir, semuanya rosak apabila air naik dengan begitu cepat. Tidak dapatlah kami beraya pada masa itu,” kata finalis kategori Pengacara TV Wanita Popular ini.

Justeru, dia amat memahami penderitaan mangsa bencana itu, ketika mahupun selepas banjir melanda. Dia sendiri masih terbayang-bayang bagaimana susah kedua-dua ibu bapanya cuba membersihkan kembali kediaman selepas air surut.

Ogy dan rakan seperjuangan tentunya pulang ke ibu kota dengan seribu kenangan dan keinsafan setelah berkunjung ke dua pusat pemindahan terbabit. Bagi penghuni pusat itu pula, kehadiran artis pujaan mereka sedikit sebanyak melapangkan resah di dada dan mengubat rasa kecewa setelah dua kali ditimpa bencana

Photobucket - Video and Image Hosting