Berita Faizal

Mangsa banjir teruja kehadiran artis AF

Monday, January 15, 2007

Oleh:

Source: Utusan Malaysia

BATU PAHAT 14 Jan. – Mangsa-mangsa banjir di Parlimen Ayer Hitam dekat sini teruja apabila mereka dikunjungi oleh artis-artis Akademi Fantasia (AF) iaitu Felix, Faizal, Adam dan Zila yang merupakan kumpulan artis pertama mengunjungi mangsa banjir di daerah ini.

Kunjungan artis-artis berkenaan secara tidak langsung melupakan seketika derita mangsa banjir di sana terutama remaja dan kanak-kanak yang berebut-rebut ingin bergambar dan meminta tanda tangan daripada artis-artis berkenaan.

Kunjungan Felix, Faizal, Adam dan Zila adalah sebagai duta minuman bertenaga Power Root dan menyampaikan sumbangan barangan Power Root kepada mangsa banjir yang masih berada di Dewan Orang Ramai Yong Peng juga sekitar Parlimen Ayer Hitam.

Menurut Zila AF4, dia berasa sedih dan terharu apabila melihat mangsa-mangsa banjir terutama warga emas dan anak kecil terpaksa tidur hanya beralaskan tikar plastik sahaja.

Tambahnya, dia tidak pernah melihat keadaan begini sebelum ini dan berasa syukur kerana tidak ditimpa musibah banjir tetapi merupakan satu pengajaran bermakna kepadanya.

‘‘Kalau kita rasa kita susah, sebenarnya ada orang yang lebih susah lagi...itu yang dapat Zila rasakan bila berada di sini,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.

Faizal AF4 yang bakal melancarkan album sulungnya bulan ini juga berasa amat prihatin dengan nasib mangsa-mangsa banjir berkenaan dan dia dapat merasakan penderitaan mereka apabila pernah melihat kejadian banjir berhampiran kampungnya di Terengganu dahulu.

Katanya, walaupun dia sekeluarga yang menetap di Marang, Terengganu tidak pernah dilanda masalah banjir tetapi dia dapat melihat kampung berdekatan dinaiki air dan ia memang menyentuh hatinya.

Felix AF3 pula ketika ditemui turut merasakan keperitan mangsa-mangsa banjir apabila dia pernah membantu mangsa-mangsa banjir di Kampung Ribut Greg, Keningau Sabah yang bersebelahan dengan kampungnya tidak lama dahulu.

Melihat keadaan itu, Felix berharap agar ada artis-artis atau badan-badan korporat turut sama menghulurkan bantuan dan memberikan sokongan moral kepada mereka yang terlibat.

Sementara itu, Adam AF2 bercita-cita ingin membuat kerja-kerja amal selepas melihat kepayahan dan penderitaan mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Yong Peng agar bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

‘‘Saya terpanggil untuk membuat kerja-kerja amal pada masa akan datang dan berharap dapat sokongan semua artis di Malaysia sebagai memberi sokongan moral dan kebajikan yang berterusan kepada sesiapa yang memerlukan,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.

Photobucket - Video and Image Hosting