Berita Faizal

Promosi gamat

Tuesday, January 16, 2007

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
Source: Berita Harian
ABPBH SPECIAL

Meskipun banjir, peminat tetap meraikan finalis ABPBH 2006 di Pasir Gudang


CERIA: Hanizam (berdiri empat dari kiri) dan Yasheedah bersama-sama
finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 di Johor Bahru.

MERIAH! Memang gamat acara siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 yang diadakan di Terminal 1, Seremban dan Kompleks Pasir Gudang, Johor Bahru, masing-masing pada 13 dan 14 Januari lalu.

Jika jumlah peminat yang menyerbu Terminal 1 mencecah 5,000 orang, Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang pula tidak kurang hebatnya apabila kira-kira 8,000 orang membanjiri setiap ruang di kompleks berkenaan. Pendek kata, setiap kali acara road tour ABPBH kali ini diadakan, begitu ramai peminat yang tidak melepaskan peluang melihat dari dekat artis kesayangan mereka.

Nyata sekali, keadaan banjir di beberapa kawasan di Johor dan hujan renyai yang turun tidak henti-henti, bukannya halangan untuk peminat datang menyokong finalis pilihan mereka.

Road tour di Seremban pula mencatat sejarah tersendiri untuk tahun ini apabila lebih daripada 20 selebriti terkenal tanah air menyertainya, seterusnya menjadikan acara siri jelajah itu paling ramai dijayakan finalis dan selebriti sepanjang siri promosi ini diadakan.

Finalis yang turut serta pada acara berkenaan ialah Aznil Nawawi, Sheila Rusly, Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor (Jac), Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Yassin, Fazli Zainal, Amylea, Felix, Akbar, Izwan Pilus, Kieran, Khairil Rashid, Ina Naim, Faizal AF4, Nikki, Farawahida, Nana dan Linda. Manakala Reza dan Zizi dari radio rasmi ABPBH kali ini, Era, tidak ketinggalan memeriahkan acara.

Semua finalis kemudiannya menyambung perjalanan ke Johor Bahru selepas empat jam menghiburkan peminat di Seremban. Bagaimanapun anggota rombongan berkurangan empat finalis apabila Dayang, Jac, Nana dan Linda hanya menyertai agenda di Terminal 1.

Pada kedua-dua lokasi terbabit, peminat jelas terhibur dengan persembahan artis pujaan mereka. Lebih daripada itu, mereka turut berpeluang menaiki kenderaan Naza Kia bersama selebriti kesayangan, di samping membawa pulang pelbagai hadiah istimewa sumbangan Habib Jewels dan Berita Harian sendiri.

Malah, tidak kurang yang mengambil kesempatan melawat gerai Habib Jewels, Edward Forrer Malaysia dan pameran kereta Naza Kia sepanjang acara dijalankan. Gerai cenderamata barangan eksklusif ABPBH kali ke-20 ini juga tidak putus-putus diserbu orang ramai. Maklumlah, barangan yang dijual memang cantik dan menarik belaka.

Turut bersama pada sesi jelajah itu ialah Pengerusi Jawatan Kuasa Induk ABPBH 2006 yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah dan Ketua Unit Perhubungan Awam Habib Jewels Sdn Bhd, Yasheedah Yashaiya.

Medan perdengar single terbaru

SELAIN menjadi medan memperdengarkan lagu popular masing-masing, pentas siri jelajah ABPBH '06 juga menjadi gelanggang buat beberapa penyanyi memperkenalkan lagu baru mereka kepada peminat. Begitupun, lagu terkenal seperti Harapan, Tanpamu, Cepat-Cepat, Seandainya Masih Ada Cinta, Ku Berserah, Caramu, Lihatlah dan Fantasi Cinta tetap kedengaran di dua lokasi terbabit.

Amylea, umpamanya menyanyikan lagu baru berentak rancak ciptaan Hazami yang kini mula disiarkan di radio, Andai Kerna Pasti buat hiburan peminatnya. Begitu juga Fazli Zainal yang memperdengarkan single kedua, Mentera Saktiku.

Felix juga tidak lupa menyanyikan dua lagu baru, Jiwa Kita Cinta Kita dan Padam Dan Nyala. Nampaknya Felix tidak lagi "meleleh", tetapi tampil dengan gaya lebih rock.

Peminat juga kini mula mengecam wajah penyanyi yang melagukan irama segar, Indah Lelapku, Izwan Pilus, manakala Akbar pula semakin dikenali menerusi lagi Siapakah Di Hatimu. Jac juga tidak lupa menyanyikan singe terbaru, Ceritera Cinta manakala Ina Naim menggamit perasaan peminat menerusi single Rebah.

Dalam kata lain, acara empat jam di kedua-dua tempat itu padat dengan himpunan lagu popular dan terkini untuk halwa telinga orang ramai. Konsert kumpulan dari Indonesia pun boleh kalah tau!

Photobucket - Video and Image Hosting